
DI sebalik kesibukan dalam dunia seni dan perniagaan, pelakon popular Janna Nick, 30, terus komited dengan usaha kebajikan yang lama dirancangnya.
Menerusi satu projek wakaf ilmu yang digerakkan sejak beberapa tahun lalu, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner kini semakin hampir merealisasikan impian membina pusat tahfiz demi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Dalam satu hantaran di Instagramnya pada Jumaat, usahawan produk kecantikan itu berkongsi perkembangan terkini berkaitan pembinaan Pusat Pengajian Al-Quran Nurul Jannah yang sedang giat dijalankan di Masjid Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.
BACA LAGI: Enggan tinggal kerjaya PTD, Nurul Hidayati semakin adaptasi hidup sebagai isteri pereka fesyen
Menurut beliau, proses menaik taraf dan pembinaan pembangunan baharu pusat tahfiz tersebut kini memasuki fasa seterusnya.
"Sebelum ini dewan makan dah siap, tambak tanah pun dah siap. Sekarang kami akan mula memperbaharui kelas," katanya dalam video tersebut.
Tambahnya, segala sumbangan diterima dimanfaatkan sepenuhnya demi keselesaan dan kemajuan pembelajaran pelajar-pelajar di pusat tahfiz berkenaan.
Isteri kepada pelakon, Dini Schatzmann itu juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan kepada usaha pembinaan tersebut.
Beliau menambah, orang ramai masih berpeluang untuk menyumbang bagi menjayakan usaha murni itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya menyambut baik inisiatif itu dan mendoakan terbaik buat beliau.
“Syukur Alhamdulillah. Semoga pahala terus mengalir sampai alam sana,” tulis @iammissnick.
"Masha-ALLAH. Syukur Alhamdulilah. Impian Janna tercapai juga akhirnya," komen @rozie_fayrose.
"Tahniah Janna. Saham akhirat," ujar @rosiahmohdisa ringkas.
Terdahulu pada 2022, Janna menyatakan hasrat untuk membina sebuah pusat tahfiz dengan anggaran kos mencecah RM6 juta.
Lokasi Masjid Kampung Bukit Kechil menjadi pilihan kerana ia merupakan tempat beliau dibesarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram