
SETIAP kali musim perayaan, rumah terbuka dan kunjungan ke rumah sanak saudara menjadi tradisi yang dinanti-nantikan.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, segelintir ibu bapa dikritik kerana gagal mengawal anak-anak mereka sehingga menyebabkan kerosakan harta benda tuan rumah.
Baru-baru ini, sebuah rakaman video memaparkan televisyen sebuah rumah rosak akibat dibaling alat permainan oleh seorang kanak-kanak mendapat perhatian ramai.
BACA LAGI: Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri bermula Jumaat
PERINGATAN. Mak pak time datang beraya nanti tolonggggggggg laaa jaga and pantau anak korang. Kang tak pasal2 pasu pecah, Tv rosak.
Jangan normalize "Biasalah budak2".pic.twitter.com/3RfFcA2UEV
— Abang Panda(@zulazri03) March 27, 2025
Perkara tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet yang berharap ibu bapa lebih peka dalam mengawal anak-anak ketika bertandang ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan.
Dalam video yang dimuat naik oleh seorang individu dikenali sebagai Zul Azri, beliau menegaskan pentingnya ibu bapa memantau anak-anak bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
"Peringatan. Ibu bapa, time datang beraya nanti tolonglah menjaga dan pantau anak anda. Tidak pasal-pasal pasu pecah atau TV rosak. Jangan normalize guna ayat 'Biasalah budak-budak'," katanya.
Hantaran tersebut mendapat sokongan ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman masing-masing berdepan situasi serupa.
Seorang pengguna, JiPi menegaskan bahawa mendidik anak mengenai adab di rumah orang perlu bermula dari kecil.
"Anak-anak buah aku behave tiap-tiap tahun. Nak tengok TV ke apa pasti mereka duduk diam. Nak makan pun beritahu sahaja biar kami yang hidangkan. Kalau lari-lari dalam rumah orang, nanti kami tak bagi sorang pun balik kampung. Yang penting mak ayah, abang dan kakak main peranan," tulisnya.
Sementara itu, seorang pengguna lain, Shafanoa meluahkan kebimbangan bukan sahaja terhadap barangan rumah tetapi juga keselamatan haiwan peliharaan yang terdapat dalam rumah seseorang yang dikunjungi.
"TV rosak boleh ganti, tetapi tak nak dah dengar cerita kucing mati kena lanyak dengan anak-anak orang yang datang beraya," ujarnya.
Warga maya, HannaMag pula berkongsi pengalaman pahit keluarganya apabila televisyen rumah datuk mereka pecah akibat perbuatan seorang kanak-kanak yang datang beraya.
“Pernah berlaku… sekali TV rumah tokwan aku pecah waktu tengah tengok cerita Doraemon," katanya.
Pengguna lain, Nilian yang berpendapat bahawa sikap kanak-kanak tersebut berpunca daripada didikan ibu bapa mereka sendiri.
“Kalau macam itu, memang sudah biasa perangai dekat rumah baling-baling barang dan mak bapak tak pernah larang. Budak ini kena melentur dari kecil kecuali kau banyak duit suka ganti barang orang, silakan!” katanya.
Bagi individu lain, Asswat, dia tidak akan berkompromi jika perkara itu berlaku dalam keluarganya.
"Kalau anak buah aku buat macam ini, memang tiap bulan aku call ligan adik-beradik aku minta ganti rugi. Aku bukan jenis ‘biasa budak-budak’. Ingat duit tumbuh kat pokok? Salah tetap salah," katanya tegas.
Seorang lagi pengguna, Mr Zam berkongsi pendekatan yang akan diambil jika insiden serupa terjadi di rumahnya.
"Kalau aku, memang setahun aku tak baiki atau beli TV baru. Biar sahaja sunyi dalam rumah, baru dia tahu sebab dan akibat perbuatan dia tu," katanya.
Brooklyn pula tidak dapat memahami mengapa sesetengah ibu bapa tidak mengajar anak-anak mereka mengenai adab sejak kecil.
“Tak faham kenapa sesetengah budak sekarang suka sangat baling barang. Ibu bapa pula sejenis ‘biasalah budak’. Malulah sikit, korang fail tak pandai nak ajar anak mengenai manner. Patut dari toddler age dah ajar," ujarnya.
Sementara itu, Nazham Othman menambah bahawa bukan hanya TV yang menjadi mangsa, tetapi juga kadangkala koleksi peribadi pemilik rumah.
“Ni baru jahanam TV, belum lagi yang jahanamkan koleksi permainan atau PC orang. Yang ni lagi sakit, terutama tuan rumah yang jenis kumpul barang-barang rare,” luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram