[VIDEO] ‘Anak saya OKU tapi pandai semua,' Aisyah cekal besarkan anak lelaki hidap cerebral palsy


  • Relaks
  • Isnin, 14 Apr 2025

Lukman bijak menggunakan kaki untuk melayari internet meskipun dilahirkan dalam keadaan cerebral palsy.

“ANAK saya buat apa saja guna kaki,” kata Aisyah, seorang ibu yang tabah menjaga anak kelainan upaya (OKU) sejak tiga dekad lalu.

Anak lelakinya, Lukman, 30, menghidap cerebral palsy yang menyebabkan tidak dapat menggunakan kedua-dua tangan.

Namun, itu tidak menghalangnya untuk menjalani hidup seperti orang lain.

BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi

BACA LAGI: 'Tidur cukup, makan okey tetapi tak bermaya', ramai wanita di Malaysia rupanya kurang terdedah cahaya matahari

Di sebalik kekangan fizikal, Lukman bijak mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial.

Dengan menggunakan jari kaki, beliau menggantikan fungsi tangan untuk menatal skrin telefon bagi membaca isu-isu trending terkini.

Aisyah yang membesarkan Lukman dengan penuh kasih dan kesabaran menyatakan bahawa anaknya sentiasa menunjukkan semangat luar biasa sejak kecil.

Kisah mereka menjadi tular apabila Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkongsi pertemuan menyentuh hati bersama mereka berdua di media sosial.

“Lukman kena sabar, ini ujian Tuhan. Lukman kena doa dalam hati, Tuhan dengar doa itu,” tulis beliau dalam hantaran tersebut.

Steven Sim yang kagum mendengar bakat Lukman melayari internet menghadiahkannya sebuah iPad bagi memudahkan urusan untuk mengakses maklumat.

Hadiah itu menjadi sokongan kecil namun besar maknanya buat seorang anak istimewa yang tidak pernah mengeluh akan nasibnya.

“Syukur, saya dapat jumpa adik Lukman hari ini. Dia telah mengajar saya maksud kesabaran, kecekalan dan bersyukur.

"Sungguh-sungguh saya bertuah dipertemukan dengan anak muda ini,” kata Steven. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram