
TIDAK semua kisah kehilangan berakhir dengan jawapan. Ada yang kekal menjadi tanda tanya sehingga menghantui masyarakat dengan misteri yang tidak terungkai.
Daripada kisah benar yang pernah menggemparkan masyarakat suaru ketika dahulu, kini lahir sebuah filem seram yang berjudul Telaga Suriram, arahan pengarah tersohor tanah air, Osman Ali.
Terinspirasi daripada peristiwa tragis seorang kanak-kanak yang ditemui mati dalam sebuah telaga lama, Osman mengangkat kisah itu ke layar perak dengan gabungan elemen mistik, kepercayaan rakyat dan sentuhan emosi yang mendalam.
BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku semasa bayi
Nabila Huda dan Puteri Rafasha sewaktu dalam filem Suriram.
“Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu yang mengaitkan tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia.
"Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama yang diwarisi turun-temurun," katanya ketika di Pavilion Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Khamis malam.
Filem yang akan ditayangkan bermula 1 Mei depan itu berkisarkan kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram di sebuah perkampungan terpencil.
Kehilangannya bukan sahaja menggemparkan penduduk tetapi juga membuka semula kepercayaan lama yang selama ini dibisukan iaitu tentang telaga lama yang 'menuntut'.
Osman berkata, untuk karya terbaharu arahannya itu juga mempunyai kelainan berbanding filem-filem seram lain.
“Telaga Suriram bukan sekadar filem seram biasa yang hanya bergantung kepada elemen kejutan atau hantu sahaja.
“Saya ingin menyampaikan pendekatan kepada sikap segelintir masyarakat sekeliling yang masih lagi dibelenggu dan terikut-ikut dengan kepercayaan mitos yang menjadi sebahagian daripada budaya kita,” katanya.
Penggambaran filem itu berlangsung selama 45 hari bermula penghujung Januari 2022 dengan memaparkan lokasi-lokasi tradisional yang sarat sejarah dan cerita mistik di sekitar Perlis, Kedah dan Perak.
Menurut Osman, suasana lokasi amat membantu membangkitkan nuansa ngeri yang diperlukan.
"Ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik. Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja," katanya.
Menariknya, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty dan pelakon kanak-kanak iaitu Puteri Rafasya.
Sementara itu, penerbit filem, Yus Yusop dari Odissi Creative Sdn. Bhd. menyifatkan projek itu sebagai hasil seni yang amat dekat di hati kerana gabungan cerita rakyat, unsur mistik dan nilai budaya tempatan.
"Dari skrip hingga ke pasca produksi, kami ambil masa hampir tiga tahun untuk benar-benar menghidupkan filem ini.
"Namun begitu, saya percaya penantian untuk ia ditayangkan di layar perak sangat berbaloi dengan hasil yang cukup membanggakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram