
MEMASUKI hari kesembilan tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan berangkat menyantuni mangsa kejadian itu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) memaklumkan, penduduk yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menyuarakan kebimbangan berhubung masa depan mereka selepas ditimba tragedi itu.
BACA LAGI: Ketahui 3 langkah solekan mudah, wajah kekal 'flawless' walau seharian beraya dari rumah ke rumah
Tunku Puteri Intan Safinaz ketika berbual ringkas bersama kakitangan BSMM.
"Banyak isu kekeliruan dan kerunsingan mereka. Antara yang menjadi kerisauan mereka seperti di mana mereka akan tinggal, nak cari rumah sewa yang sesuai untuk anak dan ada yang risau mengenai situasi ibu bapa yang masih di hospital.
"Ada juga anak-anak yang masih trauma dan susah hati akibat ketiadaan barangan termasuk permainan dan barangan keperluan yang mana memang perkara biasa untuk bencana seperti ini," katanya.
Justeru, pihaknya komited untuk terus bersama masyarakat bukan sahaja ketika bencana berlaku tetapi juga sepanjang proses pemulihan.
“Kekuatan sukarelawan kami dan semangat kemanusiaan yang dibawa mereka memberikan impak besar ketika krisis.
“Sukarelawan kami telah berada di lapangan sejak awal, bukan sekadar membawa bantuan tetapi juga harapan dan sokongan.
“Kami akan terus berada di sini selagi diperlukan,” tegasnya.
Beliau menambah, BSMM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk meneliti keperluan semasa, menyalurkan bantuan dan memastikan keluarga terbabit menerima sokongan berterusan sewajarnya.
"BSMM turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai, rakan korporat dan organisasi komuniti untuk menyokong usaha bantuan yang sedang dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa lebih satu jam menyantuni mangsa yang berlindung di PPS berkenaan serta menyampaikan sumbangan berupa pek makanan kepada 379 mangsa melibatkan 97 keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram