Ramai pasangan nikah sempadan anggap perkahwinan sah secara automatik, ini penjelasan peguam syarie


  • Massa
  • Khamis, 06 Mac 2025

Pasangan dari negara lain memilih untuk berkahwin di Thailand kerana prosedur yang lebih mudah atau tanpa memerlukan kebenaran rasmi dari pihak berkuasa negara asal.

PERNIKAHAN di sempadan, terutamanya di negara jiran seperti Thailand, sering kali dianggap jalan pintas bagi pasangan yang ingin berkahwin tanpa perlu melalui prosedur panjang yang ditetapkan di dalam negara asal.

Namun, realiti perkahwinan di sempadan tidak semudah disangka berikutan ia melibatkan pelbagai aspek perundangan dan agama yang memerlukan perhatian serius.

Satu persoalan yang timbul adakah pernikahan tersebut sah atau tidak?

Menurut Peguam Syarie, Irsamuddin Fitri, kesahan mengenai pernikahan yang dilakukan di Thailand hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Menurut Irsamuddin, perkahwinan yang tidak dapat pengesahan mahkamah tidak boleh didaftarkan kepada Jabatan Agama Islam.

Kongsinya, ramai pasangan yang menikah di negara itu beranggapan perkahwinan mereka sah secara automatik.

Namun, hakikatnya, mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah di Malaysia sebelum boleh mendaftarkan perkahwinan itu di Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

"Nikah sah atau tidak sah ini, hanya Mahkamah Syariah sahaja boleh tentukan sama ada mereka mengikut rukun pernikahan atau tidak. Apabila seseorang itu bernikah di Thailand, mereka tidak boleh isytiharkan lagi bahawa pernikahan itu sah sehingga pulang ke Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Katanya, perkahwinan yang tidak dapat pengesahan mahkamah tidak boleh didaftarkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan organisasi tersebut hanya menerima permohonan diperakui sah oleh mahkamah.

"Sebelum nak mendaftar ke Jabatan Agama Islam, syarat mereka memerlukan perintah mahkamah. Perintah tersebut kena tengok juga sama ada nikah itu sah ataupun tidak. Kalau mahkamah dan putuskan sah, barulah pernikahan itu boleh didaftarkan," jelasnya.

A closeup shot of the bride and the groom holding the hands of each other

Pasangan berkahwin di Thailand perlu mendapatkan pengesahan dari Mahkamah Syariah di Malaysia sebelum boleh mendaftarkan perkahwinan itu di Jabatan Agama Islam negeri masing-masing. — Gambar hiasan/Freepik

Contoh kes tidak sah

Ketika ditanya contoh kes pernikahan tidak sah di bawah kendaliannya, beliau berkongsi salah satu kes melibatkan wali yang didakwa wali hakim dari Thailand memasuki Malaysia untuk menjalankan akad nikah.

"Mereka bernikah di sempadan di Bukit Kayu Hitam. Wali yang didakwa wali hakim dari Thailand masuk ke Malaysia untuk menikahkan pasangan terlibat. Apabila masuk ke Malaysia, dia dah melangkaui bidang kuasanya yang diberi tauliah.

"Sepatutnya, kalau dekat Thailand, dia boleh nikahkan orang di kawasan sana sahaja. Maka, apabila berlaku begitu, pernikahan itu tidak sah," ujarnya.

Dalam kes sedemikian, jika pasangan terbabit mempunyai anak, mereka perlu terlebih dahulu memfailkan kes pengesahan nikah.

Jika perkahwinan tersebut didapati tidak sah, barulah mereka boleh memfailkan kes pengesahan nasab anak.

Pasangan yang ingin bercerai tidak boleh sekadar kembali ke Thailand untuk mendapatkan sijil cerai. — Gambar hiasan/Freepik

Bagaimana jika perceraian berlaku?

Selain isu sah atau tidak sah pernikahan, Irsamuddin turut menjelaskan prosedur perceraian bagi pasangan yang bernikah di Thailand.

Menurutnya, pasangan yang ingin bercerai tidak boleh sekadar kembali ke Thailand untuk mendapatkan sijil cerai.

"Apa-apa situasi sekalipun, syarat pertama mesti tak boleh patah balik ke Thailand. Ada sesetengah orang, dia patah balik ke Thailand untuk dapatkan sijil cerai. Sebenarnya, tindakan itu menambah lagi masalah.

"Katakanlah, seorang wanita menikah di Thailand, kemudian dizalimi oleh suami dan mahu bercerai. Pernikahan itu kena sahkan dulu. Kalau mahkamah kata sah, barulah pergi langkah seterusnya failkan permohonan cerai.

Beliau turut mendedahkan kes yang mana seorang wanita bernikah di Thailand kembali ke Malaysia dan berkahwin dengan lelaki lain tanpa mengisytiharkan perkahwinannya terdahulu.

“Beliau bernikah di Thailand. Selepas itu, pergi semula ke negara berkenaan untuk dapatkan sijil cerai. Kemudian, menikah lagi dekat Malaysia. Beliau isytiharkan bahawa dirinya anak dara, tidak pernah berkahwin. Maka, apabila sudah berbuat demikian, memang kena mohon kebenaran bernikah di Jabatan Agama Islam,” katanya.

Akibatnya, apabila perkahwinan pertama terbongkar, wanita tersebut menghadapi masalah undang-undang kerana tidak mengisytiharkan status perkahwinannya terdahulu.

Walaupun pernikahan di sempadan mungkin dilihat sebagai penyelesaian cepat bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan, ia tidak terlepas daripada peraturan undang-undang ketat.

Setiap perkahwinan dilakukan di luar negara, terutamanya melibatkan elemen keagamaan dan undang-undang syariah, perlu melalui proses pengesahan bagi memastikan kesahihannya di negara asal.

Oleh sebab itu, penting bagi pasangan yang berkahwin di sempadan untuk memahami bahawa pernikahan mereka perlu diiktiraf oleh pihak berkuasa agama dan Mahkamah Syariah bagi memastikan hak mereka sebagai pasangan sah dari sudut undang-undang dan agama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram