Kenal pasti status kesihatan menerusi bahasa, Naluri gabung AI dan data raya tangani isu mental pekerja


  • Bizz
  • Khamis, 10 Apr 2025

Naluri menyediakan penyelesaian kesihatan yang menggabungkan sains tingkah laku, sains data dan reka bentuk digital untuk membantu dalam meramal, mencegah dan mengurus keadaan kesihatan fizikal dan mental. — Naluri

SYARIKAT penyedia perkhidmatan digital kesihatan dan kesejahteraan, Naluri diasaskan dengan misi yang mudah namun bercita-cita tinggi untuk melihat semula secara dasar operasi sektor penjagaan kesihatan.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman-Rani berkata, idea untuk mengasaskan Naluri tercetus selepas melihat masalah teras yang terjadi dalam industri.

Antaranya termasuk kekurangan perhatian yang diberikan terhadap sistem penjagaan kesihatan mental dihadapi pesakit penyakit kronik yang dilihat lazimnya berdepan dengan kemurungan dan depresi.

BACA LAGI: Harga berpatutan, hidangan pantas resipi bisnes nasi daun pisang anak Kedah berkembang, cecah pendapatan RM70 juta

BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara

Kelemahan sokongan kesihatan mental itu kemudiannya berpotensi menjejaskan keberkesanan sesi pemulihan kemoterapi, sekali gus menambah masalah kesihatan sedia ada.

"Isu lain ialah hospital dan juga platform telekesihatan sangat reaktif dan bukannya bersifat pencegahan.

"Mereka menunggu sehingga orang sakit atau tertekan sebelum pesakit datang ke hospital. Pada ketika itu, ia sudah menjadi masalah yang sangat mahal dan kompleks untuk dipulihkan," jelasnya.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Naluri, Azran Osman-Rani.

Selain itu, beliau turut membangkitkan mengenai isu lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan dan premium insurans kesihatan, serta sistem penjagaan kesihatan yang memberi insentif kepada penawaran rawatan dan ubat-ubatan dan bukannya bagi manfaat kesihatan jangka panjang.

"Doktor dibayar sama ada anda benar-benar sihat atau tidak.

"Saya tertanya-tanya sama ada terdapat cara yang berbeza untuk membayangkan perjalanan sistem kesihatan dan mencipta model yang berbeza," katanya.

Sebelum memulakan Naluri, Azran berpengalaman dalam membina dan mengendalikan syarikat merentas sektor termasuk sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iFlix Malaysia, dan pengasas bersama serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X .

Pengalamannya dalam perniagaan dunia penerbangan turut membantunya membayangkan penyelesaian ingin ditawarkan menerusi Naluri. 

"Salah satu kos yang paling tidak dapat diramalkan untuk syarikat penerbangan ialah penyelenggaraan enjin.

"Apa yang syarikat penerbangan ada ialah pengaturan kuasa demi jam (PBH) dengan penyedia penyelenggaraan dan pembaikan, yang mana mereka membayar yuran tetap berdasarkan bilangan jam penerbangan, bukannya setiap kali ia rosak," kongsinya.

Dengan cara itu, pembekal diberi insentif untuk memastikan enjin disimpan dalam keadaan terbaik dan bertahan selama mungkin.

"Saya fikir, bukankah sepatutnya ada model yang sama untuk penjagaan kesihatan supaya doktor memberi tumpuan untuk memastikan anda sihat dan keluar dari hospital?" soalnya.

technology concept,technology medical science in future

 Naluri membantu pengguna membina tabiat sihat untuk meningkatkan daya tahan mental, mengurangkan faktor risiko penyakit kronik secara sistematik dan meningkatkan kualiti hidup. — Gambar hiasan

Bersama Presiden dan Pengasas bersama Naluri, Dr Jeremy Ting, beliau membina syarikat tersebut dengan menyediakan penyelesaian kesihatan yang menggabungkan sains tingkah laku, sains data dan reka bentuk digital untuk membantu dalam meramal, mencegah dan mengurus keadaan kesihatan fizikal dan mental.

Melalui penjagaan diperibadikan, tersusun dan bimbingan profesional merentas pelbagai disiplin, Naluri membantu pengguna membina tabiat sihat untuk meningkatkan daya tahan mental, mengurangkan faktor risiko penyakit kronik secara sistematik dan meningkatkan kualiti hidup.

Pada awalnya, syarikat itu memberi khidmat kepada majikan perniagaan besar dalam menyampaikan program kesihatan korporat yang dipacu data untuk pekerja.

"Ia adalah yang paling sesuai kerana syarikat terbabit mempunyai kemampuan, dan juga kesedaran sebenar tentang kesan kesihatan pekerja dan isu besar cuti sakit," kongsi Azran.

"Kami benar-benar berkembang ketika tempoh Covid-19 kerana perusahaan besar, daripada syarikat telekomunikasi dan bank kepada syarikat penerbangan, yang mana pekerjanya mengalami situasi getir dan sukar.

"Selain itu, kerana semua orang bekerja dari jauh, mereka memerlukan penyelesaian digital," ujarnya.

Hari ini, Naluri sudah menyokong lebih 200 syarikat dengan tawaran program kesihatan korporatnya yang komprehensif.

Hari ini, Naluri sudah menyokong lebih 200 syarikat dengan tawaran program kesihatan korporat yang komprehensif.— Naluri

Ia termasuk alat penilaian dan saringan yang membantu organisasi memetakan tahap kesihatan dan risiko pekerja, dan kempen pemasaran proaktif untuk menggalakkan kesedaran dan meningkatkan pendaftaran.

"Dari situ, kami menyediakan pasukan penjagaan jurulatih termasuk ahli psikologi, pakar diet, jurulatih kecergasan dan ahli farmasi untuk membantu anda mencapai peningkatan kesihatan yang boleh dinilai.

"Akhirnya, kami dapat membentangkan semuanya bersama-sama untuk pelanggan dalam laporan dipacu data supaya mereka dapat melihat kesan dan pulangan ke atas pelaburan."

Untuk ciri perkhidmatan analisisnya, syarikat itu menggunakan pangkalan data merangkumi enam tahun tuntutan perubatan melibatkan 500,000 pekerja dan 30 negara.

Azran juga mendedahkan bahawa perniagaan itu kini mengutamakan pembangunan dalaman ciri AI untuk menyokong pasukan profesional kesihatannya. 

Teknologi sedemikian boleh berfungsi untuk meningkatkan kecekapan dengan mengenal pasti kes kritikal, menyediakan tindakan disyorkan dan meringkaskan nota kes.

Beliau turut memetik satu contoh kes sebenar seorang pekerja yang telah bergelut dengan krisis kesihatan mental teruk namun tidak dapat menerima bantuan diperlukan.

Melalui pemprosesan bahasa semula jadi, yang boleh mengukur perkataan dan struktur ayat dalam komunikasinya, pasukan itu dimaklumkan tentang kemerosotan membimbangkan dalam sentimen emosinya dan segera memberikan bantuan sepatutnya.

Cloud networking, network management, modern data centers, and cyber security are among terms used. GENERATE AI

Untuk ciri perkhidmatan analisisnya, syarikat itu menggunakan pangkalan datan merangkumi enam tahun tuntutan perubatan melibatkan 500,000 pekerja dan 30 negara. — Gambar hiasan

"Oleh kerana pendekatan kami yang lebih proaktif, kami mungkin telah melakukan banyak perkara untuk menurunkan tahap insiden kritikal kesihatan mental di tempat kerja," katanya.

Sejak penubuhannya pada 2017, Naluri mengembangkan kehadirannya di negara serantau antaranya Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Azran berkongsi bahawa tumpuan utama kini adalah mengumpul modal untuk membiayai pertumbuhan berterusan syarikat.

"Kami kini berada di ambang untuk merekodkan keuntungan dalam tahun ini, situasi yang sangat positif ketika modal yang ada kini telah menyusut dengan ketara dan pelabur menjadi lebih konservatif," katanya.

Pada tahap lebih luas dan jangka panjang, Azran berkata, pihaknya juga kini sedang mencari cara untuk meneruskan perkongsian Naluri dengan syarikat insurans kesihatan, yang katanya kini merangkumi satu perempat daripada perniagaannya.

Ideanya adalah agar program dan perkhidmatan kesihatan mental dan fizikal Naluri digabungkan dengan insurans kesihatan bagi menghasilkan ahli lebih sihat, mengurangkan risiko, dan kes tuntutan.

“Ia sukar kerana memerlukan perubahan industri, namun tiada perkhidmatan sedemikian yang wujud di dalam negara hari ini.

"Kami perlu melakukan kerja, melibatkan diri dan membina model data untuk meyakinkan syarikat insurans bahawa penggabungan penyelesaian kami bermanfaat," jelasnya. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram