PENGGUNAAN mekap dalam kalangan kanak-kanak semakin mendapat perhatian ramai.
Sebagai trend yang semakin berkembang, tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak kini lebih terdedah kepada dunia kecantikan seawal usia muda.
Segelintir ibu bapa berdepan dengan dilema sama ada untuk membenarkan anak-anak mereka mengenakan mekap atau tidak.
Ada yang melihatnya sebagai cara anak-anak mengekspresikan diri, manakala ada juga lebih berhati-hati kerana bimbang kesan jangka panjang terhadap kulit yang masih muda.
BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan
Scha menggalakkan anak-anaknya lebih mementingkan penjagaan kulit seperti penggunaan pelindung matahari. — Instagram/schaalyahya
Pelakon dan ibu kepada dua orang anak perempuan, Scha Alyahya, 42, berkongsi pandangan mengenai penggunaan mekap dalam kalangan kanak-kanak.
Isteri kepada pelakon dan pengacara, Awal Ashaari, 43, melihat fenomena ini sebagai sesuatu yang perlu dihadapi dengan penuh kesedaran dan didikan sewajarnya.
Akui Scha, membesarkan anak perempuan merupakan cabaran besar. Namun, beliau percaya bahawa asas yang kukuh dalam diri membentuk jati diri kuat.
"Pendekatan Scha membesarkan dua anak perempuan sangat mencabar. Saya mulakan di rumah dengan memberitahu mereka that you are strong and you are kind.
"Bagi Scha dua benda itu sangat-sangat penting," katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.
Melalui didikan perihal kekuatan dan kebaikan, pelakon Awan Dania itu mahu anak-anaknya, terutama Lara Alana yang semakin membesar, memahami nilai sebenar dalam kehidupan berbanding penampilan luaran.
Dedah Scha, Lara yang kini berusia 11 tahun, mula menunjukkan minat terhadap mekap selepas melihat rakan-rakannya mula mengoles kosmetik.
Namun, sebagai ibu yang berpegang pada nilai tradisional, Scha menyarankan agar Lara tidak terburu-buru bersolek.
Tegasnya, kulit kanak-kanak terutama pada usia muda, seharusnya dibiarkan alami tanpa gangguan bahan kimia yang tidak diketahui.
"Saya seorang yang agak tradisional dan konvensional, pandangan Scha tak perlu lagi. You are fine the way you are," ujar Scha yang ingin menanamkan keyakinan diri dalam diri anaknya tanpa mengharapkan perubahan fizikal terlalu drastik.
Menurut Scha, puteri keduanya, Lyla, turut menunjukkan minat terhadap mekap. — Instagram/schaalyahya
Lebih menarik, anak bongsunya, Lyla Amina yang berusia empat tahun turut menunjukkan minat yang sama.
"Sejak setahun, dua tahun lepas, dia memang suka mekap. Tak tahulah siapa yang ajar dia.
Meskipun muka Scha sering terpampang dalam majalah fesyen dan kerap diundang ke pelbagai acara fesyen antarabangsa, namun beliau mengakui dirinya seorang yang lasak dan tidak menggemari dunia solekan.
Hal itu menimbulkan persoalan mengenai bagaimana puteri bongsunya minat terhadap mekap.
"Scha selalu berbual dengan Awal, kelainan Scha seorang yang lasak dan tidak suka mekap. Jadi, kami pelik, Lyla ikut perangai siapa?," katanya.
Bagi Scha, minat anak-anak terhadap mekap adalah perkara biasa berlaku ketika membesar, tetapi beliau menganggapnya sebahagian dalam proses perkembangan.
Pun begitu, Scha meluahkan kebimbangan mengenai kesan bahan-bahan yang digunakan dalam produk kosmetik.
"Kadang-kadang kita tak tahu apa yang kita letak dekat muka kita. Tetapi, tidak salah pun selagi kita tahu apa yang kita pakai.
"Biar mekap itu tampak minimum. Tak payah terlalu nak ikut trend," tambahnya.
Scha menggalakkan anak-anaknya untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih produk yang digunakan dan lebih menekankan kepada penjagaan kulit seperti menggunakan sunscreen (pelindung matahari) berbanding mekap.
"Scha selalu cakap dekat Lara, apa yang penting ialah perlindungan kulit daripada sinaran matahari berbanding penggunaan mekap.
"Sebab bagi Scha, kulit mereka masih lagi elok. Jadi, kita jangan kacau benda yang dah elok," jelasnya.
"Asalkan benda itu selamat, you can give it a try," tambah Scha sambil menyarankan agar ibu bapa sentiasa memantau dan memilih produk yang sesuai serta selamat bagi anak-anak.
Scha menyifatkan Lara sebagai seorang yang pemalu dan introvert. — Instagram/schaalyahya
Dalam pada itu, Majoriti sempat bertanyakan mengenai kemugkinan Lara sudah mula keluar bergaul bersama rakan-rakannya.
Kata Scha, Lara belum berminat aktiviti sedemikian memandangkan dia memiliki sifat pemalu dan introvert.
Walaupun mungkin teringin untuk mencuba aktiviti seperti sleepover, Scha berasakan bahawa belum sesuai pada usia sekarang.
Scha juga mengakui bahawa beliau tidak sepenuhnya bersedia menghadapi perubahan dunia sosial anak-anak yang semakin berkembang.
Namun, Scha tetap mengambil pendekatan bijak dalam membesarkan Lara dengan menilai setiap keputusan secara teliti.
"Insya-ALLAH, perlahan-lahan. Tengok mana elok, mana sesuai untuk dia, saya beri kebenaran, tetapi jika sebaliknya, saya perlu berkata tidak," kata Scha. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram