Pencemaran Sungai Citarum di Indonesia akibat perindustrian fast fashion, kempen pakaian kitar semula antara solusi


Sebagai pengguna yang gemar mengikuti trend fesyen semasa, kita boleh membuat pilihan sama ada menggunakan pakaian terpakai atau sebaliknya. —  Gambar hiasan/Freepik

PERNAHKAH kita terfikir bahawa pakaian yang kita pakai setiap hari mungkin menjadi penyumbang kepada pencemaran alam sekitar? 

Sungai Citarum di Indonesia, yang pernah menjadi sumber kehidupan bagi penduduk setempat kini dikenali sebagai salah satu sungai paling tercemar di dunia.

Sisa toksik dari kilang tekstil yang membekalkan pakaian kepada industri fast fashion telah mencemarkan air sungai ini sehingga sukar digunakan oleh komuniti sekeliling. 

BACA LAGI: [VIDEO] Mungkin tergelincir ketika kemas rumah, Ridz Okumura dedah kejadian sebenar isteri jatuh kondo di Subang Jaya

BACA LAGI: Sampai 3 kali kena saman sehari, penduduk Kuchai Entrepreneurs Park harap DBKL sedia pelekat bulanan

2nd LEAD PIC, MAYBE USE ON P3: Large factories like this one in China, as well as in many developing countries, churn out cheap clothes for global brands. Cheaper textiles don't last as long and adds to the waste problem in the fashion indistry. -- Filepic/AFP

 Fast fashion merujuk kepada konsep pengeluaran pakaian secara cepat dan besar-besaran untuk memenuhi trend fesyen semasa.

Hal itu menimbulkan persoalan besar. Adakah fesyen yang kita pilih hari ini sebenarnya memberi kesan buruk kepada alam sekitar?  

Justeru, sebagai pengguna, kita diberi pilihan untuk memilih pakaian yang hendak dipakai sambil kekal tampil bergaya. 

Fesyen 'bundle' khususnya menjadi alternatif kepada fast fashion. Ia bukan sahaja memberi nafas baharu kepada pakaian terpakai, malah, mengurangkan pembaziran serta lebih mesra alam. 

Dalam perbincangan mengenai pilihan fesyen ini, selebriti dan penggemar fesyen turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memilih fesyen yang lebih lestari.

Antaranya pelakon tanah air, Fify Azmi atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi, 35, berkongsi pandangannya mengenai isu tersebut. Menurut penggemar pakaian thrift itu, beliau lebih gemar memilih 'bundle' kerana di sana lengkap.

"Sejujurnya, I'm a bundle girl sebab Fify punya cita rasa banyak dekat kedai bundle. Dekat sana senang cari pelbagai saiz. Daripada saiz yang muat-muat sehingga saiz baggy," katanya. 

Bagi Fify, beliau lebih gemar membeli baju terpakai kerana pelbagai rekaan dan saiz mudah didapati selain lebih mesra alam.  Instagram selebriti

Pelakon filem Fanna (2023) itu menjelaskan bahawa pakaian terpakai bukan sekadar pilihan fesyen, tetapi juga mempunyai peranan besar dalam pemeliharaan alam sekitar. 

Salah satu fakta menarik yang dikongsikan oleh Fify ialah tentang pencemaran yang berpunca daripada industri fesyen. Beliau berkata, industri ini adalah antara penyumbang pencemaran terbesar di dunia.

"Fify ada baca, pencemaran yang terbesar ialah industri fesyen sebab dia keluarkan semua bahan-bahan mengandungi toksik, malah warna pun dibuang ke dalam sungai.

"Sungai itu ialah Sungai Citarum. Ia paling kotor dan paling tercemar dekat Indonesia. Lima tahun berturut-turut sampai sekarang," jelasnya.

Sungai Citarum merupakan sungai terpanjang di Jawa Barat, Indonesia, dengan panjang sekitar 297 kilometer (km). — KOMPAS

Justeru, Fify menggalakkan masyarakat supaya lebih berfikir secara mendalam sebelum membeli pakaian bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.

"Kalau boleh, Fify nak nasihatkan kepada orang ramai, apabila kita memilih pakaian untuk dibeli, pada masa sama fikirlah pasal alam sekitar.

"Bukan Fify nak cakap beli melalui talian atau di kedai yang mempunyai nama besar itu tidak bagus, tetapi kurangkanlah," ujarnya. 

Hatta memakai salah satu rekaannya yang berasaskan 100 peratus daripada botol plastik. — Instagram/@hattadolmat_

Individu aktif

Selain itu, Fify turut menyentuh beberapa pereka fesyen tempatan yang telah mula mempraktikkan penghasilan pakaian yang lebih lestari. 

Salah seorang daripadanya ialah Hatta Dolmat yang terkenal dengan inisiatif kitar semula dalam rekaannya.

"Salah seorang yang Fify tahu dan Fify gemar ialah Hatta Dolmat. Ada satu situasi di mana beliau pergi ke Port Dickson, Negeri Sembilan, untuk kutip semua botol yang ada di kawasan sekitar. Kemudian, beliau hasilkan baju. Aksesori pun ada juga.

"Melalui tindakan itu, kita boleh nampak contoh yang terbaik untuk memelihara alam sekitar," jelasnya.

Untuk rekod, pada tahun 2021, Hatta diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pereka fesyen pertama di Malaysia yang menghasilkan koleksi lengkap mesra alam.

Usahanya dalam bidang fesyen lestari bermula sekitar tahun 2020, apabila beliau bekerjasama dengan SWCorp dan Kloth Malaysia untuk mencipta kain mesra alam daripada bahan kitar semula. 

Beliau menggunakan material kitar semula tersebut dalam pertunjukan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), menghasilkan material bercorak monogram.

Selain itu, anak kelahiran Melaka itu juga melancarkan koleksi sedia pakai HD Monogram sempena KLFW Digital 2020, sebagai sebahagian daripada gerakan kempen Hatta Dolmat’s: Sustainable Awareness Movement dan sambutan ulang tahun ke-15 beliau dalam industri fesyen. 

Bukan itu sahaja, Hatta turut terlibat dalam program Ocean’Us Sustainable Ecotourism Beach Clean Up 2022 di Port Dickson, bersama tujuh finalis Miss Universe Malaysia 2022, di mana mereka membersihkan pantai dengan mengutip sisa plastik. 

Melissa kini aktif menulis dan menghasilkan kandungan digital mengenai kehidupan lestari dan fesyen.   Instagram/@heymelissatan

Selain itu, model dan juga aktivis alam sekitar, Melissa Tan, 44, giat dalam usaha mempromosikan fesyen mesra alam.

Beliau menceburi bidang advokasi alam sekitar yang menumpukan perhatian kepada kehidupan sifar sisa dan fesyen lestari. 

Pemegang Miss Malaysia-Universe 2006 itu kini aktif menulis dan menghasilkan kandungan digital berkaitan kehidupan lestari dan fesyen, serta sering terlibat dalam acara komuniti dan program pertukaran pakaian untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup yang lebih mampan. 

Tidak hanya itu, beliau juga dilantik sebagai duta EarthDay.org untuk Malaysia bagi memperkukuhkan lagi komitmennya dalam memupuk kesedaran alam sekitar di peringkat kebangsaan.

Ternyata, fesyen mesra alam bukan sekadar satu pilihan gaya, tetapi juga satu tanggungjawab sosial dalam usaha memelihara alam sekitar.

Dengan pencemaran akibat industri fesyen yang semakin membimbangkan, langkah seperti memilih pakaian terpakai dan menyokong jenama yang mengutamakan kelestarian adalah pendekatan yang mampu mengurangkan kesan negatif terhadap bumi.

Seperti yang dinasihatkan oleh Fify, masyarakat perlu lebih bijak dalam membuat keputusan ketika membeli pakaian dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap alam sekitar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram