
ANGGOTA kumpulan sensasi Kpop Blackpink, Rose disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 Individu Paling Berpengaruh Dunia 2025 oleh majalah terkenal, TIME.
Penyanyi berusia 28 tahun itu dipilih bagi kategori Pioneer dalam senarai berprestij yang diumumkan pada 16 April 2025 di Amerika Syarikat (AS).
Penulisan penghargaan buat Rose dalam edisi khas itu ditulis oleh pelakon terkenal AS, Lily Collins yang juga seorang bintang siri Emily in Paris (2020 hingga kini).
BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi
Rose Blackpink dianggap sebagai lambang ikon yang sebenar.
Collins yang juga merupakan peminat tegar Blackpink berkata, dia mula mengenali Rose ketika mereka bertemu di pertunjukan fesyen Saint Laurent di Paris pada 2024.
Sejak itu, hubungan mereka menjadi akrab antara satu sama lain.
"Rose ialah seorang penghibur dan penulis lagu yang luar biasa dan cukup dinamik. Namun di sebalik popularitinya, dia tetap kekal tulus dan merendah diri.
"Saya rasa menakjubkan apabila melihat bagaimana dia mampu memukau ribuan peminat di dalam arena sebagai anggota kumpulan gadis paling terkenal di dunia dan pada masa yang sama menyerlah sebagai artis solo.
"Dia benar-benar lambang seorang ikon sebenar," kata Collins.
Rose (kiri) bersama anggota Blackpink yang lain bakal membuat jelajah dunia yang dijadual bermula Julai ini.
Collins turut memuji kekuatan vokal Rose serta kualiti muziknya yang segar dan menyeronokkan.
Dia sering menghantar mesej kepada Rose sewaktu mendengar lagu-lagu seperti Apt. atau Toxic Till The End dimainkan di radio.
“Saya mengagumi semangat Rose dan hampir segala tentang dirinya. Saya sangat bangga dengan semua pencapaiannya sepanjang tahun lalu dan rasa bertuah dapat memanggilnya sebagai sahabat,” katanya.
Rose membalas penghormatan itu menerusi satu hantaran di Instagram Story.
“Lily Collins yang sangat manis, awak buat saya rasa nak menangis.
"Penyanyi itu turut menzahirkan rasa terharunya kepada majalah TIME dengan menyifatkan berita itu sebagai sesuatu yang sangat mengejutkan dan membahagiakan," katanya.
Selain Rose, antara nama-nama besar lain yang turut menghiasi senarai berpengaruh tahun ini termasuklah penyanyi Inggeris, Ed Sheeran serta pelakon Hollywood, Scarlett Johansson dan Adam Scott.
Rose atau nama sebenarnya Roseanne Park melancarkan album studio solo sulungnya bertajuk Rosie pada Disember 2024.
Album tersebut menampilkan dua lagu popular yang berjudul Apt dan Toxic Till The End.
Lagu Apt, kolaborasi menarik bersama penyanyi tersohor Bruno Mars dilancarkan pada Oktober dan segera mencetus fenomena global.
Lagu itu kekal selama 25 minggu berturut-turut dalam carta Billboard Hot 100 dan kini berada di tangga ke-13 bagi carta bertarikh 19 April, selepas memuncak di tempat ketiga pada Februari lalu.
Muzik videonya juga mencatat sejarah apabila meraih lebih satu bilion tontonan di YouTube pada Januari sehingga menjadikannya antara video muzik paling pantas mencapai angka tersebut.
Selain kejayaan solo, Rose bakal kembali menyertai rakan sepasukan Blackpink iaitu Jennie, Lisa dan Jisoo untuk jelajah dunia yang dijadual bermula Julai ini di Seoul.
Baru-baru ini, Rose turut mencuri perhatian apabila hadir memberi sokongan kepada persembahan solo Lisa dan Jennie di festival muzik Coachella yang berlangsung di California dari 11 hingga 13 April.
Menerusi Instagram, Rose berkongsi foto dan video dirinya bersama Lisa menari dan menyanyi ketika menyaksikan persembahan Jennie.
Dalam satu klip yang dikongsikan MTV UK, Rose turut dilihat menemu bual Lisa berkenaan kemunculan sulungnya di Coachella sambil duduk manja di atas riba sahabatnya itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram