Siti Khadijah mahu jaga kemuliaan nama, Sophia Al Barakbah pilih berdiam diri


  • Hiburan
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Pelakon meningkat naik Siti Khadijah (kiri) dan Sophia Albarakbah (kanan) memberi komen mengenai kontroversi yang sering diterima.

PELAKON meningkat naik, Siti Khadijah Halim, yang terkenal dalam filem seperti Hantu Tenggek, Rompak dan Dia Yang Ku Cinta kini tampil dengan drama terbarunya berjudul From Saga With Love.

Selain drama itu, Siti Khadijah juga aktif sedang menjalankan penggambaran drama lain seperti Munajat Kekasih.

Pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui sememangnya banyak kontroversi yang tercetus berkait dirinya.

Siti Khadijah berkata, dia menangkis serangan kontroversi dengan berbekalkan niat yang ikhlas demi menjaga nama baiknya.

"Saya mengelak terlibat dalam sebarang kontroversi kerana saya berniat untuk terjun ke bidang seni disebabkan minat dan mahu mencari rezeki," katanya.

Menurut Siti Khadijah lagi, dia lebih berhati-hati mengatur langkah dalam bidang seni disebabkan kemuliaan di sebalik maksud namanya.

"Nama penuh saya adalah Siti Khadijah Abdul Halim dan dalam dunia lakonan, saya dikenali sebagai Siti Khadijah Halim.

"Nama saya sama dengan nama isteri Nabi Muhammad SAW, jadi saya akan cuba mengelak terjebak kontroversi demi menghormati nama baik itu," katanya.

2320955

Sophia (kiri) dan Siti Khadijah (kanan) bergandingan dengan Fimie Don serta Ikmal Amry dalam From Saga With Love.

Bagaimanapun, Siti Khadijah berharap agar tidak dicetuskan kontroversi hanya kerana dia bergelar artis.

"Saya harap orang memperlakukan saya sama seperti orang biasa yang lain," katanya.

Walaupun Siti Khadijah tahu cabaran menjadi artis sememangnya tidak dapat dielakkan daripada sebarang kontroversi, dia berharap netizen lebih mengetahui soal menjaga hati dan perasaan orang lain.

"Kecaman yang diterima mungkin akan merosakkan suasana dan hari orang lain," katanya.

Sebelum ini, pada 31 Mei lalu, Siti Khadijah pernah menerima kecaman di laman X, apabila dirinya tiba-tiba disebut sebagai artis yang biadap dan berlagak diva.

Bagaimanapun, dia sempat meminta maaf mengenai kecaman yang diterima dan menjelaskan bahawa tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak.

Melihat kepada kehidupan nyata, Siti Khadijah berpendapat bahawa bukan hanya artis yang menerima kecaman daripada orang lain, tetapi masyarakat lain turut merasai hal yang sama.

"Bila kita fikir, ada orang yang kerja pejabat, kerja di kedai makan juga tidak lari daripada hal buruk yang diperkatakan oleh orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Sophia Al Barakbah, seorang pelakon popular dalam drama Isabella, Rissa, Intan Allisya dan Cahaya Malaika juga tidak surut dengan kontroversi.

Kini, pelakon berumur 30 tahun itu merasa sudah lali dengan gosip yang tercetus berkaitan dirinya.

2320954

Dari kiri: Fimie Don, Ikmal Amry, Siti Khadijah dan Sophia Albarakbah ketika berada di Jepun.

Sophia berkata, dalam industri seni, kontroversi memang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, dia menyifatkan kontroversi yang datang kebiasaan timbul daripada orang di luar sana yang sama sekali tidak mengenali diri.

"Orang luar sana sama sekali tidak kenal kita, tapi menulis tentang kita dan berkata buruk soal kita," katanya.

Mengulas lanjut, Sophia berkata, dia tetap akan menjadi diri sendiri tanpa mempedulikan kata-kata orang.

Sebelum ini, Sophia menerima banyak kontroversi soal isu dia baru sahaja putus tunang dan menerima kecaman mengenai video tahan sakit ketika urut yang dilihat kurang menyenangkan warganet.

"Yang penting kita tidak buat jahat dengan orang, jadi saya harap orang juga tidak buat jahat dengan saya," katanya.

Sophia turut berasakan sesuatu yang difikirkan oleh orang lain adalah hal di luar kawalannya, jadi dia lebih senang untuk mengunci mulut.

"Kalau mereka bijak, mereka tidak akan dengan mudah percaya dengan apa yang mereka dengar.

"Pada akhirnya, jika mereka tahu hal yang mereka katakan itu tidak benar, mereka sendiri akan malu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram