Memasak dalam busana mewah, Nara Aziz 'ubah' dapur jadi pentas fesyen


Nara Smith semakin dikenali ramai dengan kandungan videonya menghasilkan makanan 'from scratch'.

MODEL Nara Smith mengubah dapurnya menjadi pentas peragaan melalui video penyediaan hidangan lazat from scratch sambil mengenakan pakaian dari jenama-jenama terkemuka.

Tidak hanya sekadar seorang model, Nara atau nama sebenarnya Nara Aziza Pellmann berjaya mencipta fenomena baharu di media sosial dengan menggabungkan dunia masakan dan fesyen dengan cara yang sangat elegan dan memukau.

Kejelitaan semula jadinya dan gaya hidup yang penuh pesona menjadikannya ikon yang menginspirasi ramai, terutamanya dalam kalangan pengikut muda di platform seperti TikTok dan Instagram.

BACA LAGI: Ada 'master', belajar sampai UK, Farah Lee enggan ambil 'port' komen netizen 'sesak duit sampai berbisnes colek'

BACA LAGI: Jadikan si kecil 'content' media sosial, anak-anak hilang privasi, risiko kemurungan

 

 

Dilahirkan pada 27 September 2001 di Bloemfontein, Afrika Selatan dan dibesarkan di Jerman, Nara mula melangkah ke dunia peragaan seawal usia 14 tahun di bawah naungan agensi ternama, IMG Models.

Popularitinya melonjak naik apabila beliau mula mencipta fenomena melalui video masakan di TikTok.

Ibu kepada tiga orang anak itu terkenal dengan keupayaannya menyediakan hidangan dan pencuci mulut from scratch (dari awal) sambil tampil anggun dengan pakaian dari jenama terkemuka, satu kelainan yang jarang dilihat dalam dunia masakan digital.

Bukan hanya masakan, beliau malah pernah menghasilkan ubat gigi dan lip sleeping mask secara tradisional sendiri.

Keunikan ini menjadikannya bukan hanya sebagai model, tetapi juga sebagai pencipta kandungan yang mempengaruhi citarasa gaya generasi muda.

Perwatakannya yang tenang dan gaya visual yang konsisten menjadikan setiap perkongsian di media sosialnya sumber inspirasi, baik dalam fesyen mahupun kehidupan seharian.

Pasangan model ini mendirikan rumah tangga pada 21 Februari 2020.

Pada tahun 2020, wanita berketinggian 180 sentimeter (cm) itu berkahwin dengan model terkenal Amerika, Lucky Blue Smith.

Pasangan tersebut sering digambarkan sebagai 'couple goals' di media sosial, dengan aura romantik dan klasik.

Mereka kerap tampil bersama dalam kempen jenama-jenama ternama serta berkongsi rutin harian di Instagram dan TikTok.

Lucky Blue sendiri bukan nama asing dalam dunia peragaan.

Terkenal dengan rambut perang dan wajah klasik ala era 50-an, beliau pernah menjadi wajah utama jenama mewah seperti Tom Ford dan Dolce & Gabbana.

Sejak berkahwin, Nara mula berkongsi sisi kehidupan yang lebih intim dan peribadi bersama pengikutnya.

Video masakan yang ringkas, momen manis bersama anak-anak serta rutinnya sebagai isteri dan ibu sekali gus menjadikan dirinya lebih dikenali.

Tidak sekadar memiliki rupa paras cantik di pentas fesyen, Nara malah menjadi simbol wanita moden, bijak bergaya dan tidak takut menunjukkan sisi sebenar kehidupannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram