Sumbat kucing dalam guni: Veterinar Selangor sita kereta, keterangan pelaku diambil ikut Kanun Tatacara Jenayah


  • Primer
  • Isnin, 13 Jan 2025

DVS menyita kereta (bulatan merah) yang dipercayai digunakan untuk mengangkut kucing keluar dari sebuah kawasan perumahan.

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor menyita sebuah kereta jenis Nissan Sentra, beberapa guni dan sangkar dipercayai digunakan bagi mengangkut kucing sebelum dibuang keluar dari sebuah kawasan pangsapuri di Batu 9, Cheras, Selangor baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu memaklumkan sudah merakam keterangan daripada individu terbabit dalam video tular yang memaparkan kejadian tersebut.

Menurut DVS, pihaknya mengesan video berdurasi 37 saat yang tersebar di platform media sosial sejak Sabtu yang memaparkan tindakan sekumpulan orang awam meletakkan beberapa ekor kucing ke dalam guni sebelum memasukkannya di sebuah but kereta.

BACA LAGI: [VIDEO] Dituduh masukkan kucing jalanan dalam guni, penduduk Pangsapuri Meranti Cheras tampil beri penjelasan

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki tercengang motor kena curi depan mata lepas keluar kedai runcit di Kota Bharu

Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor bergegas ke lokasi aduan untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal pasukan mendapati kejadian dilaporkan berlaku antara pukul 9 pagi sehingga 3 petang kelmarin (Sabtu), membabitkan penduduk di sekitar lokasi aduan, yang dalam program gotong-royong anjuran bersama pihak pengurusan bangunan (JMB) perumahan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan itu, pasukan menyita kereta Nissan Sentra, beberapa unit guni dan sangkar yang dipercayai digunakan untuk mengangkut beberapa ekor kucing untuk siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.

DVS berkata, keterangan beberapa suspek terbabit kes diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan bahawa kes itu disiasat mengikut Subseksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri Selangor setelah siasatan dilengkapkan.

Polis pada Ahad dilaporkan menerima dua laporan berhubung penganiayaan beberapa kucing didakwa disumbat ke dalam guni untuk dibuang ke luar kawasan pangsapuri di Batu 9, Cheras. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram