
KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang individu di media sosial mengenai isu plagiat melibatkan reka bentuk dan konsep Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 di Osaka, Jepun.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu (26 April), MITI memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengumpul dan mengesahkan semua fakta berkaitan mengenai dakwaan kononnya individu terbabit tidak diberikan pengiktirafan dan bayaran bagi konsep pavilion tersebut.
"Kami memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
BACA LAGI: Elak kotoran, kaki kerusi berlaga, ada tip bijak pilih karpet ruang makan
"MITI kekal komited terhadap standard integriti dan pematuhan yang tertinggi dalam semua urusan.
"Kami akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya diperlukan," katanya pada Sabtu (26 April).
Dakwaan plagiat itu timbul selepas seorang pengguna bernama Feythehuman mendakwa mewakili sebuah firma perunding kreatif, dan menuduh pihak MITI menyalin cadangan mereka dengan hanya melakukan sedikit pengubahsuaian.
Pengguna tersebut turut berkongsi beberapa siri hantaran untuk menyokong dakwaan mereka, menyatakan bahawa kementerian telah berurusan dengan firma tersebut pada 2022 bagi membangunkan konsep, tema, naratif, dan arah seni bina untuk acara berkenaan.
Hantaran itu juga mendakwa bahawa firma tersebut telah dimaklumkan pada Januari 2023 bahawa projek itu tidak akan diteruskan selepas membentangkan cadangan mereka kepada kementerian dan kononnya diberikan jaminan tentang pelantikan rasmi.
Namun, mereka kemudiannya diberitahu bahawa kementerian telah memutuskan untuk membuka projek itu secara tender. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram