Kecewa tidak dapat bantu lebih, ramai sebak lihat Anzalna santuni keluarga memerlukan


Selain membeli kuih raya, Anzalna turut membelikan baju raya buat keluarga terlibat.

PELAKON, Anzalna Nasir atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 37, menyentuh hati ramai apabila berkongsi kisahnya membantu sebuah keluarga yang berniaga kuih raya di hadapan sebuah bank sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Menerusi hantaran di media sosialnya yang dimuat naik pada Khamis, Anzalna menceritakan detik beliau terserempak dengan keluarga itu yang gigih mencari rezeki demi menjaga ibu yang sakit.

Tersentuh dengan keadaan mereka, Anzalna membawa keluarga tersebut membeli baju raya di sebuah jenama tekstil terkemuka.

BACA LAGI: Ibu berpantang sewaktu musim raya, nikmati juadah lebaran tanpa memudaratkan tubuh

BACA LAGI: Pengunjung dari sekecil-kecil bayi, festival raya 24 jam tanpa henti jadi simbol kemeriahan musim raya di Malaysia

 

 

 

"Bertemu sebuah keluarga di depan Maybank Melawati, menjual kuih raya bersama anak kecil, mencari rezeki untuk menjaga emak yang sakit.

“Alhamdulillah, diberi rezeki untuk berkongsi dengan mereka,” luahnya.

Lebih menyentuh hati ialah apabila keluarga itu tetap mahu meneruskan perniagaan kuih raya walaupun hari semakin senja.

Ibu kepada dua orang anak itu bagaimanapun tidak membenarkan mereka berniaga lagi dan memutuskan untuk membeli kuih raya yang dijual.

"Selesai membeli baju raya, mereka mahu sambung berniaga, tetapi saya tak benarkan sebab dah nak Maghrib. Saya cakap kepada mereka, biar saya yang beli kuih raya mereka. Jadi, saya ajak mereka balik ke rumah sementara tunggu suami beliau datang ambil," tulis finalis Dewi Remaja 2009/2010 itu.

Walaupun Anzalna menawarkan bantuan untuk menghantar mereka pulang atau menggunakan perkhidmatan Grab untuk membawa barangan, mereka menolak kerana tidak mahu menyusahkan.

“Saya menangis masuk rumah sebab kecewa tak dapat bantu lebih lagi,” luahnya.

Video berkenaan turut menyentuh hati warga maya.

"Anzalna dah banyak kali buat saya menangis, semoga Allah murahkan rezeki Anzalna sekeluarga mencurah-curah macam air hujan," kata @blessinghunter94.

"Semoga Anzalna sekeluarga sentiasa murah rezeki dan semoga kami semua juga murah rezeki supaya dapat bantu ramai orang macam Anzalna," komen @ct.raudhah.

"Apabila kita susah, sebenarnya ada yang lebih susah berbanding kita. Saya menangis tengok video ini. Terima kasih Anzalna," ujar @chacha_azmi.

"Anzalna pandai buat orang ketawa dan pandai buat orang menangis," kata @lianasense. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram