Kasut tumit tinggi bukan lagi pilihan utama, Mary Jane dan 'ballet flat' antara trend ikutan pencinta fesyen


  • Relaks
  • Jumaat, 25 Apr 2025

Kasut tumit tinggi tidaklah lenyap daripada pasaran, namun ia ditawarkan dalam bentuk yang lebih moden dan pelbagai. — Gambar hiasan

TREND kasut tumit tinggi dalam kalangan wanita kini semakin berubah. Jika dahulu ia menjadi simbol wanita anggun dan profesional, hari ini semakin ramai memilih kasut yang lebih selesa untuk gaya harian.

Memetik laporan agensi, Susan Conlin, 61, merupakan antara individu yang masih setia dengan kasut tumit tinggi walaupun rakan sekerjanya kini lebih selesa dengan kasut bertumit rata.

Peralihan tersebut didorong oleh pelbagai faktor, termasuk kebangkitan budaya sneaker dan streetwear pada era 2010-an, serta perubahan gaya hidup akibat pandemik Covid-19.

BACA LAGI: Nurul Izzah tersenarai antara 30 individu berpengaruh Project Syndicate Forward Thinkers List

BACA LAGI: Berhenti kerja demi anak autistik, Autism Cafe Project ruang untuk berdikari, elak dipandang rendah masyarakat

Kasut Mary Jane (kanan) dan 'kitten heels' semakin digemari berbanding kasut tumit tinggi. — Gambar hiasan

Ketika ramai mula bekerja dari rumah, kasut tumit tinggi menjadi tidak relevan melainkan jika ada acara khas.

Data yang didedahkan oleh firma analisis runcit Edited menunjukkan jualan kasut tumit tinggi menurun kepada 65 peratus pada suku kedua tahun 2020.

Hari ini, stiletto bukan lagi pilihan utama. Sebaliknya, gaya seperti kitten heels, tumit blok dan kasut tumit baji (wedges) lebih digemari.

Kasut rata seperti ballet flats, loafers dan but juga semakin mendapat tempat dalam pasaran.

Jenama seperti Christian Louboutin dan Steve Madden turut menyesuaikan penawaran mereka dengan cita rasa baharu ini.

Menurut penganalisis dan peruncit fesyen di Edited, definisi kewanitaan juga berubah. Tidak semestinya kasut tumit tinggi melambangkan keanggunan.

Sneakers dan kasut rata kini juga mampu menjadi simbol kewanitaan. Tambahan pula, rekaan denim longgar masa kini lebih sesuai dipadankan dengan kasut yang lebih ringkas.

Namun begitu, kasut tumit tidak lenyap sepenuhnya. Ia melalui proses perubahan gaya dan naratif.

Jenama seperti Miu Miu dan Simone Rocha memperkenalkan rekaan yang diinspirasikan daripada konsep 'girlhood' yang lebih segar dan bebas daripada pandangan lelaki.

Kasut seperti Mary Jane bertumit rendah juga semakin popular sebagai pilihan untuk acara formal.

Jelas, kasut tumit tinggi masih ada tempat dalam dunia fesyen, cuma dalam bentuk yang lebih moden dan pelbagai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram