Rumah kini 'baby-friendly', kediaman baharu nanti konsep English, Spanish Mediterranean — Neelofa


  • Relaks
  • Jumaat, 25 Apr 2025

Rumah didiami oleh Neelofa dan keluarga dipilih dengan teliti dari segi warna dan konsep.

RUMAH bukan sekadar tempat untuk tidur dan berlindung dari segala ancaman berbahaya ataupun cuaca.

Bagi kebanyakan kita, rumah adalah pelabuhan terbesar setelah penat berlayar sepanjang hari.

Ia adalah tempat segala keluhan dan keletihan dilepaskan, tempat yang menyambut kita dengan tenang selepas mengharungi hari panjang di luar.

BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha

BACA LAGI: Pentingnya lubang angin pada kabinet dapur, tong gas ada pengudaraan baik elak kejadian letupan tak diingini

Dalam dunia yang semakin sibuk dan mencabar, rumah menjadi titik tengah kepada segala ketenangan dan inilah sebabnya mengapa hiasan dalaman serta susun atur ruang menjadi semakin penting.

Pemilihan warna, pencahayaan, susunan perabot, malah aroma ruang semuanya memberi impak kepada emosi dan mental isi rumah.

Warna-warna lembut seperti putih, biru laut, hijau pastel dan beige selalunya menjadi pilihan kerana mampu memberikan kesan menenangkan dan luas.

Ramai yang kini cenderung memilih gaya minimalis yang kemas dan lapang dan bukan sekadar trend, tetapi kerana mencerminkan keperluan untuk ruang mental lebih teratur.

Konsep mencerminkan suasana tenang memberi ruang kepada cahaya semula jadi. Instagram/Neelofa

Begitu juga buat selebriti, usahawan berjaya dan kini seorang ibu, Noor Neelofa Mohd Noor, yang sememangnya sinonim dengan gaya hidup elegan dan bijak.

Tidak hairanlah apabila ramai yang ingin tahu bagaimana rekaan dalaman rumah beliau yang bukan sahaja cantik, malah mesra keluarga.

Dalam satu sesi eksklusif bersama Majoriti, Neelofa berkongsi cerita di sebalik rekaan rumahnya kini dan juga projek kediaman masa depan yang dibina dari kosong.

Rumah yang kini didiami oleh Neelofa dan keluarga dipilih dengan teliti dari segi warna dan konsep.

"Kita pilih warna putih, cerah, dan tona off-white yang lembut," jelas Neelofa.

Neelofa memastikan rumahnya baby-friendly. — Instagram/Neelofa

Konsep itu bukan sahaja mencerminkan suasana tenang, tetapi turut memberi ruang kepada cahaya semula jadi memenuhi rumah menjadikan setiap sudut terasa luas dan lapang.

Namun, kecantikan tidak mengorbankan keselamatan.

"Kami memang pastikan semuanya baby-friendly.

"Kami pilih perabot yang tiada bucu tajam dan semuanya mempunyai 'soft edges'," tambah Neelofa, merujuk kepada keselamatan anak kecilnya yang kini aktif dan semakin membesar.

Menariknya, Neelofa turut mendedahkan bahawa beliau sedang membina rumah baharu bersama suami, bermula dari tanah kosong.

"Konsepnya lebih kepada English dan Spanish Mediterranean. Sangat berbeza dengan rumah sekarang," kata Neelofa dengan penuh teruja.

Neelofa mendedahkan bahawa beliau sedang membina rumah baharu bersama suami. Instagram/Neelofa

Ia memberi peluang kepada mereka untuk benar-benar menyesuaikan setiap sudut dengan gaya hidup serta cita rasa mereka.

Apabila ditanya tentang ruang paling disukai, Neelofa tidak teragak-agak untuk memilih ruang dapur dan ruang tamu.

"Itu tempat saya dan keluarga banyak habiskan masa. Anak-anak main, makan, tidur pun kat situ. Jadi memang ruang yang paling hidup dalam rumah kami sekarang," katanya sambil tersenyum.

Untuk rumah yang didiami kini, Neelofa dan suami banyak menghias sendiri tanpa bantuan profesional.

"Rumah sekarang ini hanya sementara, jadi kami uruskan sendiri. Tapi untuk rumah baharu, kami guna pereka dalaman dan luaran berbeza," jelasnya.

Neelofa akui suaminya juga mempunyai minat dalam dekorasi rumah. Instagram/Neelofa

Mengenai cita rasa, Neelofa akui bahawa suaminya juga punya minat dalam dekorasi rumah.

"Mula-mula banyak bergantung pada saya, tapi sekarang dia pun terlibat. Kadang-kadang dia yang pilih karpet, kerusi baharu dan macam-macam lagi.

"Dia suka, jadi saya beri ruang untuk dia buat pilihan juga."

Apa yang jelas, kediaman Neelofa bukan sekadar ruang untuk berehat, tetapi cerminan gaya hidup dan kasih sayang keluarganya.

Daripada pemilihan warna yang menenangkan, perabot yang selamat untuk anak kecil sehinggalah kepada kerjasama suami isteri dalam menghias rumah semuanya mencerminkan keseimbangan antara fungsi, estetika dan nilai kekeluargaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram