[VIDEO] 'Pakai baju tahun lepas', Salinah sayu raya tanpa ibu, sanggup berhenti kerja jaga bapa angkat


  • Relaks
  • Isnin, 31 Mac 2025

Salinah dan anaknya, Umar Mukminin gigih menjaga bapa angkatnya, Ahmad.

HARI raya merupakan momen yang penuh kegembiraan dan keberkatan bagi setiap umat Islam.

Namun, bagi Salinah Adelinah Abdullah, sambutan hari raya tahun ini terasa berbeza.

Setelah lima tahun kehilangan ibu angkat tercinta dan melihat kesihatan ayah angkatnya semakin menurun, Salinah menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan.

BACA LAGI: Gemar rendang tok, Tony Eusoff redah 8 jam perjalanan mahu beraya di kampung rakan di Muar

BACA LAGI: Rekaan 'puzzle' cetus minat, jurutera telekomunikasi sanggup masuk lebih 80 bank buru koleksi sampul raya

"Tahun ini rasa sunyi berbanding sambut raya sewaktu arwah ibu angkat masih ada. Arwah ibu meninggal dunia pada 2017 setelah berjuang dengan kanser tahap empat," katanya kepada Majoriti.

Walaupun sambutan raya tidak semeriah dahulu, Salinah tetap bersyukur kerana masih dapat berbakti kepada lelaki yang membesarkannya sejak kecil.

"Ibu angkat selalu berpesan, jaga ayah kalau dia sudah tiada. Sememangnya saya rela hati menjaga ayah," ceritanya.

Salinah, yang sebelum ini bekerja sebagai Eksekutif Jualan di Aymor Plaza Hang Tuah, Melaka mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ayah angkatnya, Ahmad Mohamed Tahir yang terlantar sakit lebih empat tahun.

Ayah angkatnya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kaki sebelah panjang dan sebelah pendek memerlukan penjagaan secukupnya.

"Sebelum ini saya pantau ayah menerusi kamera litar tertutup (CCTV), tetapi kini tidak boleh. Saya risau sekiranya berlaku perkara tidak diingini berlaku, tambahan pula tahun lalu saja tiga kali ayah terpaksa ditidurkan.

"Awal tahun ayah saya ditidurkan kerana denggi, bulan Jun pula kerana masalah pernafasan.

"Bulan Julai ditidurkan selepas pembedahan membuang hempedu gara-gara masalah batu karang.

"Susulan itu, saya mengambil keputusan berhenti kerja. Kurang rasa bimbang apabila ayah di depan mata," ujarnya.

Salinah (kanan) bersama suami, Muhammad Lukman dan anak mereka, Umar.

Sayu tanpa ibu

Wanita berusia 29 tahun itu gigih menjaga ayah bersama-sama anaknya, Muhammad Umar Mukminin, memandangkan suaminya Muhammad Lukman yang merupakan anggota tentera jarang berada di rumah dek tuntutan kerja.

"Tahun ini raya biasa-biasa sahaja. Kami beraya dekat kampung arwah mak di Serkam, Melaka.

"Tiada sambutan mewah. Baju raya pun masih boleh pakai baju tahun lepas. Yang penting, dapat beraya bersama keluarga," katanya.

Salinah mengakui keikhlasan hati ibu bapa angkatnya menjaganya dengan penuh kasih sayang sejak kecil menjadi asbab beliau ingin melakukan hal sama terhadap bapa angkatnya itu.

"Mak dan ayah layan saya macam puteri sejak kecil. Tak bagi buat apa-apa. Kadangkala ayah lelah, namun masih kuatkan diri mencari rezeki.

"Sebelum mak meninggal, saya sering bawa bekal dari kecil hingga umur 20 tahun kerana mak suka masak," imbas Salinah momen-momen indah bersama ibu bapa angkatnya itu.

Wanita berasal Kuala Lumpur tersebut menganggap Ahmad memiliki semangat luar biasa walaupun berada dalam keadaan uzur.

"Ayah seorang yang kuat semangat. Walaupun sakit, tak pernah tinggal puasa. Tahun lepas sahaja miss puasa kerana ditidurkan.

"Tapi tahun ini, Alhamdulillah, puasa seperti biasa," kata Salinah.

@salinahadelinah Tahun ni paling istimewa dapat tunaikan impian sepenuh masa jaga ayah selalu kerja dapat hantar lauk berbuka tak dapat berbuka dengan ayah tak mewah tak apa janji kita syukur nikmat apa yang ada #fyp original sound - DNP

Pada tahun lepas, bapa angkat Salinah hanya bergantung minum susu melalui tiub untuk bertahan hidup.

Namun, pada 25 Disember tahun lalu, selepas lulus ujian menelan, bapanya berpeluang menikmati makanan secara normal.

"Alhamdulillah, selepas sekian lama bergantung pada susu, akhirnya ayah dapat menelan makanan. Ini adalah nikmat sangat besar bagi kami sekeluarga," ujar Salinah.

Untuk menyara hidup, Salinah kini bergantung kepada perniagaan dalam talian menjual sambal.

Walaupun perniagaannya masih peringkat kecil, beliau tetap berusaha keras demi kelangsungan hidup.

"Saya jual sambal secara online. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah, dapatlah beberapa pek sehari. Ini adalah cara untuk menambah pendapatan," tambahnya.

Di sebalik cabaran dihadapi, Salinah tetap berharap agar ayahnya dapat berjalan semula.

"Saya harap ayah masih boleh berjalan. Itu impian saya," ujar Salinah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram