[VIDEO] Tak hanya lindungi diri dari gempa, banyak sebab ibu bapa di Jepun sanggup berhabis hampir RM4,000 demi beg sekolah anak


  • Relaks
  • Jumaat, 25 Apr 2025

Kebanyakan ibu baoa di Jepun sanggup melabur hingga RM3,800 untuk membeli beg galas sekolah.

DALAM dunia moden yang semakin menekankan keselamatan dan keselesaan anak-anak, ibu bapa di Jepun sanggup melabur sehingga RM3,800 (kira-kira $800) untuk membeli beg galas sekolah yang kelihatan sederhana namun dengan inovasi luar biasa.

Beg sekolah Jepun atau lebih dikenali sebagai randoseru bukan sekadar berfungsi untuk menyimpan buku, malah memiliki pelbagai manfaat lain.

Ia direka khas dengan lebih 150 bahan material dan melalui lebih 300 langkah dalam proses pembuatan yang kesemuanya dilakukan dengan teliti oleh tenaga kerja mahir secara buatan tangan. 

Perkara yang menjadikan luar biasa adalah gabungan reka bentuk ergonomik, fungsi keselamatan tinggi dan jaminan ketahanan selama enam tahun.

Antara ciri menarik yang menjadi keutamaan kepada ibu bapa termasuk sistem pengagihan beban di bahagian sisi bagi mengurangkan tekanan ke bahagian belakang anak. 

Reka bentuk belakang beg itu dibina secara ergonomik sehingga menjadikannya lebih selesa walaupun dibawa untuk jangka masa panjang.

Dari segi keselamatan, beg itu dilengkapi jalur reflektif untuk meningkatkan kebolehlihatan kanak-kanak ketika berjalan ke sekolah terutamanya dalam keadaan cahaya yang rendah. 

Tidak hanya itu, beg tersebut juga direka agar boleh digunakan untuk melindungi anak-anak sekiranya berlaku gempa bumi.

Malah, struktur beg itu mampu bertindak sebagai pelampung untuk membantu mereka menyelamatkan diri dalam situasi sekiranya terjatuh ke dalam sungai.

Tambahan pula, beberapa model beg turut dilengkapi dengan teknologi GPS yang membolehkan ibu bapa memantau lokasi anak-anak mereka secara langsung. 

Ini sekali gus memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa dalam memantau pergerakan anak masing-masing.

Lebih menarik, jaminan kualiti selama enam tahun ditawarkan oleh pengeluar beg iaitu satu tempoh yang meliputi keseluruhan kehidupan sekolah rendah kanak-kanak di Jepun.

Sekiranya berlaku sebarang kerosakan dalam tempoh itu, baik pulih akan diberikan secara percuma.

Jadi, tidak hairanlah banyak ibu bapa di negara Matahari Terbit itu menghantar surat penghargaan kepada pengeluar beg kerana mereka menganggap ia satu pelaburan berbaloi demi keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.   Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di  TwitterFacebook ,  InstagramWhatsApp Channel  dan  Telegram