
MAJLIS perkahwinan pasangan sama cantik sama padan berasal dari Qingdao, Shandong, China mencuri perhatian rata-rata pengguna media sosial baru-baru ini.
Momen indah yang berlangsung pada 5 Mei 2024 itu kembali tular semula sejak Isnin selepas rakaman video yang memaparkan pengantin perempuan tampil mengenakan seragam sekolah pada hari bahagia mereka, dimuat naik semula ke laman Threads.
Menurut laporan daripada Qingdao News, pasangan itu pertama kali bertemu ketika mereka berada di sekolah menengah.
BACA LAGI: Lelaki lebih setia dengan tukang gunting rambut berbanding pasangan sendiri?
Walaupun berbeza kelas, hubungan mereka semakin lama menjadi rapat antara satu sama lain.
Selepas tamat pengajian universiti, mereka memutuskan untuk bersama dan mengakhiri hubungan dalam ikatan perkahwinan penuh makna.
Namun, apa yang membuatkan perkahwinan itu begitu istimewa adalah kejutan yang dibuat oleh pengantin perempuan.
Tiga hari sebelum majlis, dia meminjam seragam sekolah dari seorang rakannya untuk dikenakan pada hari perkahwinan.
Di hadapan semua tetamu, pengantin perempuan berjalan di atas karpet merah dengan memakai seragam sekolah lengkap dan mengikat rambut gaya ponytail, mirip penampilannya di zaman persekolahan.
Dia kemudiannya berjalan menuju ke arah pengantin lelaki yang sedang menunggu dan menyapa pengantin lelaki dengan menepuk bahunya dari belakang.
Pengantin lelaki yang teringat kembali kenangan pertama kali mereka bertemu tidak dapat menahan sebak dan menangis di hadapan ramai orang.
Momen tersebut sangat mengharukan kerana ia memberi gambaran betapa dalamnya perasaan mereka terhadap satu sama lain.
Dalam satu temubual, pengantin perempuan berkongsi kenangan manis sepanjang hubungan mereka.
Antara momen yang paling diingati adalah bagaimana kekasihnya itu sanggup menunggang basikal demi menghantarnya pulang selepas sesi persekolahan walaupun rumahnya agak jauh.
Malah, dia terharu apabila teman lelakinya itu memberinya jaket sewaktu hujan.
Tidak hanya itu, buah hatinya itu juga mengisi borang permohonan universiti sama untuk membolehkan mereka kekal dalam jurusan sama.
Walaupun pengantin perempuan memilih untuk kembali ke kampung halaman selepas tamat pengajian, pengantin lelaki memberi sokongan penuh sebelum mereka berdua melangkah ke alam perkahwinan bersama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram