
BULAN Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan yang apabila umat Islam berlumba-lumba meningkatkan ibadah termasuk menunaikan solat tarawih di surau ataupun masjid.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil membawa mereka ke masjid boleh menjadi satu cabaran besar.
Anak-anak yang aktif dan mudah bosan sukar untuk merekan duduk diam sepanjang solat, sekali gus berpotensi mengganggu jemaah lain.
Ajar anak supaya tidak berlari-lari di dalam masjid. — Gambar hiasan
Namun, dengan persediaan dan pendekatan yang betul, pengalaman itu bukan sahaja boleh menjadi lebih mudah, malah dapat mendidik anak-anak mengenai kepentingan solat berjemaah serta adab di rumah ALLAH.
Berikut panduan mengurus anak-anak ketika solat tarawih di masjid:
1. Ajar adab di masjid sebelum pergi
Persediaan sebelum ke masjid amat penting bagi memastikan anak-anak memahami kepentingan menjaga adab di rumah ibadah.
Ibu bapa perlu menerangkan kepada mereka bahawa masjid adalah tempat suci yang perlu dihormati sama seperti rumah sendiri atau sekolah.
Ajar mereka supaya bercakap dengan nada perlahan, mengelakkan berlari-lari di dalam masjid serta tidak mengganggu orang lain yang sedang solat atau beribadah.
Penerangan itu boleh disampaikan dalam bentuk cerita atau contoh situasi yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
2. Sediakan aktiviti ringkas
Kanak-kanak yang masih kecil biasanya mudah bosan dan sukar untuk duduk diam dalam tempoh yang lama.
Oleh itu, ibu bapa disarankan membawa bahan bacaan seperti buku cerita Islamik atau lembaran aktiviti berkaitan Ramadan untuk mengisi masa mereka.
Selain itu, mainan kecil yang tidak mengeluarkan bunyi juga boleh diberikan sebagai alternatif bagi mengelakkan bosan.
Walau bagaimanapun, pastikan aktiviti yang dibawa tidak mengganggu ketenangan jemaah lain dan tidak menyebabkan anak-anak terlalu leka sehingga melupakan suasana ibadah di sekeliling.
Pastikan anak-anak makan secukupnya sebelum dibawa ke masjid. — Gambar hiasan/Freepik
3. Pastikan kenyang dan cukup rehat
Keadaan fizikal anak turut memainkan peranan penting dalam menentukan tingkah laku mereka di masjid.
Anak yang lapar atau terlalu letih lebih mudah meragam dan sukar dikawal.
Oleh itu, pastikan mereka sudah makan secukupnya selepas berbuka puasa dan mendapat tidur yang mencukupi pada siang hari.
Jika perlu, sediakan snek ringan sebelum ke masjid supaya mereka tidak berasa lapar semasa solat berlangsung.
4. Pilih tempat duduk strategik
Memilih lokasi duduk yang sesuai di dalam masjid dapat membantu ibu bapa mengawal anak dengan lebih mudah.
Tempat yang disyorkan adalah di bahagian belakang saf atau berhampiran pintu keluar.
Ini membolehkan ibu bapa membawa anak keluar dengan cepat sekiranya mereka menjadi terlalu aktif atau mula menangis.
Selain itu, lokasi yang strategik ini juga meminimumkan gangguan kepada jemaah lain yang sedang menunaikan solat.
5. Beri pujian dan ganjaran
Memberikan ganjaran kepada anak-anak yang berkelakuan baik boleh menjadi motivasi untuk mereka mengekalkan disiplin di masjid.
Selepas solat, berikan pujian kepada mereka kerana telah menjaga adab dan tidak membuat bising.
Ganjaran kecil seperti makanan kegemaran atau sesi bermain selepas pulang dari masjid boleh dijadikan sebagai insentif.
Dengan cara itu, mereka akan lebih bersemangat untuk berkelakuan baik pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram