Tandas 'Instagrammable' cantik berhias, trend 'toiletscaping' terus dipopularkan pempengaruh deko


  • Relaks
  • Isnin, 28 Apr 2025

'Toiletscaping' kini menjadi trend dalam kalangan pempengaruh.

BEBERAPA pempengaruh kini sedang terjebak dalam trend 'toiletscaping', iaitu menghias tandas tanpa meninggalkan sebarang perincian, menjadikannya seperti sebuah mini muzium lengkap dengan barang hiasan dan sentuhan selesa seperti permaidani mewah serta alas tempat duduk berbulu.

Bayangkan melangkah masuk ke sebuah ruang santai dengan seni dinding yang memukau, meja kecil bertingkat dihiasi snek kegemaran anda, lilin wangi menyala lembut dan aromanya memenuhi udara penuh ketenangan.

Tambahkan permaidani empuk, alat urut kaki yang menenangkan, lampu kelip-kelip dan hiasan logam yang berkilauan. 

BACA LAGI: Elak kotoran, kaki kerusi berlaga, ada tip bijak pilih karpet ruang makan

BACA LAGI: Ibu bapa resah kos susu formula, lampin meningkat, boleh cecah RM1,200 sebulan, 5 tip urus perbelanjaan

Bunyi macam bilik tidur impian, bukan? Tapi sebenarnya, itu gambaran tandas yang sering dipamerkan oleh pempengaruh-pempengaruh deko di Instagram sejak kebelakangan ini.

Beberapa pempengaruh menghidupkan trend 'toiletscaping' apabila menghias tandas sepenuh hati, lengkap dengan barang hiasan dan sentuhan nyaman seperti permaidani gebu serta alas tempat duduk berbulu.

 

 

Barang hiasan, terutamanya fabrik lembut seperti alas tandas berbulu, boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan kulat.

Tandas secara semula jadinya lembap dan bahan-bahan itu memerangkap kelembapan, menjadikannya sukar untuk dibersihkan dan dijaga.

Selain itu, apabila anda 'flush', tandas akan melepaskan 'plume' iaitu awan bioaerosol mikroskopik yang mampu membawa bakteria dan virus beberapa kaki ke udara.

Bioaerosol itu boleh mendap ke atas barang hiasan berdekatan seperti pasu, lilin, cetakan seni dan menjadikannya sumber senyap kepada pembiakan.

Sebaik sahaja titisan aerosol itu mendarat, ia boleh membentuk fomit (objek atau bahan yang membawa jangkitan).

Barang hiasan yang berliang atau bertekstur seperti hiasan dinding fabrik, rak kayu, atau seramik tanpa glasur, amat sukar untuk dibersihkan secara menyeluruh, meningkatkan risiko jangkitan sentuhan apabila disentuh.

"Setiap permukaan dan barang, termasuk berus gigi dalam tandas dan bilik air, akan tercemar dengan bakteria najis setiap kali 'flush' dilakukan. Jadi, setiap permukaan dan barang dalam bilik air boleh menjadi fomit," kata Dr Siri M Kamath, Perunding Perubatan Dalaman, Gleneagles BGS Hospital, Bengaluru.

Bagi mereka yang cenderung menghias tandas secara berlebihan, mungkin berfikir ia boleh dikekalkan dalam keadaan ‘sangat bersih’.

Tapi adakah itu realistik? Dr Kamath menjawab, “Pembasmi kuman rumah biasa terdiri daripada alkohol, peluntur, sebatian ammonium kuaterner dalam pelbagai kepekatan. Ini hanya mampu mencapai tahap pembasmian rendah hingga sederhana. Menjaga tandas benar-benar bersih memerlukan komitmen untuk pembersihan kerap dan teliti sesuatu yang sukar dalam kehidupan moden yang sibuk.”

Dr AP Singh, Perunding Kanan Perubatan Dalaman, Yashoda Super Speciality Hospitals, New Delhi, turut menasihatkan supaya hiasan bilik air dikekalkan seminimal mungkin demi mengurangkan risiko jangkitan.

Pakar kesihatan juga menyarankan agar menutup penutup tandas sebelum flush untuk mengelakkan 'toilet plume' mencemarkan kawasan dan objek sekeliling.

Ini juga antara sebab kenapa anda dinasihatkan untuk tidak membawa telefon ke dalam tandas.

Makan di dalam tandas yang mana tangan dan badan kita bersentuhan dengan permukaan penuh bakteria, kulat, dan virus sekali gus mendedahkan kita kepada pelbagai jangkitan gastrointestinal,” tambah Dr Kamath.

Lain kali anda nampak gelas di dalam bilik mandi hotel mewah, mungkin anda mahu berfikir dua kali sebelum menggunakannya! — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram