Tragedi Putra Heights: Persekitaran sihat, sokongan psikologi stabilkan mental dan emosi anak-anak — pakar


  • Relaks
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Kakitangan MERCY Malaysia jalankan aktiviti STEM mesra kanak-kanak bagi sokongan emosi mangsa kanak-kanak yang terlibat dalam tragedi letupan paip gas.

KEHILANGAN rumah dan barangan akibat bencana seperti letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini berisiki memberi kesan besar kepada kanak-kanak.

Menurut pakar psikiatri kanak-kanak, Dr. Norharlina Bahar, kanak-kanak yang mudah terkesan atau berada dalam situasi getir antara golongan paling terjejas.

“Mereka yang sudah pun mengalami masalah emosi atau datang dari latar belakang keluarga tidak stabil mungkin lebih sukar untuk hadapi situasi ini.

"Mereka mungkin rasa lebih tertekan dan sukar untuk bertenang,” kata pakar perunding psikiatri kanak-kanak dan remaja itu ketika dihubungi.

BACA LAGI: 'Ketagih' Muay Thai, seni bela diri jadi rutin cantik dan sihat Bella Dally

BACA LAGI: [VIDEO] Dengar macam pelik, Dr. Raihana ulas sebab kerap sakit perut apabila masuk kedai serbaneka

Kanak-kanak yang sudah boleh berfikir dan faham situasi berisiko alami keresahan dan kesedihan yang kuat. — Gambar hiasan/Freepik

Katanya lagi, kanak-kanak terlibat juga boleh mengalami kesan jangka panjang seperti keresahan (anxiety), kemurungan atau masalah tingkah laku.

Secara umum, kesan bencana terhadap kanak-kanak bergantung kepada beberapa faktor seperti umur, pengalaman dilalui dan bagaimana orang dewasa di sekeliling mereka bertindak balas semasa krisis berlaku.

“Kanak-kanak akan melihat orang dewasa sebagai panduan. Jika orang dewasa tenang dan memberi sokongan, kanak-kanak akan lebih mudah menyesuaikan diri.

“Mereka juga perlukan kehadiran orang dewasa yang penyayang dan boleh menenangkan serta membantu (mereka),” jelasnya.

Beliau berkata, kanak-kanak kecil mungkin rasa tidak selamat selepas melalui kejadian seperti itu, walaupun mereka belum faham sepenuhnya apa yang berlaku.

Manakala kanak-kanak sudah mampu berfikir dan sudah boleh faham situasi dengan lebih jelas mungkin akan alami keresahan dan kesedihan yang kuat.

“Remaja pula mungkin lebih memahami erti kehilangan, tetapi cenderung untuk mengalami emosi lebih mendalam seperti sedih, marah, keliru dan bimbang tentang masa depan mereka.

“Secara umumnya, ibu bapa boleh kurangkan kesan buruk kepada anak-anak selepas bencana dengan memastikan persekitaran yang stabil dan penuh sokongan.

“Penting untuk ibu bapa memberi jaminan emosi, mewujudkan rutin harian dan melakukan aktiviti yang menenangkan agar anak-anak rasa selamat.

“Ibu bapa juga perlu bersabar dan memahami emosi anak-anak, serta beri ruang untuk mereka meluahkan perasaan dan pulih secara perlahan-lahan,” katanya.

Menurut Dr. Norharlina, petugas bantuan dan sukarelawan kesihatan mental boleh membantu kanak-kanak dengan memberikan sokongan psikologi awal (psychological first aid) dan bantuan kesihatan mental serta sokongan sosial.

Katanya, penting juga untuk memberi kefahaman kepada penjaga mengenai proses kesedihan yang normal dan membantu dari segi praktikal supaya kanak-kanak rasa selamat dan dilindungi semasa krisis.

Bagi remaja pula, petugas bantuan dan sukarelawan perlu memberi sokongan emosi dengan memberi ruang untuk mereka bercakap dan berkongsi perasaan.

“Sukarelawan kesihatan mental juga boleh galakkan sokongan sesama rakan sebaya dan bantu remaja meluahkan diri melalui media sosial jika itu pilihan mereka,” tambah beliau. — The Star/WANI MUTHIAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram