Anak trauma lihat ibu kena ikat waktu kecil, kongsi cara jaga pesakit bipolar sampai sembuh


  • Sihat
  • Khamis, 06 Jun 2024

Pesakit bipolar boleh sembuh jika menerima langkah penjagaan dengan sebaiknya. — Gambar Hiasan

ANAK mana tidak sedih apabila terpaksa melihat insan yang melahirkannya ke dunia menanggung penderitaan selama bertahun-tahun.

Itulah nasib seorang anak kepada pesakit bipolar yang menceritakan kisahnya kepada seorang doktor untuk dijadikan iktibar kepada keluarga-keluarga lain.

Menerusi hantaran di laman X, doktor berkenaan, Dr Aen Saari menguar-uarkan kisah mengenai seorang wanita yang menghidapi bipolar selepas mendapat persetujuan keluarga mangsa untuk mendedahkan perkara itu.

BACA LAGI: Lelaki patah tulang paling keras dalam badan ketika batuk akibat kerap minum air berkarbonat

BACA LAGI: Cetus tekanan jangka panjang, ketahui langkah hadapi 'burnout' semasa bekerja

WhatsApp Image 2024-06-05 at 7.22.13 PM

Pesakit bipolar perlulah sentiasa dipantau perubahan sikapnya.

Dr Aen berkata, anak mangsa mengakui mengalami trauma apabila melihat detik tragis sewaktu berusia lima tahun.

"I masa umur lima tahun sudah nampak ibu diikat kaki dan tangan di katil hospital" kata anak mangsa melalui hantaran yang didedahkan oleh Dr Aen.

Meskipun begitu, keluarga mangsa tetap sabar menghadapi ujian yang diberikan sehingga ibunya mampu pulih daripada penyakit bipolar.

Bagaimanapun, ibunya disahkan meninggal dunia selepas pulih selama hampir 10 tahun daripada kesengsaraan itu

Anak mangsa turut berkongsi tip untuk menghadapi pesakit bipolar yang perlu dititikberatkan oleh orang di luar sana.

1. Sokongan keluarga

Sokongan keluarga sangatlah diperlukan untuk menangani pesakit bipolar memandangkan mereka mudah mengalami perubahan mood.

"Orang bipolar ini, mood mereka boleh bertukar dalam sesaat.

"Dalam satu saat boleh sedih, boleh marah dan boleh juga gembira, semuanya terjadi dalam masa yang singkat," katanya.

Menurut anak mangsa, pesakit bipolar perlulah menerima sokongan daripada keluarga tanpa henti.

"Ayah saya kahwin dengan ibu selama lebih 30 tahun sekali pun tidak pernah give up.

"Sokongan keluarga terlalu penting untuk pesakit bipolar," katanya.

2. Memantau perubahan sikap

Penyakit bipolar (atau kecelaruan dwikutub) sejenis penyakit mental yang menyebabkan perubahan emosi, tingkah laku dan pemikiran.

Menurut anak mangsa, adik-beradiknya dan juga adik-beradik kepada ibunya sering kali memantau perubahan mood yang terjadi kepada ibunya.

"Ayah saya selalu pergi kerja luar kawasan jadi anak-anak dan adik beradik ibulah yang selalu memantau," tulisnya.

Anak mangsa berkata, setiap kali penyakit ibunya datang, ibunya berasa seakan-akan mahu melakukan semua perkara dalam satu masa.

"Tiba-tiba dia mahu keluar sana sini, mahu buat itu ini, tidak keluar malam dan sudah tidak mengambil ubat," katannya.

Namun, ahli keluarga segera memaklumkan di antara satu sama lain untuk mengambil tindakan segera.

3. Memaklumkan kepada orang sekeliling tentang keadaan pesakit

Pesakit bipolar kebiasaanya akan mengeluarkan kata-kata tanpa memikirkan perasaan orang lain.

"Mereka malah boleh berhalusinasi atau membayangkan sesuatu yang menimbulkan fitnah.

"Seumpama macam temporary imagine yang berada di pemikiran dan mereka merasakan perkara itu realiti sampai memberitahu kepada orang lain," katanya.

Namun, ahli keluarga dan jiran terdekat perlulah segera memaklumkan kepada orang ramai mengenai keadaan pesakit supaya tidak menimbulkan sebarang ketidakfahaman.

"Ibu saya pernah bawa parang ke rumah jiran kerana berimaginasi jirannya tengah mengendap.

"Tetapi alhamdulillah jiran faham kerana kami segera memaklumkan keadaan ibu yang pada ketika itu tengah tidak berapa baik," katanya.

Bipolar-Med-Patience

Pesakit bipolar perlulah mengambil ubat agar pulih daripada penyakitnya. Gambar Hiasan

4. Mengambil ubat

Pesakit bipolar memerlukan ubatan yang dipanggil mood stabiliser.

Menurut keluarga pesakit, orang yang mengalami bipolar boleh sembuh seperti individu normal jika mengambil ubat-ubatan.

"Selagi pesakit makan ubat hari-hari, keadaannya memang normal iaitu boleh bekerja, boleh berkahwin dan bercinta.

"Masa dia sihat juga dia yang akan makan ubat tanpa perlu diingatkan kerana mereka boleh berfikir yang ubat itu penting untuk kestabilan diri," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-05 at 7.27.15 PM

Pesakit bipolar perlulah mendapat sokongan daripada individu yang berada di sekitarnya. Gambar Hiasan

5. Menjaga perkataan yang diucapkan kepada pesakit

Menurut anak pesakit, seseorang perlulah mengelak daripada menggunakan perkataan negatif kepada pesakit.

"Jangan cakap kau ini gila, tengah gila, sakit mental dan lain-lain kerana akan menyebabkan pemikiran mereka terganggu.

"Mereka akan susah terima perkataan itu dan menyebabkan sedih atau mengamuk kerana beranggapan tiada yang memahami mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram