
MEJA kayu sentiasa menjadi pilihan popular dalam kebanyakan rumah, bukan sekadar kerana tampilannya yang klasik dan mewah, tetapi kerana kelebihannya jauh lebih praktikal untuk kegunaan harian.
Dalam dunia yang semakin mengejar keselesaan dan kemudahan, meja kayu terbukti menjadi pelaburan jangka panjang berbaloi.
Salah satu kelebihan utama meja kayu ialah ketahanannya terhadap suhu panas dan tidak seperti meja berpermukaan kaca atau plastik yang mudah rosak jika terdedah kepada haba.
BACA LAGI: Elak kotoran, kaki kerusi berlaga, ada tip bijak pilih karpet ruang makan
Meja kayu mampu menahan hidangan panas yang baru diangkat dari dapur dan kita boleh terus menghidang makanan tanpa perlu tergesa-gesa mencari lapik atau alas tambahan.
Ini bukan sahaja mempercepatkan kerja di dapur, malah memudahkan suasana makan bersama keluarga terutamanya ketika menyediakan hidangan dalam jumlah yang banyak.
Keberkesanan itu turut dikongsikan oleh Anis Hafiza di Facebook apabila beliau kini tidak perlu berfikir panjang untuk menyediakan hidangan panas di atas meja.
Lebih-lebih lagi apabila keadaan di dapur sibuk dan semua hidangan perlu dihidang dengan cepat.
Selepas dua tahun menggunakan meja kayu dengan cara ini, Anis mendapati tiada masalah besar berlaku pada meja apabila ia tetap kukuh, cantik, dan berfungsi dengan baik.
Anis turut berkongsi bahawa sejak menggunakan meja kayu, tidak lagi perlu membazir membeli lapik meja yang kadang-kadang hanya digunakan sekali-sekala dan kemudian disimpan begitu saja.
Secara tidak langsung, perkara itu membantu menjimatkan perbelanjaan kecil yang jika dikira-kira, sebenarnya memberi impak dalam jangka masa panjang.
Meja kayu bukan sahaja tahan panas, malah sifatnya yang kukuh dan lasak menjadikan ia pilihan jangka masa panjang yang bijak.
Dengan sedikit penjagaan asas seperti mengelap dengan kain lembap atau menggunakan minyak kayu sekali-sekala, meja kayu boleh kekal dalam keadaan terbaik bertahun-tahun lamanya.
Meja kayu juga menawarkan sentuhan semula jadi yang sukar ditandingi oleh material lain seperti corak urat kayu yang unik pada setiap permukaan memberikan kehangatan, kedamaian dan keaslian pada suasana rumah.
Ia mudah dipadankan dengan pelbagai gaya dekorasi, sama ada moden, tradisional mahupun minimalis.
Secara keseluruhan, memilih meja kayu bukan sahaja tentang mendapatkan perabot yang cantik, tetapi juga tentang memiliki sesuatu yang tahan lasak, mudah diselenggara dan menyokong gaya hidup praktikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram