
DALAM era digital hari ini, kehidupan kita seakan-akan disusun atur untuk tatapan umum. Namun, di sebalik gambar indah dan video penuh gelak tawa yang dimuat naik setiap hari, wujud satu trend semakin membimbangkan apabila golongan pempengaruh (influencer) khususnya menggunakan anak-anak sebagai kandungan di media sosial.
Fenomena itu semakin kerap berlaku di Malaysia, yang mana ibu bapa menjadikan si kecil 'selebriti mini' tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental anak-anak tersebut.
Mereka berpendapat video itu tidak mendatangkan bahaya kerana kanak-kanak sekadar ketawa, bermain atau berkongsi momen manis. Namun, di sebalik semua itu tersembunyi realiti jauh lebih rumit dan membimbangkan.
BACA LAGI: Lt Kol Ts Dr. Maimunah, pegawai wanita ATM wakil tunggal Asia pada ‘Defence Leaders Forum’
BACA LAGI: Permintaan tinggi bertemakan alam, 3 tema resepsi paling popular dalam kalangan bakal pengantin
Tanpa sedar anak-anak yang terlalu muda untuk memberikan persetujuan kini hidup dalam dunia apabila kehidupan mereka dipertontonkan kepada ribuan, malah jutaan orang asing.
Privasi terjejas tanpa sebarang peluang untuk bersuara. Harganya? Mungkin kesan kesihatan mental yang hanya akan mula dirasai beberapa tahun kemudian.
Bahan komersial
Ramai ibu bapa berpengaruh berasakan bahawa anak-anak adalah sebahagian daripada kehidupan mereka, jadi tidak salah untuk melibatkan dalam kandungan digital.
Namun realitinya, anak-anak itu tidak sekadar 'terlibat', bahkan dijadikan bahan komersial. Wajah, emosi dan detik-detik peribadi anak digunakan untuk meraih tontonan, tanda suka dan kerjasama jenama.
Antaranya merakam momen hari pertama anak memasuki sekolah apabila momen sedih atau amukan kecil dirakam untuk tontonan awam. Seharusnya, ragam manis sedemikian biarlah menjadi pengalaman peribadi buat ibu dan bapa sahaja.
Namun budaya influencer telah mengubah para ibu bap menjadikan satu persembahan sehingga kesedihan anak pun boleh dijadikan kandungan relatable yang berpotensi tular.
Kesan pendedahan itu mungkin tidak dirasai serta-merta, tetapi besar kemungkinan mereka akan membesar dalam persekitaran tanpa privasi atau risiko berdepan masalah kesihatan mental yang serius.
Terlalu muda kata setuju
Kanak-kanak terlalu muda untuk memahami maksud kehidupan mereka didokumentasikan secara terbuka. Mereka tiada kuasa menyatakan pendapat dan apabila sudah matang untuk bersuara, mungkin sudah terlambat.
Momen peribadi yang kadangkala memalukan akan kekal di internet untuk selama-lamanya.
Anak-anak yang membesar dalam dunia digital mungkin akan berdepan isu identiti diri. Mereka mungkin terlalu fokus bagaimana dilihat orang lain, obses terhadap rupa paras, tingkah laku dan sama ada disukai atau tidak dalam erti kata sebenar dan metafora.
Ada juga ibu bapa yang secara tidak sedar menjadikan anak mereka sebagai alat pemasaran. Apabila seorang anak menjadi watak utama dalam kandungan berbayar, mereka tidak lagi sekadar anak kecil, tetapi aset jenama.
Tekanan untuk 'beraksi' boleh menjadi beban besar, membawa kepada tekanan, keletihan emosi dan kepenatan seawal usia kanak-kanak.
Pendedahan tidak sihat
Walaupun seorang kanak-kanak tidak menggunakan media sosial secara aktif, melihat imej mereka tersebar dalam talian boleh membawa kepada perbandingan yang tidak sihat.
Mereka mungkin membandingkan diri dengan kanak-kanak lain yang kelihatan lebih sempurna di media sosial. Itu boleh mencetuskan perasaan rendah diri, keresahan atau kemurungan.
Lebih membimbangkan dengan imej mereka yang tular, risiko buli siber dan eksploitasi meningkat mereka boleh menjadi sasaran komen jahat atau kandungan memalukan.
Dalam dunia digital hari ini, ancaman seperti pencurian identiti atau pemangsa dalam talian adalah sangat nyata. Ibu bapa mungkin tidak sedar bahawa kandungan yang kelihatan 'tidak berbahaya' sebenarnya membuka pintu kepada risiko besar.
Tiada perlindungan undang-undang jelas
Sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa menampilkan anak dalam media sosial membawa manfaat seperti kestabilan kewangan, peluang, dan komuniti yang menyokong. Namun persoalannya, pada harga apa?
Kita telah melihat ramai bintang cilik dari industri hiburan tradisional yang menghadapi kesukaran apabila dewasa seperti keresahan, kemurungan, masalah kepercayaan dan isu identiti. Kini, kidfluencers menunjukkan kita mungkin mengulangi sejarah, tetapi dalam bentuk kandungan keluarga.
Berbeza dengan pelakon kanak-kanak dalam industri hiburan, yang dilindungi oleh undang-undang di beberapa negara untuk menjamin pendapatan dan had pendedahan, anak-anak kepada influencer selalunya tidak dilindungi. Di Malaysia, masih tiada garis panduan jelas mengenai sejauh mana seorang anak boleh dipaparkan dalam media sosial, apatah lagi tentang hak mereka terhadap pendapatan atau privasi.
Hormati privasi anak
Setiap ibu bapa, sama ada influencer atau tidak, perlu berhenti sejenak dan berfikir. Anak anda bukan produk. Mereka bukan persembahan untuk tontonan umum. Mereka adalah insan kecil yang berhak kepada privasi, maruah dan peluang untuk membesar tanpa tekanan perhatian awam.
Sebelum memuat naik gambar atau video anak, tanya diri sendiri. Adakah kandungan itu benar-benar untuk kebaikan anak saya, atau untuk kepuasan saya sendiri? Bagaimana jika gambar ini kekal di internet selama-lamanya? Adakah saya selesa dengan orang asing melihatnya?
Sebagai orang dewasa, kita memilih untuk terlibat dalam dunia digital. Anak-anak kita, sebaliknya, tidak. Mereka berhak untuk memasuki dunia dalam talian atas kehendak mereka sendiri apabila sudah cukup matang untuk memahami risikonya.
Pembuat dasar harus bertindak segera. Undang-undang perlu digubal bagi melindungi anak-anak daripada eksploitasi digital. Di beberapa negara, langkah sudah diambil untuk memastikan kanak-kanak influencer dilindungi dari segi kewangan dan pendedahan. Malaysia juga perlu bergerak ke arah yang sama.
Platform media sosial juga mesti memainkan peranan dengan memperketatkan garis panduan kandungan melibatkan kanak-kanak. Tetapi tanggungjawab utama tetap terletak pada bahu ibu bapa. Pilihan untuk melindungi atau mendedahkan anak anda adalah di tangan anda.
Zaman kanak-kanak terlalu berharga untuk dijadikan kandungan. Ia sepatutnya menjadi masa untuk meneroka, bermain, melakukan kesilapan dan membesar bukannya hidup di bawah lensa kamera sepanjang masa.
Media sosial adalah alat yang kuat. Tapi ia tidak seharusnya mengorbankan kesejahteraan anak-anak. Jadi, kepada setiap ibu bapa dengan pengikut, platform, atau sekadar telefon pintar tolong biarkan anak anda menjadi anak-anak. Biarkan mereka membesar dengan aman, bebas daripada tekanan perhatian dunia maya.
Ini kerana tiada jumlah tanda suka atau penajaan yang berbaloi untuk menggantikan ketenangan jiwa dan hak privasi mereka. — The Star/DATUK DR ANDREW MOHANRAJ
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram