
DUNIA hiburan dikejutkan dengan pemergian mengejut pelakon terkenal Hollywood, Michelle Trachtenberg yang ditemui di apartmen mewahnya berhampiran Columbus Circle, Midtown Manhattan, Amerika Syarikat pada pagi 26 Februari lepas.
Menerusi laporan eksklusif Daily News, Pejabat Pemeriksa Perubatan New York mengesahkan punca kematian pelakon berusia 39 tahun itu adalah akibat komplikasi penyakit diabetes.
Trachtenberg ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya sekitar pukul 8 pagi, sebelum pasukan perubatan kecemasan mengesahkan beliau meninggal dunia di tempat kejadian.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa kematiannya tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
Michelle Trachtenberg merupakan nama yang tidak asing dalam dunia lakonan.
Bakatnya yang menyerlah melalui watak-watak ikonik dalam siri Buffy the Vampire Slayer, Gossip Girl dan filem klasik kanak-kanak Harriet The Spy menjadikan beliau antara wajah paling dikenang dalam generasinya.
Pemergiannya telah meninggalkan kekosongan besar dalam hati para peminat dan komuniti seni.
“Dia seorang yang tenang, merendah diri dan mesra. Sukar untuk percaya dia sudah tiada,” kata salah seorang jiran beliau, Raphael Noufele.
Beberapa minggu sebelum pemergiannya, penampilan fizikal Trachtenberg yang kelihatan semakin susut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat.
Namun begitu, dalam satu hantaran Instagram pada Januari lalu, beliau tampil menjawab kritikan dengan tenang.
“Saya menerima banyak komen mengenai rupa paras. Saya tidak pernah menjalani pembedahan plastik.
"Saya bahagia dan sihat. Periksa diri sendiri dahulu, wahai pembenci,” tulisnya, memberi bayangan bahawa beliau cuba mengekalkan semangat positif meskipun berdepan tekanan media sosial.
Pemergian Trachtenberg bukan sahaja mengundang kesedihan, malah menjadi peringatan betapa seriusnya penyakit diabetes jika tidak dikawal.
Dalam diam, beliau berjuang dengan keadaan kesihatan yang kini meragut nyawanya, jauh dari perhatian umum.
Kini, dunia mengenang Trachtenberg bukan sekadar pelakon, tetapi sebagai wanita yang berani, tabah dan berbakat besar.
Legasi seninya akan terus hidup dalam hati peminat yang membesar bersama lakonannya. - Bintang
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram