Patung Kajol, Shah Rukh Khan, bakal dipamer di Leicesture Square rai ulang tahun ke-30 Dilwale Dulhania Le Jayenge


  • Hiburan
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Patung tersebut dibina sempena meraikan ulang tahun ke-30 filem ikonik Bollywood, Dilwale Dulhania Le Jayenge. — Yash Raj Films

PATUNG bintang terkenal Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol akan dipamerkan di Leicester Square, London hujung tahun ini.

Ia dibina sempena meraikan ulang tahun filem ikonik Bollywood, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ) ke-30, yang menjadi tayangan paling lama dalam sejarah perfileman India.

Patung tersebut akan menjadi sebahagian daripada laluan Scenes in the Square di Leicester Square yang turut memaparkan watak terkenal seperti Harry Potter, Gene Kelly dalam Singin' in the Rain, Mary Poppins dan Batman.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada perlukan penapis udara untuk anak autistik', mangsa letupan paip gas terima khidmat kaunseling — Nancy Shukri

BACA LAGI: Fenomena 'thank you kateyki', rupanya ada kisah di sebalik istilah manja cetusan Aon Samrutai

Memetik laporan agensi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Heart of London Business Alliance, Mark Williams menyifatkan kehadiran patung itu sebagai sesuatu yang hebat kerana menampilkan bintang filem bertaraf antarabangsa.

Menurut Williams lagi, DDLJ merupakan antara filem Bollywood paling berjaya dan berpengaruh sepanjang zaman.

Beliau turut memaklumkan bahawa ia merupakan filem pertama melakukan sesi penggambaran di sekitar dataran awam itu.

Filem romantik digelar 'Romeo dan Juliet versi Bollywood' itu mengisahkan percintaan antara Raj dan Simran, yang bermula dalam perjalanan kereta api dari King's Cross Station di London, merentasi Eropah dan India.

Ketua Pegawai Eksekutif Yash Raj Films, Akshaye Widhani selaku syarikat produksi filem itu berkata, patung Shah Rukh Khan dan Kajol itu menjadi simbol sejauh mana filem India mendapat sambutan global dan bagaimana seni filem menyatukan masyarakat pelbagai budaya.

Laluan Scenes in the Square diuruskan oleh Heart of London Business Alliance dan disokong oleh Majlis Bandaraya Westminster. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram