
BARNES & Noble ialah salah satu peruncit buku terbesar dan paling ikonik di Amerika Syarikat (AS).
Diasaskan pada abad ke-19, syarikat tersebut berkembang pesat pada era 1990-an dan awal 2000-an, terkenal dengan rangkaian kedai buku bersaiz besar yang lengkap dengan kafe, ruang membaca, dan pelbagai pilihan buku fizikal serta bahan bacaan lain.
Pada kemuncaknya, Barnes & Noble mengendalikan lebih 700 cawangan di seluruh AS dan menjadi simbol budaya membaca serta tempat pertemuan masyarakat pencinta buku.
BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online
BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis
Namun, dalam tempoh lebih satu dekad kebelakangan ini, Barnes & Noble mengalami kemerosotan yang ketara antaranya akibat persaingan digital dan kewujudan buku elektronik atau e-buku.
Bagaimanapun, 2019 kemudiannya menjadi titik perubahan penting buat syarikat yang mengusahakan kedai buku tersebut apabila firma pelaburan Elliott Management mengambil alih Barnes & Noble.
Ketua Pegawai Eksekutif Barnes & Noble, James Daunt. — Agensi
Perubahan pemilikan terbabit menyaksikan pelantikan James Daunt, seorang tokoh peruncitan buku terkenal ekoran kejayaannya sebagai ketua pegawai eksekutif untuk memulihkan rangkaian kedai buku popular di Waterstone, United Kingdom.
Dalam pada itu, strategi itu mula menunjukkan hasil pada 2023 apabila Barnes & Noble melaporkan pertumbuhan jualan dan keuntungan termasuk dengan pembukaan cawangan baharu.
Terkini, dalam langkah yang mungkin lebih bersifat simbolik berbanding komersial, syarikat itu kembali menduduki semula sebuah bangunan bertingkat di Washington, AS yang pernah menjadi kedai utamanya.
Untuk rekod, Barnes & Noble meninggalkan premis tersebut pada 2013 ekoran kemerosotan operasinya.
Pembukaan tersebut hanya salah satu daripada lebih 60 cawangan baharu pada tahun lalu, sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan agresif yang sebelum ini kelihatan mustahil untuk dilaksanakan.
James merujuk pembukaan cawangan Georgetown itu sebagai “contoh dramatik kebangkitan semula kedai buku fizikal yang sedang berlangsung.”
Sebelum kehadiran James, Barnes & Noble dilihat menempuh jalan sama seperti kebanyakan peruncit AS yang bergelut dengan perubahan digital.
Jualan merosot dengan teruk mengakibatkan penutupan ratusan cawangan apabila pengguna beralih kepada pembelian dari peruncit dalam talian seperti Amazon.
Namun, Barnes & Noble mula merombak model perniagaannya.
Ia kini mengutamakan cita rasa pelanggan berbanding promosi pukal dan menyasarkan komuniti pembaca yang aktif di media sosial.
Kebangkitan kedai buku
Seorang pembeli mengambil gambar buku di dalam kedai buku Barnes & Noble di New York, AS. — Agensi
James membezakan dirinya daripada peneraju terdahulu dengan menyifatkan dirinya sebagai seorang penjual buku, bukan sekadar peruncit — satu perbezaan kecil dari segi istilah, namun penting untuk pendekatan syarikat yang meletakkan "buku sebagai keutamaan."
Ini bermakna setiap kedai diberi kuasa untuk membuat keputusan sendiri tentang buku yang ingin dijual dan dipamerkan, serta memfokuskan model "satu acuan untuk semua".
“Masalah Barnes & Noble ketika saya mula ambil alih ialah kedai-kedainya sendiri tidak begitu bagus.
“Bagi saya, kedai buku yang baik mesti disusun dengan teliti. Itu adalah intipati kemahiran utama seorang penjual buku di mana anda cuba memilih tajuk-tajuk yang paling menarik minat pelanggan dan mempamerkannya dengan berkesan,” kata James kepada CNN.
Strateginya itu dianggap sebagai satu perjudian besar.
Beliau bukan sahaja bergantung kepada penilaian pengurus setiap kedai, malah turut menolak pendapatan daripada penerbit besar yang lazimnya membayar untuk ruang promosi buku baharu mereka.
Namun, pendekatan diinspirasikan daripada model kedai buku mandir itu akhirnya membuahkan hasil.
Data daripada syarikat analitik lokasi, Placer.ai menunjukkan kunjungan ke Barnes & Noble meningkat sebanyak 7 peratus sejak 2019.
“Kami kini lebih stabil sebagai peruncit.
“Dulu, kami mungkin akan cuba menstrukturkan semuanya dari ibu pejabat. Tapi sekarang, perkara paling masuk akal adalah biarkan setiap kedai bekerja dengan cara mereka sendiri,” kata James.
Model yang memberikan kepercayaan kepada penjual buku individu tersebut ternyata berjaya.
Malah, ia sesuatu yang sangat berbeza dengan pendekatan pesaingnya, Amazon, yang membuka Amazon Books pada 2015.
Amazon Books menggunakan pendekatan berdasarkan “penarafan tertinggi” di laman web mereka, namun gagal menarik minat pembeli fizikal dan menutup semua lokasi pada 2022.
Peranan #BookTok
James turut menyifatkan kejayaan terkini Barnes & Noble turut dipacu oleh fenomena BookTok, iaitu satu komuniti di TikTok yang muncul sekitar 2020 apabila kumpulan pempengaruh mula berkongsi cadangan buku dan penemuan bacaan baharu.
Hashtag #BookTok kini mempunyai lebih 40 juta siaran dan terus berkembang, dengan pengaruhnya menjangkaui dunia digital.
Menurut ketua bahagian buku di Barnes & Noble, Shannon DeVito, trend BookTok bukan sahaja menyemarakkan semula minat membaca, malah membantu kedai-kedai menentukan buku yang patut mereka dapatkan.
“Banyak kedai mengambil peluang ketika kemuncak BookTok untuk mencipta sudut paparan khas mengikut saiz masing-masing kerana mereka mempunyai fleksibiliti itu dan itu adalah satu lagi kelebihan bila kedai boleh menentukan pendekatan sendiri,” katanya.
Fenomena itu juga menarik lebih ramai pengunjung ke kedai.
Kendra Keeter-Gray, seorang pencipta kandungan BookTok dengan lebih 100,000 pengikut, memberitahu CNN bahawa beliau dan rakan-rakannya boleh menghabiskan antara 30 minit hingga beberapa jam di Barnes & Noble, terutamanya di bahagian BookTok yang bertukar-tukar cadangan dan meneliti novel yang sedang tular.
Ruangan khusus untuk peminat BookTok yang disediakan di kedai buku di AS. — Agensi
“Kalau pergi ke Barnes, rasanya macam satu lawatan khas. Saya boleh samakan dengan masa kecil dulu bila ibu bapa bawa saya ke Six Flags,” katanya.
Barnes & Noble juga menyambut baik peminat BookTok dengan menganjurkan pelbagai acara komuniti, daripada acara pelancaran buku tengah malam hingga ke pertandingan kostum.
“Kedai-kedai sendiri memilih untuk adakan acara bersama pelanggan lokal, dan kami lihat kehadiran mencecah ratusan orang sempena pelancaran buku.
“Ia benar-benar menghidupkan semula keterujaan terhadap pelancaran buku, sesuatu yang jujurnya, tidak kami lihat sejak zaman populariti karya Harry Potter,” kata DeVito.
Buku fizikal belum mati
Lebih penting, kelahiran semula kedai-kedai seperti Barnes & Noble membuktikan keyakinan syarikat bahawa masih ada permintaan kukuh terhadap buku fizikal.
Seperti kebanyakan kedai buku, sumber pendapatan utama Barnes & Noble masih datang daripada jualan buku bercetak serta edisi terhad eksklusif yang hanya dijual di kedai mereka yang selalunya tampil dengan ilustrasi khas atau bab tambahan.
“Sentiasa ada sesuatu yang dikatakan sebagai petanda kematian buku, tetapi apa yang kita lihat dalam empat tahun kebelakangan ini adalah sebaliknya.
“Pandangan masa depan kami kini sangat positif, sesuatu yang saya tak dapat katakan beberapa tahun lepas,” kata DeVito. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram