Elak kotoran, kaki kerusi berlaga, ada tip bijak pilih karpet ruang makan


  • Relaks
  • Sabtu, 26 Apr 2025

KC Home berkongsi tentang pemilihan karpet yang sesuai untuk ruang makan.

KARPET sering dianggap pelengkap gaya dalam sesuatu ruang, tetapi apabila diletakkan di ruang makan, fungsinya menjadi jauh lebih kompleks.

Ramai yang teruja memilih karpet cantik dengan corak menarik tanpa benar-benar memikirkan sama ada ia sesuai dengan keperluan ruang makan yang terdedah kepada risiko kotoran.

Salah satu masalah utama ialah pemilihan saiz karpet yang tidak tepat.

BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha

BACA LAGI: Ibu bapa resah kos susu formula, lampin meningkat, boleh cecah RM1,200 sebulan, 5 tip urus perbelanjaan

Ramai memilih karpet hanya cukup-cukup muat di bawah meja makan, tanpa mengambil kira ruang tambahan yang diperlukan untuk pergerakan kerusi.

Akibatnya, setiap kali kerusi ditarik keluar, ia tersangkut di tepi karpet atau menyebabkan karpet terlipat.

Ini bukan sahaja menyulitkan pergerakan, tetapi juga menyebabkan karpet cepat rosak dan tidak tahan lama.

Material juga memainkan peranan besar apabila karpet berbulu tebal mungkin nampak mewah dan selesa, tetapi di ruang makan ia menjadi perangkap makanan dan habuk.

Sisa makanan mudah tersembunyi dalam bulu karpet, menjadikan pembersihan satu cabaran.

Malah, jika berlaku tumpahan minuman, karpet jenis ini lebih cepat menyerap cecair, meninggalkan bau dan kesan yang sukar dihilangkan.

Pemilihan karpet untuk ruang makan ialah dengan memastikan ukuran melebihi sekurang-kurangnya dua kaki dari setiap sisi meja makan.

Baru-baru ini, perkongsian menarik daripada KC Home di media sosial mencuri perhatian ramai apabila berkongsi tentang pemilihan karpet yang sesuai untuk ruang makan.

Nampak remeh, tapi rupanya ada trik tertentu yang boleh buat ruang makan lebih selesa, kemas dan praktikal.

Menurut KC Home, perkara paling penting apabila memilih karpet untuk 'dining area' ialah memastikan ukuran karpet melebihi sekurang-kurangnya dua kaki atau 0.6 meter dari setiap sisi meja makan.

Ini penting kerana apabila kerusi ditarik keluar, ia masih berada di atas karpet dan dengan cara itu, tidak akan timbul masalah bunyi bising atau risiko lantai tercalar.

Contoh pelan karpet untuk ruang makan. — Mubina Kara Design

Tambahnya lagi, dia sangat gemar meletakkan karpet di ruang makan kerana tarikan kerusi menjadi lebih senyap, kaki pula terasa lebih selesa memijak karpet yang lembut.

Namun begitu, makan dan minum di atas karpet sememangnya berisiko menyebabkan kotoran dan tumpahan.

Untuk mengatasi masalah tersebut, KC Home mencadangkan penggunaan penyedut habuk khas yang boleh membersihkan karpet dengan air.

Menariknya, penyedut habuk khas itu juga boleh digunakan untuk mencuci sofa dan tilam, menjadikannya satu pelaburan yang amat berbaloi.

 

 

Dalam memilih karpet, KC Home mengingatkan supaya memilih karpet yang tahan lasak namun tetap lembut untuk keselesaan.

Meletakkan karpet di ruang makan tidak perlu dirisaukan asalkan kita bijak mengurus kebersihan dan penyelenggaraannya.

Dengan sedikit perancangan dan pilihan yang tepat, ruang makan bukan saja lebih selesa, malah kelihatan lebih bergaya dan kemas.

Pemilihan karpet untuk ruang makan memerlukan keseimbangan antara gaya dan fungsi.

Ia perlu cukup besar, tahan lasak, mudah dibersihkan, tidak licin, dan masih mengekalkan estetika yang harmoni dengan keseluruhan ruang.

Tanpa pertimbangan itu, karpet yang sepatutnya mencantikkan ruang makan boleh menjadi punca masalah harian tidak dijangka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram