
'KECANTIKAN bukan terletak pada wajah; kecantikan adalah cahaya dalam hati.'
Demikian bait yang diungkapkan oleh Kahlil Gibran. Namun, ia boleh dianggap selamat untuk mengatakan bahawa penulis Lubnan-Amerika itu mungkin tidak pernah berdepan situasi 'kelebihan orang cantik' atau beauty privillege, yang membawa pelbagai manfaat di tempat kerja.
Satu kajian terkini di Amerika Syarikat menunjukkan kaitan yang ketara antara daya tarikan fizikal dan kejayaan profesional, terutamanya dalam kalangan graduan muda.
Diterbitkan dalam jurnal Information Systems Research, kajian tersebut menyatakan bahawa persepsi kecantikan fizikal boleh memberi pengaruh yang berpanjangan terhadap perjalanan kerjaya.
BACA LAGI: [VIDEO] Perkelahan bertukar tragedi, datuk meninggal dunia lepas selamatkan 2 cucu di Pantai Irama
Penampilan gaya sangat memainkan peranan penting dalam perjalanan karier. — Gambar hiasan/Freepik
Graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang memenuhi standard kecantikan semasa bukan sahaja memperoleh gaji yang lebih tinggi berbanding rakan mereka yang kurang menarik, malah lebih mudah untuk memegang jawatan tinggi.
Untuk mencapai kesimpulan ini, penyelidik dari Universiti Carnegie Mellon dan Universiti Southern California mengkaji data melibatkan lebih 43,000 graduan MBA melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan alat pembelajaran mesin canggih.
Mereka dapat memerhati evolusi hubungan antara penampilan fizikal dan kejayaan profesional sepanjang 15 tahun.
Kajian itu mendapati, secara purata, graduan yang dianggap menarik menikmati kelebihan apabila menerima pendapatan tahunan 2.4 peratus atau AS$2,500 (kira-kira RM4,500) lebih tinggi berbanding rakan-rakan mereka yang kurang berkeistimewaan dari segi rupa.
Selain gaji, impak penampilan juga mempengaruhi peluang kerjaya. 15 tahun selepas tamat pengajian, individu yang dianggap menarik mempunyai 52 peratus lebih berpeluang memegang jawatan tinggi.
Namun, kelebihan itu berbeza mengikut sektor. Profesion yang melibatkan banyak interaksi sosial seperti perundingan atau pengurusan, memberikan nilai yang lebih tinggi terhadap penampilan fizikal, manakala dalam bidang teknikal seperti teknologi informasi (IT) atau kejuruteraan, kesannya adalah lebih kecil.
"Kajian ini menunjukkan bagaimana penampilan bukan sahaja membentuk permulaan kerjaya, tetapi juga memberi gambaran tentang laluan kerjaya selama beberapa dekad.
"Penemuan ini menunjukkan kesan kecantikan yang berterusan dan semakin berkembang dalam persekitaran profesional," jelas Nikhil Malik, pengarang utama kajian tersebut dalam satu kenyataan media.
Apabila seseorang dianggap menarik secara fizikal, masyarakat cenderung mengaitkan mereka dengan ciri-ciri positif seperti kepintaran walaupun tanpa bukti yang kukuh. — Gambar hiasan/Freepik
Kecekapan laksana tugas
Jadi, apakah punca kepada keistimewaan kecantikan ini? Ahli psikologi mengaitkannya dengan fenomena yang dikenali sebagai 'efek halo'.
Teori berkenaan dikemukakan oleh Ahli Psikologi Amerika, Edward Thorndike yang menggambarkan kesan tersebut sebagai bias kognitif yang mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap seseorang berdasarkan satu ciri tunggal, sama ada positif atau negatif.
Oleh itu, apabila seseorang dianggap menarik secara fizikal, masyarakat cenderung untuk mengaitkan mereka dengan ciri-ciri positif lain secara spontan seperti kepintaran atau kebaikan, walaupun tanpa bukti yang kukuh.
Mekanisme tersebut bertindak seperti ramalan yang menjadi kenyataan yang mana seseorang yang dianggap menarik meraih lebih banyak perhatian positif dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan perilaku ekstrovert.
Semua ciri-ciri berkenaan sangat dinilai dalam dunia profesional.
"Ini adalah peringatan yang jelas bahawa kejayaan tidak hanya dipengaruhi oleh kemahiran dan kelayakan, tetapi juga oleh persepsi masyarakat terhadap kecantikan," tegas Kannan Srinivasan, pengarang bersama kajian itu dalam kenyataan media sama.
Keistimewaan kecantikan menimbulkan persoalan etika yang besar. Walaupun daya tarikan mungkin menawarkan kelebihan, ia tidak seharusnya mengaburi kepentingan kompetensi dalam tugas.
Ia menekankan kepentingan bagi syarikat untuk mengkaji semula amalan pengambilan dan pengurusan bakat untuk memastikan bahawa penampilan tidak menentukan nilai seorang pekerja. — AFP Relaxnews
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram