
PENGGUNA lebuh raya bakal menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bermula Jumaat hingga Sabtu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa inisiatif itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang diadakan pada hari yang sama.
Menurut beliau, kerajaan Madani akan menanggung kos pampasan dianggarkan berjumlah RM19.69 juta kepada semua syarikat konsesi tol bagi pelaksanaan diskaun ini.
BACA LAGI: Polis buru 4 lelaki bertopeng buat 'job' malam Ramadan di Felda, bawa lari barangan nilai RM12,000
"Ia terpakai untuk kenderaan Kelas 1 di semua plaza tol kecuali di plaza tol sempadan iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
"Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada program pelepasan tol perayaan yang diperkenalkan kerajaan Madani sejak 2023 bagi empat perayaan utama di Semenanjung Malaysia.
"Ia selari dengan prinsip kerajaan yang menitikberatkan kesejahteraan serta keprihatinan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
"Semua pengguna lebuh raya digalakkan memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya serta merancang perjalanan secara bijak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang cuti perayaan," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menasihati pengguna lebuh raya supaya mengikuti jadual perjalanan yang disyorkan oleh syarikat konsesi lebuh raya untuk mengelakkan kesesakan.
"Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mempunyai baki e-Wallet dan kad Touch 'n Go yang mencukupi serta memastikan bateri SmartTAG berfungsi dengan baik," tambahnya.
Selain itu, beliau menyarankan agar pengguna lebuh raya memanfaatkan pautan paparan CCTV yang disediakan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman web www.llm.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan lebuh raya sebelum dan semasa perjalanan.
"Kementerian Kerja Raya, LLM, dan syarikat konsesi lebuh raya menyeru semua pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas, serta berhenti berehat sekiranya berasa letih atau mengantuk.
"Marilah kita bersama-sama memastikan keselamatan, kebersihan, dan keselesaan di lebuh raya serta mengurangkan risiko kemalangan," katanya lagi.
Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini atau bantuan ketika berada di lebuh raya, pengguna boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Pengguna lebuh raya juga boleh menyemak status trafik serta sebarang insiden di lebuh raya melalui laman media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia termasuk Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia dan X (@LLMtrafik) bagi kemas kini secara berkala. — The Star/ ZAKIAH KOYA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram