
DALAM dunia penuh tekanan, pencemaran dan gaya hidup tidak sihat menyebabkan ramai wanita mengalami masalah kulit wajah seperti jerawat, kusam, kering ataupun penuaan pramatang.
Justeru, sebahagian besar individu berpendapat untuk mengatasi masalah kulit tersebut, maka solusi terbaik adalah mengoles bermacam-macam jenis produk dan bergantung pengambilan suplemen semata-mata.
Walhal, untuk memiliki kulit mulus, sihat dan berseri juga boleh dibantu dengan mengamalkan pemakanan seimbang atau minum jus buah-buahan segar.
BACA LAGI: Selebriti media sosial kongsi 3 'rahsia' wajib ada dalam beg tangan, tip kekal cantik sepanjang hari
Selain kaya nutrien buah-buahan juga mengandungi pelbagai jenis vitamin, antioksidan dan enzim semula jadi bantu melawan toksin dalam badan, sekali gus membaiki kondisi kulit wajah.
Antara jus buah segar membantu mendapatkan kulit wajah menawan dan awet muda ialah:
1. Delima (antipenuaan)
Jus delima kaya antioksidan seperti polifenol yang membantu melindungi kulit daripada radikal bebas.
Ia merangsang penghasilan kolagen, menjadikan kulit lebih tegang dan lambat berkedut.
Vitamin C dalam delima turut membantu menyerikan wajah dan menyamaratakan tona kulit. Kandungan antiradang semula jadinya berkesan mengurangkan jerawat dan iritasi kulit.
Baik jus lobak merah mahupun tembikai kedua-dua buah ini membantu menyerikan kulit wajah. — Gambar dijana AI/Freepik
2. Lobak merah (kulit cerah dan berseri)
Kandungan beta-karoten akan bertukar kepada vitamin A dalam badan bantu untuk sel kulit baharu dan mengurangkan bintik hitam.
Pada masa sama, membantu mengawal pengeluaran sebum berlebihan dan mengelakkan jerawat termasuk detoks kulit.
Hasilnya, kulit lebih cerah, bersih dan berseri.
3. Tembikai (hidrasi untuk kulit kering)
Tembikai mengandungi lebih 90 peratus air menjadikannya jus terbaik untuk melembabkan kulit dari dalam.
Likopena iaitu sejenis antioksidan di tembikai bantu melindungi kulit daripada sinaran ultra violet (UV).
Vitamin C dalam tembikai pula membantu baiki struktur kulit dan menggalakkan pembentukan kolagen. Kesannya, kulit menjadi lembab dan segar.
4. Epal hijau (kulit bebas toksin)
Jus epal hijau bantu mengawal minyak pada kulit wajah. — Gambar dijana AI/Freepik
Epal hijau yang kaya serat dan antioksidan membantu proses detoksifikasi dalam badan, sekali gus menghilangkan jerawat dan menanggalkan kulit kusam.
Vitamin A dan C dalam epal hijau bantu pertumbuhan sel kulit baharu yang lebih sihat termasuk membantu mengawal minyak pada kulit wajah.
5. Lemon (bebas jerawat)
Lemon merupakan sumber vitamin C bersifat antibakteria yang membantu mencerahkan kulit wajah. Sifat asid semula jadinya bantu mengecilkan liang pori dan kawal minyak berlebihan.
Ini termasuk memudarkan parut dan menyamaratakan tona wajah.
Pengambilan jus lemon membantu menjadikan kulit lebih licin dan bebas cela.
Kesimpulannya, kecantikan kulit juga boleh dibantu dari dalam dengan menikmati segelas jus buah segar.
Tak perlu produk mahal memadai pilihan buah yang tepat dan mengamalkan secara konsisten. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram