
SENYUMAN dan langkah kecil pertama anak sememangnya menjadi momen manis yang tidak dapat dilupakan oleh ibu bapa.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, ramai juga insan bergelar mak ayah yang dibelenggu kebimbangan apabila anak tidak mencapai tanda aras perkembangan seperti rakan sebaya mereka.
Pakar Perunding Pediatrik Perkembangan Kanak-Kanak Sunway Medical Centre, Dr Norazlin Kamal Nor berkata, memantau perkembangan anak dari usia awal adalah penting bagi memastikan sebarang keperluan intervensi dapat dikenal pasti lebih awal.
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi
Detik anak mula berjalan adalah momen bermakna yang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa.
Namun, beliau turut menegaskan bahawa kebimbangan yang berlebihan hanya akan membebankan emosi ibu bapa.
"Setiap anak itu unik. Ada yang berjalan dahulu, ada yang bercakap dahulu.
"Apa yang penting ialah mereka menunjukkan kemajuan dalam perkembangan mereka dari semasa ke semasa," jelas Dr Norazlin.
Dr Norazlin Kamal Nor.
Perkembangan anak boleh dinilai melalui 'milestone' atau penanda aras yang telah ditetapkan dan ia boleh menjadi petunjuk penting terhadap kesihatan perkembangan kanak-kanak.
Menurut Dr Norazlin, ibu bapa disarankan mula memantau pencapaian anak masing-masing bermula usia dua bulan sehingga lima tahun.
“Pelbagai alat seperti senarai semak manual mahupun aplikasi telefon pintar boleh digunakan.
"Rekod ini boleh dikongsi bersama doktor ketika pemeriksaan berkala bagi melihat kemajuan perkembangan anak,” katanya.
Anak menunjukkan tanda-tanda awal seperti duduk dan berdiri sebelum berjalan.
Jalan Dahulu atau Bercakap Dahulu?
Persoalan sama ada anak perlu berjalan atau bercakap dahulu sering menjadi tanda tanya.
Jawapan sebenar adalah ia bergantung kepada anak itu sendiri.
"Kebanyakan kanak-kanak akan mula berjalan sebelum menyebut perkataan mudah apabila usia mencecah setahun.
"Apa yang penting ialah anak menunjukkan tanda-tanda awal seperti duduk dan berdiri sebelum berjalan, serta berbual kosong (babbling) dan bertindak balas terhadap bunyi sebelum bercakap,” jelas Dr Norazlin.
Beliau juga menolak tanggapan kononnya kanak-kanak yang cepat bercakap akan lambat berjalan kerana kedua-dua kemahiran itu berkembang di bahagian otak yang berbeza dan tidak saling berkaitan.
Dr Norazlin berkata, kelewatan anak-anak bercakap atau berjalan tidak semestinya menunjukkan permasalahan serius kerana mereka akan dapat 'catch up' dengan sendirinya.
Namun, jika terdapat kelewatan dalam semua aspek atau kehilangan kemahiran yang telah dikuasai, ia mungkin menjadi petanda awal kepada kecacatan perkembangan.
“Langkah terbaik ialah mendapatkan nasihat pakar seperti doktor keluarga atau pakar pediatrik untuk penilaian lanjut,” ujarnya.
Ada ibu bapa yang terlalu teruja apabila anak mencapai 'milestone' lebih awal.
Rawatan susulan seperti terapi pertuturan, fisioterapi, terapi pekerjaan atau terapi tingkah laku mencukupi untuk membantu anak kembali berada di landasan perkembangan yang sihat.
Kalau Capai 'Milestone' Terlalu Awal?
Ada juga ibu bapa yang terlalu teruja apabila anak mencapai milestone lebih awal berbanding rakan sebaya.
“Ramai menganggap anak mereka dilahirkan dengan kurniaan luar biasa atau 'gifted'. Namun, pencapaian awal tidak semestinya menggambarkan tahap kecerdasan yang lebih tinggi.
"Ia hanyalah variasi normal dalam perkembangan,” tegas Dr Norazlin.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak meletakkan tekanan yang berlebihan kepada anak kecil yang baru belajar mengenal dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*