Pengguna lebih berhati-hati berbelanja, perang tarif AS-China jejas pemulihan industri barangan mewah


  • Benua
  • Rabu, 23 Apr 2025

Gucci dijangka mengalami penyusutan jualan sebanyak 25 peratus. — Gambar hiasan/ Agensi

PERANG perdagangan yang dicetuskan di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus menekan industri barangan mewah global, sekali gus menggugat harapan terhadap pemulihan pasaran yang dijangka dipacu oleh negara Uncle Sam itu tahun ini.

Peningkatan tarif antara AS dan China menjejaskan permintaan terhadap produk mewah seperti beg tangan, pakaian berjenama dan jam tangan eksklusif. 

Ketegangan berterusan antara dua ekonomi terbesar dunia itu kini mencetuskan ketidaktentuan yang semakin membimbangkan pelabur dan pengguna.

BACA LAGI: Kedai 'indie', TikTok jadi resipi inspirasi kebangkitan syarikat gergasi buku AS

BACA LAGI: Jurang gender masih ketara, wanita hanya kuasai 21 peratus PKS di Malaysia

Louis Vuitton antara jenama barangan mewah yang terkesan gara-gara perang perdagangan AS-China. — Gambar hiasan

Firma penyelidikan Bernstein baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka dan menjangkakan pendapatan sektor mewah global akan menurun sebanyak dua peratus pada tahun ini, jauh berbeza daripada ramalan awal pertumbuhan lima peratus. 

Sementara itu, seorang pegawai bank pelaburan berkata, sebarang pemulihan hanya dijangka bermula pada 2026.

Jenama terkemuka seperti LVMH (Louis Vuitton Moët Hennessy) meliputi portfolio berjenama seperti Louis Vuitton, Christian Dior, Givenchy, Fendi, Kenzo, Tiffany, Bulgari, Loewe, TAG Heuer, Marc Jacobs, Stella McCartney dan Sephora, turut terkesan.

Sebuah bank pelaburan multinasional yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Barclays menjangka jualan bahagian fesyen dan barangan kulit syarikat itu akan menurun satu peratus pada suku pertama tahun ini.

Walaupun terdapat penangguhan tarif selama 90 hari bagi negara yang menunjukkan kesediaan untuk rundingan semula perjanjian perdagangan itu, kesannya terhadap pasaran dikatakan sudah pun ketara.

Sementara itu, pengguna kelas pertengahan di AS dan China kini lebih berhati-hati dalam berbelanja, berikutan kejatuhan pasaran saham yang turut menjejaskan keyakinan terhadap jenama mewah.

Namun, tidak semua syarikat terjejas secara sama rata. Hermès, yang terkenal dengan beg Birkin, dijangka mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak lapan peratus. 

Sebaliknya, Gucci milik kumpulan Kering dijangka mengalami penyusutan jualan sebanyak 25 peratus.

HSBC turut menjangkakan jualan keseluruhan dalam sektor mewah akan kekal mendatar sepanjang tahun 2025. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram