
SETIAP pasangan yang merancang untuk mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan sebuah perkahwinan harmoni, bahagia dan berkekalan sehingga akhir hayat.
Namun, di sebalik majlis yang gah dan lafaz akad yang menyentuh hati, kehidupan selepas berkahwin menuntut lebih daripada sekadar cinta dan keserasian semata-mata.
Sebab itulah ramai menekankan kepentingan mengenal pasti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan besar itu.
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi
Kehidupan selepas memiliki anak adalah salah satu soalan yang perlu diajukan kepada bakal suami.
Malah, perbincangan awal antara bakal suami dan isteri bukan sahaja membantu menjernihkan harapan masing-masing, tetapi mencegah konflik yang mungkin timbul kemudian hari.
Baru-baru ini, seorang pengguna, Sharifahnsisters di laman sosial Threads mengemukakan satu soalan yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, khususnya golongan wanita.
"Pada isteri-isteri, apa soalan yang patut ditanya kepada bakal suami sebelum bernikah?"
Soalan itu membuka ruang perbincangan yang luas dalam kalangan pengguna dan ramai berkongsi pengalaman dan pandangan berdasarkan realiti kehidupan selepas berkahwin.
Antara isu utama dibangkitkan termasuklah kewangan, peranan dalam rumah tangga, kediaman sehingga soal masa depan dan kesediaan mental.
Berikut antara soalan-soalan yang dicadangkan warga maya:
1. Kewangan
Seorang pengguna, Lot007i berkongsi pendekatan praktikal yang dilakukan bersama pasangannya sebelum bernikah.
Mereka membentangkan secara telus pendapatan, perbelanjaan dan hutang masing-masing.
"Lepas tahu semua tu, masa untuk bincang perbelanjaan rumah tangga pulak. Dulu suami bayar sewa rumah, api air, barang dapur. Saya bayar benda lain. Lepas ada anak, dia bayar susu dan diaper, saya pula bayar pengasuh," jelasnya.
Katanya lagi, kini selepas 18 tahun berkahwin, suaminya sudah mula menanggung semua perbelanjaan keluarga.
Ramai menekankan kepentingan bertanya soalan yang betul sebelum mengambil keputusan berumah tangga.
2. Kenal pasti komitmen
Pengguna Devreny pula menyarankan supaya bakal isteri membuat kira-kira komitmen bulanan suami.
"Perlu tahu jumlah nafkah yang akan diberi, isteri perlu teruskan kerja atau menjadi suri rumah, siapa yang akan masak nanti, tinggal di mana rumah sendiri, sewa atau rumah keluarga?
"Giliran siapa balik kampung ketika perayaan," kata Devreny.
Persoalan itu penting bagi mengelakkan konflik pada masa depan terutamanya isu sensitif seperti tempat tinggal dan giliran pulang ke kampung.
3. Elak jadi mangsa hutang pasangan
Bagi Ayuedanan, beliau berkongsi kisah menyedihkan rakannya yang berkahwin tanpa mengetahui suami menanggung hutang besar.
"Lepas kahwin baru tahu suami banyak hutang. Sampai tiga tahun makan mi segera. Last minta cerai sebab tak tahan. Dah la hutang banyak, main judi pula," katanya.
Ayuedanan turut berkata, soalan tentang status kewangan dan hutang bukan sekadar ingin ‘mengorek’, tetapi demi masa depan lebih selamat.
4. Uji niat dan prinsip pasangan
Menariknya, pengguna lain, Sharifah n Sisters tidak bertanya soalan lazim seperti gaji atau simpanan.
Sebaliknya, bertanya satu soalan berkait punca seseorang dikenali berkeinginan untuk bernikah.
"Kenapa kita kena nikah? Kenapa tak boleh dating sahaja?," katanya.
Jawapan bakal suaminya ketika itu adalah kerana 'nikah itu ibadah dan perintah ALLAH' yang meyakinkannya bahawa lelaki itu serius dan berprinsip.
5. Persediaan masa depan dan konflik
Pengguna lain, Applepie pula menyarankan agar pasangan membincangkan beberapa soalan seperti:
- Sama ada wang sudah cukup.
- Cara menyelesaikan konflik jika berlaku masalah.
- Bagaimana mahu kekalkan hubungan supaya tidak hambar.
- Perancangan masa depan bersama.
Setiap pasangan perlu menitikberatkan soalan berkait rumah sebelum memilih untuk berkahwin.
6. Rumah dan mentaliti
Warga maya, Fatinambee pula menekankan beberapa aspek penting seperti:
- Elak tinggal serumah dengan ibu sendiri.
- Sediakan kenderaan.
- Sikap pasangan jika tiada rezeki anak.
- Ada simpanan selepas majlis kahwin.
- Kesediaan mental untuk berubah gaya hidup.
- Kenali latar belakang keluarga pasangan.
7. Kehidupan selepas miliki anak
Pengguna Shahirasalmi berkongsi dua soalan ringkas tetapi padat iaitu:
- Boleh bangun malam uruskan anak tak?
- Boleh saya keluar dengan kawan-kawan selepas ada anak?
Dua soalan itu mencerminkan isu yang sering berlaku dalam rumah tangga iaitu pembahagian tanggungjawab dan ruang peribadi selepas bergelar ibu bapa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram