Teruja saksi persembahan artis Kpop pujaan, tindakan rakam video punca puluhan penonton konsert nyaris maut


  • Benua
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Tangkap layar mangsa mendapat rawatan oleh pasukan perubatan ketika dan konsert terpaksa ditamatkan lebih awal.

TRAGEDI rempuhan sewaktu meraikan sambutan Halloween di Seoul, Korea Selatan tidak hanya meninggalkan kesan buruk kepada penduduk negara itu sahaja.

Bahkan seluruh dunia turut berduka dengan kejadian malang itu sehingga mengakibatkan lebih 150 nyawa terkorban.

Tentu sahaja apa yang berlaku itu secara tidak langsung mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya ketika berada di kawasan sesak.

Bimbang kejadian sama berulang, konsert bintang Kpop, NCT 127 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Indonesia, Banten, Indonesia diduga dengan lebih 30 penonton pengsan.

Konsert bertajuk NCT 127 2nd Tour Neo City: Jakarta - The Link yang berlangsung pada Jumaat itu dipercayai terpaksa ditamatkan lebih awal daripada jadual asal.

Aksi tolak-menolak antara satu sama lain ketika kumpulan tersebut sedang membuat persembahan menyebabkan sekumpulan penonton mengalami sesak nafas dan terjatuh.

Susulan itu, konsert dihentikan seketika demi memberi bantuan perubatan kepada mangsa terlibat.

Menurut seorang saksi, perkara itu berlaku apabila penonton teruja untuk mendapatkan rakaman video lebih dekat.

“Penonton mula bersorak dan cuba menghampiri pentas. Mereka bertolak-tolak sehinggakan ada yang hilang keseimbangan, jatuh dan ada yang cemas kerana mengalami sesak nafas,” katanya.

Insiden itu tidak hanya menjadi sorotan media Indonesia termasuk Malaysia, bahkan negara lain seperti Korea Selatan, Sepanyol dan Brazil turut memperkatakan tentang kejadian tersebut.

Masing-masing meluahkan rasa terkejut dan bimbang tragedi sama berulang semula selain mengharapkan mangsa terlibat berada dalam keadaan baik.

Memandangkan kejadian tersebut menjadi semakin heboh, penganjur Dyandra Global Edutainment membuat permohonan maaf.

Screenshot 2022-11-05 at 9.04.07 PM

Tangkap layar laporan kejadian tersebut oleh media Korea Selatan.

“Kami sudah berusaha untuk menyediakan kawalan kesemalatan yang baik. Tentu sahaja keselamatan dan keselesaan penonton adalah keutamaan kami.

“Perkara itu berlaku di bahagian penonton berdiri dan sukar untuk dikawal apatah lagi mengawal mereka,” jelas wakil organisasi itu.

Bagaimanapun pihak mereka menjanjikan konsert hari kedua artis Kpop itu yang berlangsung di lokasi sama lebih terkawal dan menasihatkan penonton agar tidak berasak-asak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram