Siapa Snejyo, duo fesyen adik-beradik dari Mumbai yang meraih tumpuan setiap kali tiba minggu fesyen


Dengan lebih 50,000 pengikut di Instagram, Snehal dan Jyoti menjadi ikon fesyen yang mempengaruhi ramai. — Instagram/@snejyo

DUNIA fesyen sentiasa berkembang dengan trend baharu yang mencerminkan kreativiti, ekspresi diri dan gaya hidup mewah.

Hari ini, bukan sahaja selebriti, malah pempengaruh media sosial, juga membawa peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap keindahan dan keunikan gaya.

Dari pentas peragaan hingga ke laman Instagram, pengaruh mereka mampu mencetuskan fenomena global, menjadikan fesyen bukan sekadar pakaian, tetapi satu bentuk seni dan identiti.

Dalam dunia yang serba moden ini, individu yang berani bereksperimen dengan fesyen sering mendapat perhatian dan secara tidak langsung mencetuskan inspirasi bagi generasi muda untuk mengekspresikan diri mereka dengan lebih berani dan kreatif.

BACA LAGI: DNA jenama memenuhi selera pasaran Dubai, Rizman Ruzaini tekad letak nama Malaysia dalam peta fesyen dunia

BACA LAGI: Pernah siapkan kostum Aina Abdul dalam masa 5 hari, Melinda Looi kongsi kisah di sebalik rekaan uniknya

Kehadiran pasangan duo adik-beradik dari Mumbai, India itu ke acara pertunjukan fesyen sering mencuri perhatian ramai. — Instagram/@snejyo

Salah satu fenomena yang mencuri perhatian dalam dunia fesyen adalah melalui kehadiran pasangan adik-beradik dari Mumbai, India yang menampilkan gaya luar biasa dan eksklusif.

Dengan gabungan elemen klasik dan moden, mereka membawa pendekatan yang unik terhadap fesyen mewah sekali gus menarik perhatian bukan sahaja peminat tetapi juga jenama-jenama terkenal.

Snehal dan Jyoti Babani, adalah antara individu yang sedang mencipta gelombang dalam industri ini.

Dengan koleksi aksesori mewah yang menakjubkan dan cara pemakaian yang inovatif, mereka menjadi tumpuan utama di pelbagai acara fesyen antarabangsa serta platform media sosial.

Pasangan duo yang lebih dikenali sebagai 'Snejyo' di media sosial itu sering menjadi perhatian dalam kalangan penggemar fesyen dengan gaya unik dan koleksi barangan mewah mereka.

Walaupun sering disalah anggap sebagai kembar, Snehal ialah kakak kepada Jyoti, dengan perbezaan umur 14 bulan antara mereka.

Kedua-dua beradik ini membina kerjaya dalam industri kimia aroma. Mereka bekerja di syarikat milik keluarga iaitu Privi Specialty Chemicals Limited yang memberi fokus terhadap pembuatan bahan kimia aroma dan wangian untuk sabun, minyak wangi, kosmetik serta produk lain.

Snehal dan Jyoti mula menarik perhatian dunia fesyen melalui platform Instagram mereka di mana mereka berkongsi gambar-gambar berpakaian dari jenama-jenama terkemuka dengan aksesori eksklusif.

Mereka dikenali kerana kemampuan mereka menggabungkan elemen tradisional India dengan jenama fesyen Barat, sekali gus mencipta gaya yang unik dan memukau.

Contohnya, mereka pernah menghadiri pertunjukan koleksi musim bunga/panas Chanel Haute Couture 2024 dengan memakai saree sutera hitam yang digabungkan dengan elemen dari rumah fesyen Chanel.

Beg Birkin bersaiz mini dijadikan sebagai hiasan rambut. — Instagram/@snejyo

Koleksi aksesori

Koleksi mereka adalah antara yang paling diidamkan dalam dunia fesyen. Mereka sering dilihat membawa beg tangan vintaj yang jarang ditemui dari jenama terkemuka seperti Chanel dan Louis Vuitton (LV).

Misalnya, mereka memiliki Lucite and Crystal Rocket Ship Evening Bag dari koleksi musim luruh/sejuk Chanel 2017 dan Airplane Bag LV yang direka oleh mendiang Virgil Abloh.

Selain itu, mereka juga menggunakan aksesori dengan cara yang unik, seperti memakai beg Hermès Kelly dan Birkin bersaiz mini sebagai hiasan rambut, menunjukkan kreativiti dan keberanian mereka dalam bereksperimen dengan fesyen.

Penampilan mereka yang selalu serasi dan memukau menarik lagi perhatian media dan penggemar fesyen di seluruh dunia. — Instagram/@snejyo

Kehadiran yang dinanti

Kemunculan mereka di barisan hadapan pertunjukan fesyen antarabangsa menaikkan lagi kedudukan mereka dalam industri ini.

Mereka sering menjadi undangan ke beberapa acara pertunjukan fesyen oleh jenama-jenama terkemuka seperti Hermes dan LV.

Penampilan mereka yang selalu serasi dan memukau menarik lagi perhatian media dan penggemar fesyen di seluruh dunia. Dengan lebih 50,000 pengikut di Instagram, Snehal dan Jyoti menjadi ikon fesyen yang mempengaruhi ramai.

Walapun gaya unik mereka kadang-kadang menerima kritikan daripada, mereka tetap teguh dengan pilihan fesyen mereka, menunjukkan keyakinan dan dedikasi terhadap ekspresi diri melalui pakaian.

Mereka juga sering menjadi topik perbincangan dalam komuniti fesyen. Manakan tidak, keberanian dan kreativiti mereka dalam mencipta gaya sentiasa berbeza berbanding individu lain sehingga mengagumkan mata si pemandang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram