Kes Cik Epal dan Jofliam, peguam syarie perjelas perintah komital


  • Massa
  • Khamis, 06 Mac 2025

Pengkomitan boleh difailkan terhadap pihak yang ingkar dan tidak mematuhi perintah atau penghakiman mahkamah. — Gambar hiasan/Freepik

BARU-BARU ini, perintah komital menjadi perhatian buat pengguna di media sosial. Ia selepas isu melibatkan pasangan personaliti media sosial, Cik Epal atau nama sebenarnya, Murni Mahmud dan bekas suaminya, Jofliam bertikam lidah berhubung penyerahan anak.

Menerusi klip video yang dimuat naik oleh Cik Epal sendiri di akaun Instagramnya, beliau dilihat hadir ke kediaman Jofliam bersama peguamnya untuk mengambil anak-anaknya.

Difahamkan, Jofliam atau nama sebenarnya, Jofli Abu Bakar enggan menyerahkan kedua-dua anak mereka kepada bekas isterinya itu. Beliau kemudian berbalah dengan peguam yang mewakili Cik Epal untuk memfailkan komital terlebih dahulu.

BACA LAGI: 'Syukur nasib dapat perhatian PM Anwar', fisioterapis jual daging salai di Kedah demi implan tempurung kepala 'prepare' ucapan khas

BACA LAGI: 'Saling menghormati, jaga perut suami', Anzalna Nasir kongsi rahsia keakraban keluarga menjelang Ramadan

Fatimah menjelaskan, komital ialah salah satu mekanisme penguatkuasaan penghakiman yang boleh diambil selepas sesuatu keputusan telah diputuskan oleh mahkamah.

Yang menjadi perbualan dalam kalangan netizen adalah apabila Jofliam seolah-olah tidak memahami maksud perintah komital.

Bukan itu sahaja, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jofliam mengenai perintah mahkamah sebagai 'persetujuan' dalam video sama turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Majoriti menghubungi peguam syarie, Fatimah Majemi bagi mendapatkan penjelasan perkara berkenaan.

Menurut beliau, perintah atau penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah boleh berlaku dalam dua keadaan.

1. Perintah/penghakiman yang diputuskan selepas pihak-pihak melalui prosedur penuh mahkamah.

Perintah ini dibuat selepas melalui prosedur mahkamah yang lengkap iaitu pliding, pengurusan kes, perbicaraan, hujahan, keputusan, dan akhirnya perintah dikeluarkan.

2. Perintah/penghakiman persetujuan.

Dalam kes ini, kedua-dua pihak mencapai persetujuan dan terma-terma persetujuan tersebut direkodkan sebagai perintah mahkamah tanpa melalui perbicaraan yang penuh.

Namun, kedua-dua jenis perintah ini mempunyai kesan yang sama iaitu wajib dipatuhi oleh kedua-dua pihak yang terlibat.  

Sekiranya terdapat ketidakpatuhan, pihak yang terkesan boleh memohon perintah komital terhadap pihak yang ingkar.

Menjawab kekeliruan mengenai perintah komital pula, beliau menjelaskan ia merupakan salah satu mekanisme penguatkuasaan penghakiman yang boleh diambil selepas sesuatu keputusan telah diputuskan oleh mahkamah dan ia tidak dipatuhi.

"Ia adalah permohonan untuk penjarakan salah satu pihak yang langgar perintah mahkamah. Permohonan pengkomitan di bawah seksyen 151 Akta/Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah.

"Pengkomitan ini difailkan terhadap pihak yang ingkar dan tidak mematuhi perintah atau penghakiman mahkamah. Sebagai contoh, mahkamah memerintahkan hak jagaan anak diletakkan di bawah jagaan ibu, si bapa ambil anak dan tidak pulangkan semula kepada ibunya, jadi si ibu boleh failkan terhadap bapa" jelasnya.

Justeru, kata Fatimah, dalam kes pasangan pempengaruh dan juga usahawan terlibat, Cik Epal berhak memfailkan komital terhadap Jofliam jika perintah atau penghakiman persetujuan tersebut tidak dipatuhi.

Untuk rekod, Cik Epal dan Jofliam mendirikan rumah tangga pada 1 Jun 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Han dan Yuki.

Pada September tahun lalu, Jofliam mendedahkan bahawa rumah tangga mereka menghadapi konflik sejak empat bulan sebelumnya dan menyatakan bahawa beliau bukan lagi suami kepada sesiapa. Beliau juga menafikan tuduhan curang yang dilemparkan kepadanya, menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

Pada 9 Oktober tahun sama pula, Cik Epal mengesahkan bahawa mereka telah bercerai selepas 10 tahun bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram