
SETIAP insan pastinya menyimpan seribu satu kenangan manis bersama ibu tercinta, begitu juga dengan pengalaman dan pelakon, Haneesya Hanee.
Bagi pemilik nama sebenar Sharifah Haneesya Sayed Sahlan itu, pengorbanan terbesar ibunya, Nor Sakuraneeda bermula sejak detik pertama beliau dilahirkan.
"Saya tak mahu terlalu menyentuh hal peribadi tetapi bagi saya, pengorbanan paling besar ibu adalah ketika beliau melahirkan saya.
"Itu sudah cukup membuktikan segala kasih sayangnya," katanya kepada Majoriti .
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku semasa bayi
Bagi Haneesya, kasih sayang seorang ibu tidak berhenti setakat itu.
Lebih daripada sekadar membesarkan, Haneesya berkata, ibunya terus menjadi sumber kekuatan dan semangat sepanjang perjalanan hidup mereka sekeluarga.
"Semangat dan kudrat ibu saya antara pengorbanan dia terbesar. Saya tengok sendiri betapa gigihnya ibu berusaha untuk membesarkan kami adik-beradik. Tidak pernah sekali pun saya lihat beliau benar-benar berputus asa.
"Walau diuji dengan pelbagai cabaran, beliau tetap teguh berdiri untuk menyayangi, mendidik dan membimbing kami," kata Haneesya.
Walaupun rata-rata anak lebih gemar untuk tinggal bersama orang dewasa, Sakuraneeda beranggapan tinggal bersama anaknya itu tidak menghalang anak untuk meneroka kehidupan sendiri.
“Secara logiknya, orang mungkin menganggap anak-anak sepatutnya tinggal berasingan apabila dewasa, tetapi bagi saya, perkara itu tidak berapa penting.
"Mereka sebenarnya masih mampu melalui kehidupan berdikari," kata Nor Sakuraneeda.
Beliau juga menegaskan bahawa rumah mereka kini, walaupun hanya sebuah kediaman PPR, mempunyai makna yang sangat besar dalam kehidupan keluarga tersebut.
"Saya sayang rumah kami. Di sinilah kami mula membina kehidupan.
"Kalau mahu, saya boleh berpindah ke kondominium tetapi bagi saya, rumah ini sudah cukup selesa, seolah-olah tinggal di kondominium sendiri," katanya.
Bagi Nor Sakuraneeda, setiap anak akan sampai satu masa membina kehidupan sendiri. Sebagai ibu, beliau hanya mahu melihat anak-anaknya menjalani kehidupan mereka dengan tenang tanpa paksaan.
"Setahu saya , saya beri ruang untuk anak saya mempunyai pengembaraan kehidupan yang tersendiri.
“Dalam beberapa tahun lagi, mereka akan jumpa jalan hidup mereka sendiri.
"Akan tiba masanya mereka bergantung kepada insan lain pula, bukan saya. Dan saya terima semua itu dengan hati terbuka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram