
ANAK kelahiran Sabah, Afiqah Izzati Sundusin, cipta kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan Top of Cohort di University of Szeged, Hungary dengan nilai gred kumulatif (CGPA) 4.99 (4.99/5.00).
Menerusi hantaran di akaun TikToknya, wanita muda berusia 24 tahun itu diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan bagi mewakili para graduan pada majlis konvokesyen universiti tersebut.
Bukan itu sahaja, graduan kejuruteraan pertanian itu memilih untuk memulakan ucapannya dengan peribahasa 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.
Pencapaian Afiqah (tengah) bukan sahaja membanggakan ibu dan bapanya, malah mengharumkan nama Malaysia. — Instagram Afiqah
Lebih menarik, Afiqah memilih untuk mengenakan pakaian tradisional Bugis iaitu baju Bodo atau lebih sinonim dengan baju Tokko bersama ahli keluarganya yang turut hadir meraikan kejayaan beliau.
Detik itu juga berjaya mencuri perhatian ramai termasuk liputan meluas oleh media di Hungary.
Bukan sekadar penampilan, malah kehadiran mereka secara tidak langsung memperkenalkan dan mengangkat keunikan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dalam hantaran yang dimuat naik pada 11 Mac lalu, Afiqah turut berkongsi detik pertemuan dengan salah seorang ahli politik Hungary, Péter Márki-Zay.
"Sejauh ini, sehingga ahli politik negara luar membuat liputan di akaun rasmi beliau perihal pakaian tradisi kita.
"Sebelum beredar, beliau memanggil kami sekeluarga untuk bergambar bersama dan mengucapkan tahniah.
"Beliau memberitahu ayah saya, 'anak awak akan menjadi ahli politik hebat suatu hari nanti," tulisnya.
Pun begitu, beliau lebih mengutamakan bidang sains.
"Maaf, tetapi lebih memilih Sains," tulisnya dalam hantaran sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram