
MUSIM perayaan adalah waktu yang dinanti-nantikan oleh ramai orang.
Namun, keluar beraya atau menerima tetamu di rumah boleh menjadi cabaran tersendiri bagi ibu bapa yang mempunyai anak autisme.
Anak-anak autisme mudah berasa tertekan dengan bunyi bising, pertemuan bersama individu yang tidak dikenali atau perubahan rutin harian.
Walau bagaimanapun, pengalaman itu boleh menjadi lebih tenang dan menyeronokkan bagi kedua ibu bapa dan anak-anak dengan perancangan yang betul.
Pakar psikologi dan kaunseling, Prof Madya Dr. Fauziah Mohd Sa'ad mencadangkan beberapa tip yang dapat membantu ibu bapa dalam menguruskan anak-anak autisme ketika keluar beraya atau menerima tetamu di rumah.
Berikut antara langkah yang ibu bapa boleh ambil bagi memastikan Aidilfitri kali ini lancar dan menyenangkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak pilih influencer sebagai kerjaya, adakah ibu akan menentang atau beri dorongan?
Membawa barang yang buat anak austime berasa selesa penting sewaktu keluar beraya.
1. Persiapkan anak awal
Sebelum keluar beraya, beritahu anak tentang perkara yang akan berlaku sepanjang hari.
Fauziah berkata, ibu bapa boleh menggunakan cerita sosial atau gambar sebagai panduan visual.
"Pendedahan awal tentang aktiviti yang akan berlaku memberi anak peluang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan," jelas Fauziah.
Penjelasan tentang kemungkinan bunyi bising atau situasi yang mungkin mengganggu juga penting untuk membantu anak agar lebih bersedia.
2. Bawa barang kesukaan
Fauziah berkata, pastikan anak membawa barang yang memberi mereka rasa selesa seperti mainan kegemaran, fon kepala untuk mengurangkan bunyi bising atau makanan kegemaran mereka.
Ini membantu mereka merasa lebih tenang apabila berada di luar rumah.
3. Pilih waktu kurang sesak
Mengunjungi tempat yang ramai boleh meningkatkan kebimbangan anak autisme.
Pilih waktu yang lebih tenang untuk mengelakkan anak berasa tertekan dengan keadaan sekeliling.
"Waktu yang kurang sesak dapat mengurangkan tekanan dan memberi peluang kepada anak untuk lebih menikmati suasana," tambah Fauziah.
Ruang tenang penting untuk mengelak anak berasa tertekan ketika pergi beraya.
4. Sediakan ruang tenang
Sebelum melawat rumah saudara atau kenalan, pastikan ada ruang yang lebih tenang bagi anak berehat.
Perkara itu sangat penting jika anak mulai merasa tertekan atau penat.
Memberi mereka ruang untuk menenangkan diri membantu mereka mengawal emosi dengan lebih baik.
5. Guna isyarat atau kad komunikasi
Jika anak mempunyai kesukaran berkomunikasi, sediakan kad komunikasi atau gunakan aplikasi mudah untuk membantu mereka menyampaikan keperluan atau perasaan.
"Dengan alat komunikasi yang sesuai, anak-anak dapat lebih mudah menyatakan apa yang mereka perlukan, mengurangkan rasa frustrasi," jelas Fauziah.
6. Ambil pendekatan fleksibel
Jangan memaksa anak untuk berinteraksi dengan semua orang jika mereka tidak selesa.
Fauziah berkata, ibu bapa perlu membiarkan mereka memberi salam dengan cara yang buat mereka berasa selesa seperti melambaikan tangan.
"Keperluan anak untuk bersosial perlu dihormati. Fleksibiliti dalam jangkaan dapat membantu mereka berasa lebih tenang," tambahnya.
7. Rancang jalan keluar
Sekiranya anak mulai menunjukkan tanda keletihan atau tekanan, bersedia untuk beredar lebih awal.
Menghormati keperluan anak adalah penting untuk memastikan mereka tidak terlalu tertekan dengan keadaan yang tidak selesa.
Merancang jadual untuk pergi beraya penting buat ibu bapa yang miliki anak autisme.
Apabila ada yang ingin datang bertandang ke rumah, ibu bapa perlu mengambil beberapa langkah bersesuaian agar anak dan tetamu sama-sama berasa selesa. Ada tujuh tip berguna yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa.
1. Maklumkan anak tentang tetamu yang hadir
Sebelum tetamu datang, maklumkan anak siapa yang akan datang dan apa yang akan berlaku.
Anda boleh menggunakan kalendar atau jam sebagai panduan masa untuk membantu anak lebih bersedia.
"Memberi gambaran awal tentang siapa yang datang dan bila dapat membantu anak lebih bersedia menghadapi pertemuan tersebut," kata Fauziah.
2. Sediakan sudut tenang
Sediakan satu sudut atau bilik yang lebih sunyi di rumah bagi anak berehat.
Ini memberikan mereka tempat untuk menenangkan diri jika mereka merasa tertekan akibat terlalu banyak rangsangan.
Ibu bapa perlulah menyediakan aktiviti atau permainan yang boleh anak lakukan sewaktu tetamu berkunjung ke rumah.
3. Beri tugasan ringan
Jika anak suka membantu, beri mereka tugas ringan seperti menyusun kuih atau menyediakan minuman.
Aktiviti itu memberi mereka rasa pencapaian dan mengurangkan kebosanan.
"Libatkan anak dalam aktiviti yang mereka minati kerana ini memberi mereka peluang untuk berinteraksi tanpa tekanan," tambah Fauziah.
4. Guna fon telinga atau mainan sensori
Anak yang sensitif terhadap bunyi bising boleh memakai fon telinga atau bermain dengan mainan sensori untuk menenangkan diri.
Itu dapat membantu mereka mengatasi rangsangan luar yang terlalu kuat.
5. Beritahu tetamu mengenai keadaan anak
Beritahu tetamu tentang keadaan anak supaya mereka tidak terkejut atau tersinggung jika anak tidak mahu bersalaman atau berinteraksi.
"Pemahaman daripada tetamu tentang keperluan anak adalah penting untuk mencipta suasana yang harmoni," jelas Fauziah.
Beri anak autisme ruang untuk melakukan sesuatu tanpa paksaan.
6. Jangan paksa interaksi
Biarkan anak berinteraksi mengikut keselesaan mereka agar mereka mampu beraya dengan selesa.
Jika mereka lebih suka berada di sudut yang tenang atau bermain sendiri, beri mereka ruang untuk melakukannya tanpa paksaan.
7. Sediakan aktiviti kegemaran
Ibu bapa perlulah menyediakan aktiviti atau permainan yang boleh anak lakukan sewaktu tetamu berkunjung ke rumah.
Fauziah berkata, perkara itu bukan sahaja membantu mereka untuk lebih fokus tetapi juga memberi mereka ruang untuk menikmati masa dalam suasana yang lebih selesa.
"Dengan menyediakan aktiviti yang mereka suka, anak akan lebih terlibat dalam suasana sosial dengan cara mereka sendiri," kata Fauziah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram