Solusi praktikal, ilusi ruang kediaman lebih luas dengan lantai jenis SPC


  • Relaks
  • Ahad, 27 Apr 2025

Penggunaan SPC memberikan banyak kelebihan dari segi kos penyelenggaraan dan ketahanan.

LANTAI merupakan salah satu elemen penting dalam mencipta suasana rumah yang selesa dan bersih.

Namun begitu, ramai pemilik rumah berhadapan dengan pelbagai masalah lantai, terutamanya apabila menggunakan lantai jenis jubin biasa.

Antara masalah yang sering dialami ialah lantai cepat melekit, berhabuk, licin, dan memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

BACA LAGI: Reka bentuk songket, kayu tropika warnai Pavilion Malaysia di Osaka, Jepun

BACA LAGI: Ibu bapa resah kos susu formula, lampin meningkat, boleh cecah RM1,200 sebulan, 5 tip urus perbelanjaan

Masalah itu menjadi lebih ketara apabila mempunyai anak kecil di rumah apabila setiap kali selepas makan, lantai akan kelihatan kotor dan melekit, memaksa ibu bapa mengemop lantai berkali-kali sehari.

Walaupun lantai telah dimop, kesan kotoran kadang-kadang masih kelihatan, dan lantai tidak benar-benar bersih seperti yang diharapkan.

Rambut gugur, serpihan makanan, atau habuk halus mudah melekat di permukaan lantai, menjadikan rumah kelihatan serabut walaupun baru dibersihkan.

Lantai jenis jubin biasa sering menghadapi masalah lantai melekit, berhabuk, licin, dan memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

Kesemua masalah itu menyebabkan ramai mula mencari alternatif yang lebih praktikal, tahan lama, dan mudah dijaga.

Di sinilah Stone Plastic Composite (SPC) muncul sebagai pilihan terbaik dengan kelebihan seperti tahan air, tahan calar, kalis anai-anai serta mudah dipasang tanpa merosakkan lantai asal.

SPC atau lebih dikenali sebagai SPC flooring, bukan hanya popular di Malaysia, malah digunakan secara meluas di banyak negara luar, khususnya di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan beberapa negara Asia maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

Ketahanan luar biasa, keupayaan kalis air dan penyelenggaraan yang minimum menjadikan SPC pilihan utama untuk kediaman moden, ruang komersial, malah dalam projek perumahan mewah.

SPC muncul pilihan terbaik.

Di Amerika Syarikat, SPC semakin mendapat tempat di kalangan pemilik rumah yang mencari alternatif lebih tahan lama berbanding lantai kayu keras (hardwood) atau jubin seramik.

Lantai SPC digunakan secara meluas dalam dapur, bilik mandi dan ruang bawah tanah lebih lagi kawasan yang terdedah kepada kelembapan tinggi.

Ini kerana SPC tidak menyerap air dan kekal stabil walaupun dalam keadaan suhu dan kelembapan yang berubah-ubah.

Di Eropah, terutamanya di negara-negara seperti Jerman dan Belanda, SPC menjadi pilihan dalam projek apartmen moden dan bangunan pejabat.

Negara-negara itu menekankan aspek mesra alam, dan dengan SPC yang kini banyak dihasilkan daripada bahan kitar semula, ia memenuhi piawaian kelestarian mereka.

SPC membantu mencipta ilusi ruang lebih luas dan bersih.

Negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan pula memanfaatkan kelebihan SPC dalam kediaman bandar yang berkonsep minimalis dan moden.

Dengan ruang terhad, mereka memerlukan lantai yang bukan sahaja praktikal dan tahan lama, tetapi juga membantu mencipta ilusi ruang lebih luas dan bersih.

Menerusi perkongsian Zulfadhli Azmi di Facebook membuka mata ramai tentang solusi lantai yang lebih mudah dijaga dan praktikal untuk kediaman moden.

Selepas berhadapan dengan keletihan mengemop lantai berkali-kali setiap hari terutamanya selepas anak-anak makan.

Zulfadhli akhirnya mengambil keputusan untuk menukar lantai rumah kepada SPC.

SPC terbukti menjadi pilihan terbaik kerana ia bukan sahaja memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan, malah memberikan ketenangan hati kerana lantai sentiasa kelihatan bersih dan kemas.

Berbeza dengan lantai vinyl yang berasaskan pelekat, SPC dipasang menggunakan sistem klik, tanpa perlu gam dan hanya memerlukan lapisan foam di atas lantai asal, kemudian panel SPC diklik bersama slot khas sehingga kemas dan rapat.

SPC dipasang menggunakan sistem klik tanpa perlu gam.

Dari segi jangka masa panjang, penggunaan SPC memberikan banyak kelebihan dari segi kos penyelenggaraan dan ketahanan.

Ia juga memberikan nilai tambah kepada dekorasi rumah, setanding dengan konsep dan gaya dekorasi yang banyak digunakan di luar negara.

Rumah kelihatan lebih moden, kemas dan selesa, tanpa perlu risau soal lantai rosak atau kelihatan lusuh dalam masa singkat.

Secara keseluruhannya, penggunaan SPC di luar negara membuktikan bahawa lantai ini bukan sekadar trend sementara, tetapi satu pelaburan jangka panjang yang menawarkan gabungan fungsi, gaya dan ketahanan.

Malaysia kini turut mengikuti jejak ini, apabila semakin ramai pemilik rumah dan pereka dalaman mula memilih SPC untuk transformasi ruang kediaman dan komersial mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram