'Pentingnya komunikasi, faham peranan ketua keluarga', lelaki 'sound' suami suka duduk ofis lama-lama elak jumpa isteri


  • Relaks
  • Selasa, 22 Apr 2025

Suami perlulah jelas peranan sebagai ketua keluarga. — Gambar Hiasan

ISU suami yang sanggup 'melepak' di ofis hingga lewat malam demi mengelak pulang ke rumah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya.

Kisah yang dikongsi oleh seorang pengguna media sosial, SaltWatch6784 itu mendedahkan ramai lelaki yang sudah berkahwin tidak sanggup berhadapan dengan isteri sendiri, malah mengaku lebih rela menghabiskan masa lama di pejabat. 

"Banyak kawan-kawan lagi sanggup duduk di ofis sampai pukul 9 hingga 10 malam kerana tak sanggup balik rumah berjumpa dengan isteri. Hampir semua cakap menyesal kahwin dengan pasangan yang silap. Korang ada kenalan macam ni?

"Antara alasan termasuklah tekanan daripada pasangan, tuntutan hidup yang tidak munasabah serta rasa terpinggir dalam membuat keputusan penting seperti pembelian rumah," katanya. 

BACA LAGI:  Bonda Rozita sifatkan Shahida, Fiza menantu terbaik, 'hadiah' termahal dalam hidup, susah senang bersama

BACA LAGI:  Bercakap atau berjalan dulu bukan isu, pakar kongsi panduan pantau 'milestone' anak

Isu rumah tangga perlulah diselesaikan dengan adanya komunikasi antara satu sama lain. — Gambar Hiasan

Namun, dalam isu terbabit, muncul beberapa netizen yang menyeru agar lelaki lebih bertanggungjawab serta memahami peranan sebenar mereka sebagai ketua keluarga.

Seorang lelaki, ZiqueAhmad menekankan pentingnya komunikasi dalam rumah tangga.

"Tak puas hati cakap. Tak suka cakap. Berduka pun cakap. Kalau itupun tak function, pergi terapi atau kaunseling. Masih tak okay, cerai lah. Sendiri yang menyusahkan diri sendiri," tulisnya.

Seorang pengguna, AH mengingatkan bahawa dalam Islam, hubungan suami isteri bukan semata-mata berpaksikan cinta, tetapi berlandaskan mawaddah (kasih) dan rahmah (belas kasihan). 

"Cinta yang bersifat sementara tidak akan mampu menjadi asas yang kukuh dalam membina rumah tangga," katanya. 

Namun, pengguna lain, Pwnshell berpandangan bahawa penceraian bukanlah penyelesaian yang mudah.

Menurutnya, kesan penceraian sangat besar terutamanya kepada anak-anak, justeru perkahwinan harus diiringi dengan ilmu dan kesediaan mental.

Dalam pada itu, Nis_twt96  menekankan betapa pentingnya ilmu sebelum mendirikan rumah tangga. 

"Kahwin sebab cinta semata-mata begini lah jadinya. Sebelum kahwin, tolong belajar ilmu munakahat. Fahami erti sakinah, mawaddah dan rahmah," katanya.

Malah, ada juga yang mengaitkan lelaki sebegitu mempunyai masalah kesihatan mental sehingga memilih 'melarikan diri' daripada tanggungjawab rumah tangga.

"Lelaki yang ni mostly probably ada avoidant attachment issue. Sebab tu dia cakap macam tu. Ofis saya tepat pukul 5 petang semua balik rumah," ujar Melati Hani.

Namun begitu, tidak semua lelaki memilih untuk 'lari' daripada rumah tangga.

Pengguna lain, Azilaniaz berkongsi pengalaman positif bahawa rakan sepejabat lelakinya sangat menghargai keluarga, malah sering membawa isteri dan anak-anak ke majlis syarikat.

"Di jabatan saya ni seorang saja perempuan. But my colleagues alhamdulillah semua sayang bini masing-masing. Terlampau sayang pun ada tau.

"Jika buat aktiviti, memang semua bawa famili masing-masing. Selalu dengar diorang cerita bawa famili jalan-jalan hujung minggu, cuba aktiviti itu ini," katanya.

Namun, ada juga pandangan yang lebih seimbang. Seorang lelaki bergelar suami, Enze Azrul Amom berkongsi bahawa dia kadangkala duduk dalam kereta sebentar sebelum masuk rumah untuk berehat.

"Kat ofis ada kerja. Kat rumah pun ada kerja, kena jelas sebagai suami dan bapa," katanya. 

Jiennax pula memberi pesanan agar tidak menyimpan masalah terlalu lama. 

"Kalau asyik pendam dan larikan diri, nanti langsung tak ada rasa nak teruskan rumah tangga. Itu toksik," katanya. 

Brown Humanhere pula menasihatkan supaya pilih pasangan yang 'sekufu', iaitu yang sama dari segi cara fikir, nilai hidup dan boleh bertolak ansur. 

"Bukan hanya dari segi harta atau rupa. Sebagai ketua keluarga, lelaki perlu lebih tegas dalam memainkan peranan mereka.

"Bukan sekadar membawa diri dan membiarkan masalah rumah tangga yang berlarutan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  TwitterFacebook,  InstagramWhatsApp Channel  dan Telegram