KEUNIKAN Malaysia yang memiliki rakyat berbilang kaum menjadi lambang kemegahan dan tanda pengenalan kita yang sering dikagumi masyarakat negara lain.
Keharmonian masyarakat di negara ini secara tidak langsung membuka ruang untuk mengenali budaya dan kesenian kaum lain khususnya semasa hari perayaan.
Tatkala umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri, orang yang bukan beragama Islam turut merasai suasana kemeriahan sambutan perayaan ini.
Pelakon terkenal, Tony Eusoff, 46, mengakui suka merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan menziarahi rumah rakan-rakannya meskipun dia bukan beragama Islam.
"Kebanyakan kawan Melayu saya di Kuala Lumpur (KL) jadi saya akan sambut di KL. Bila raya, saya akan ikut kawan sambut beraya di rumah mereka.
"Saya rasa cemburu sikit sebab rasa macam seronok tengok mereka raikan Aidilfitri dan pada masa sama saya rindu keluarga saya di Sarawak," katanya kepada Majoriti.
Tony Eusoff suka merasai suasana Hari Raya Aidilfitri meskipun bukan beragama Islam.
Tony turut berkongsi cerita mengenai pengalamannya pernah mengikuti rakan yang berbangsa Melayu untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Waktu itu saya redah kesesakan lalu lintas sampaikan perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Kampung Sungai Mati, Muar, Johor memakan masa selama lapan hingga sembilan jam," katanya.
Antara momen yang menjadi kenangan manis buat Tony adalah apabila melihat tradisi masyarakat Melayu sewaktu Hari Raya Aidilfitri.
"Itu antara pengalaman terbaik kerana waktu hari raya seronok kita dapat melihat orang bermesraan sesama ahli keluarga, bersalam-salaman," katanya.
Sewaktu berada di Sarawak, Tony juga sering merasai suasana perayaan Hari Raya Aidilfitri yang disambut dengan cukup meriah oleh pelbagai kaum di sana.
"Jadi benda itu dah jadi normal untuk saya. Yang seronok apabila tengok saudara mara mereka semua datang," katanya.
Bercakap soal makanan kegemaran, antara juadah raya yang sering kali dicari-cari oleh Tony ialah rendang tok.
"Sebenarnya saya suka semua jenis rendang dan rendang tok ialah salah satunya. Memang setiap kali raya, wajib cari rendang tok dan memang saya akan naik berat badan gara-gara banyak makan," kongsinya berseloroh.
Mengulas mengenai perkembangan semasa, Tony akan tampil menerusi filem baharu, Mencari Ramlee arahan Megat Shahrizal bergandingan dengan Datin Sofia Jane dan Mimi Lana.
Mencari Ramlee sudah selesai menjalani penggambaran dan kini dalam proses pasca produksi. Ia bakal ditayangkan di pawagam, penghujung tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram