
SEORANG bayi perempuan disifatkan 'ajaib' selepas menjadi bayi pertama di United Kingdom (UK) yang dilahirkan oleh seorang wanita dengan rahim yang didermakan.
Ibu bayi tersebut, Grace Davidson, 36, sebenarnya memiliki kisah tersendiri apabila dilahirkan tanpa rahim yang berfungsi.
Pada 2023, Grace menerima pemindahan rahim daripada kakaknya dan pembedahan itu merupakan satu-satunya pemindahan rahim yang berjaya dilaksanakan di negara berkenaan.
Dua tahun selepas pembedahan tersebut, Grace akhirnya melahirkan anak sulungnya pada Februari lalu.
BACA LAGI: Ramai tak cakna, serendah RM55 jalani ujian saringan kanser di cawangan LPPKN
Amy adalah bayi pertama di UK yang dilahirkan hasil daripada pemindahan rahim. — Agensi
Wanita itu dan suaminya, Angus, 37, menamakan bayi perempuan mereka Amy sempena nama kakak Grace yang telah mendermakan rahim kepadanya.
Menurut Grace, saat pertama kali memegang Amy yang memiliki berat lebih 2 kilogram (kg), ia merupakan satu pengalaman luar biasa.
“Perasaan itu sangat mengharukan kerana kami tak pernah betul-betul membayangkan yang hari ini akan tiba,” katanya.
Pasangan berasal dari Scotland dan kini menetap di utara London itu berharap untuk mempunyai anak kedua dengan menggunakan kaedah sama.
Pasukan doktor yang terlibat memaklumkan, sejak pemindahan rahim Grace, mereka menjalankan tiga lagi pemindahan menggunakan rahim daripada penderma yang telah meninggal dunia.
Secara keseluruhan, mereka merancang untuk menjalankan 15 pemindahan sebagai sebahagian daripada kajian klinikal.
Grace dilahirkan dengan satu keadaan genetik jarang ditemui dikenali sebagai Sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH), yang menyebabkan rahim tiada atau tidak berkembang dengan baik walaupun ovari berfungsi seperti biasa.
Pada 2018, Grace berharap ibunya dapat menderma rahim kepadanya, namun selepas pemeriksaan, ia tidak sesuai.
Pada 2019 pula, kakak Grace, Amy Purdie menjalani penilaian sama ada sesuai untuk menjadi penderma rahim atau sebaliknya.
Amy dan suaminya ketika itu sudah mempunyai dua orang anak dan tidak bercadang untuk menambah zuriat lagi.
Sebelum pembedahan, kedua-dua beradik itu menerima sesi kaunseling. Grace dan Angus juga menjalani rawatan kesuburan dan kini masih menyimpan beberapa embrio.
Grace menyatakan bahawa dia pernah diberi pilihan untuk menggunakan ibu tumpang atau mengambil anak angkat, tetapi dia berasakan melahirkan anak sendiri lebih baik.
“Saya memang sejak kecil ada naluri keibuan, tetapi selama bertahun-tahun saya pendam perasaan itu sebab perkara berkenaan (tidak mampu hamil) terlalu sakit untuk difikirkan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram