[VIDEO] Bukan kejar ganjaran wang tunai, pelajar 'hadiahkan' 8A SPM demi kasih sayang, pengorbanan keluarga


  • Relaks
  • Khamis, 24 Apr 2025

Seorang pelajar menerima ganjaran wang tunai daripada ibunya sejurus keputusan SPM diumumkan.

HARI pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah detik penuh emosi ad gembira, ada terharu dan tidak kurang juga menitiskan air mata.

Ia bukan sekadar pengakhiran kepada satu fasa pendidikan, tetapi permulaan kepada perjalanan baharu.

Dalam ribuan kisah terpapar hari ini, satu kisah menyentuh hati tentang seorang ibu menunaikan janji kepada anaknya dengan penuh kasih sayang dan penghargaan.

BACA LAGI: Pentingnya lubang angin pada kabinet dapur, tong gas ada pengudaraan baik elak kejadian letupan tak diingini

BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha

Dalam sebuah video yang kini tular di TikTok melalui akaun @Maryam_durrie, seorang pelajar dilihat menerima ganjaran wang tunai daripada ibunya sejurus selepas keputusan peperiksaan diumumkan.

Difahamkan, ibunya berjanji akan memberikan RM100 bagi setiap gred A diperoleh dalam SPM.

Ternyata, remaja berkenaan berjaya memperoleh 8A dan menerima ganjaran sebanyak RM800.

"Ibu tunaikan janji on the spot," tulis kapsyen video tersebut, ringkas, tetapi penuh makna.

Bukan demi ganjaran wang tunai, tindakan ibu itu lebih kepada kepercayaan dan penghargaan terhadap usaha gigih anaknya.

Ia mencerminkan betapa pentingnya sokongan dan galakan daripada keluarga dalam membina keyakinan diri seseorang pelajar.

Ganjaran itu menjadi simbol pengiktirafan atas penat lelah, malam tanpa tidur, dan perjuangan menempuh cabaran sepanjang tahun-tahun persekolahan.

Namun, kisah itu turut membuka ruang dalam kalangan warganet berkongsi pelbagai perasaan.

Di ruangan komen, ada yang meluahkan rasa terharu, ada juga berkongsi pengalaman peribadi menyayat hati.

Seorang pengguna menulis, “Saya pergi kubur ibu tunjuk keputusan, tapi ibu tak ada respons. Harap arwah ibu bangga dengan saya.”

Luahan itu mengingatkan kita bahawa tidak semua yang menerima keputusan hari ini dapat berkongsi kegembiraan itu bersama insan tersayang.

Ada yang hanya mampu berdoa dari kejauhan dengan harapan kejayaan mereka sampai kepada yang telah tiada.

Selain itu ada yang meluahkan pengalaman dikecewakan meskipun berjaya.

“Dulu siap kena banding dengan saudara-mara lain, anak orang lain. Rasa macam tak guna dapat A,” kata seorang lagi pengguna.

Kata-kata itu cukup menyedarkan bahawa pengiktirafan dan penghargaan tidak selalu hadir dalam bentuk diharapkan oleh anak-anak.

Malah, ada yang berjaya, tetapi masih berasa kurang dihargai hanya kerana tidak memenuhi harapan perbandingan tidak adil.

Ia menunjukkan bahawa kejayaan akademik bukan sahaja tentang angka di atas kertas, namun mengenai kasih sayang, pengorbanan, dan penghargaan yang membentuk keperibadian dan semangat seseorang.

Perkara itu juga mengingatkan kita bahawa setiap anak wajar dihargai atas usaha mereka, tidak kira berapa banyak A diperoleh.

Paling penting ialah sokongan dan kasih sayang yang mereka terima dalam proses tersebut.

Hari ini, ramai pelajar mungkin sedang meraikan kejayaan, dan tidak kurang juga yang mungkin sedang menenangkan hati kerana keputusan yang tidak seperti diimpikan.

Tetapi kisah 1A RM100 mengajar kita bahawa sokongan keluarga khususnya dari ibu bapa boleh memberikan semangat yang luar biasa, walau dalam apa jua keadaan.

Ganjaran mungkin hadir dalam bentuk wang, tetapi kasih sayang yang ikhlas adalah hadiah paling berharga dan kekal sepanjang hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram