Bayar ansuran berbanding tunai, kelebihan atau 'barah' jerat hutang? Tak mampu, jangan beli!


  • Massa
  • Selasa, 11 Mac 2025

Ilmu berkaitan kewangan penting untuk melindungi individu daripada terbeban dengan hutang disebabkan bayaran ansuran. — Gambar hiasan/Freepik

DALAM era digital dan kecanggihan teknologi kewangan, semakin ramai pengguna cenderung memilih bayaran ansuran atau konsep Buy Now Pay Later (BNPL) bagi urusan pembelian.

Namun, dengan peningkatan generasi berhutang, ia sedikit sebanyak memberi kebimbangan, lebih-lebih lagi melibatkan golongan muda.

Kerisauan itu terbukti apabila Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Oktober tahun lalu mendedahkan laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyatakan 53,000 individu di bawah 30 tahun dibebani hutang yang tinggi mencakupi nilai keseluruhan hampir RM1.9 bilion.

Untuk itu, Majoriti menemu bual ringkas bersama beberapa individu sejauh mana pilihan ini membawa manfaat atau risiko kepada masyarakat?

BACA LAGI: [VIDEO] Nurdini pilih konsep mikrofon tersembunyi abadikan momen kandid, rakaman suara pengantin lebih natural

BACA LAGI: Pernah siapkan kostum Aina Abdul dalam masa 5 hari, Melinda Looi kongsi kisah di sebalik rekaan uniknya

Nani (kiri) dan Noraini masing-masing mengingatkan anak muda untuk bijak berbelanja. — Instagram/@naniroc & @5171noraini

Bagi pengacara dan personaliti media sosial yang sinonim dengan suara komersialnya, Nani Roslan, menyifatkan perkara itu sebagai 'barah'.

"Saya kira sebenarnya itu sebagai satu barah dalam masyarakat kita sebab sistem beli sekarang, bayar kemudian tidak ada regulasi yang kuat di mana sesiapa sahaja pun boleh dapat hutang itu," kata Nani atau nama sebenarnya, Nursyazwani Roslan.

Tambahnya, pihak terlibat perlu memperketatkan lagi peraturan atau terma dan syarat berkaitan kaedah bayaran ini bagi mengelak masyarakat daripada dibelenggu dengan hutang.

Tak mampu, jangan beli

Beliau turut mengingatkan individu di luar sana untuk bertindak dengan lebih bijak ketika membuat pembelian khususnya melalui talian.

"Saya kira, pihak-pihak tertentu perlu perkuatkan lagi regulasi mengenai bayaran ansuran dan pembeli pun perlu lebih bijak sebab itu satu perangkap yang kita tidak sedar sebenarnya memandangkan ia tidak memerlukan slip gaji atau dokumen-dokumen lain, jadi sesiapa sahaja boleh terkena," katanya

Bertanyakan nasihat beliau kepada anak-anak muda yang kini sering kali dilihat mudah terpengaruh dengan rakan atau media sosial untuk mengikut trend semasa, Nani berkata, golongan Gen-Z perlu belajar hidup dalam kesederhanaan.

"Kita tidak boleh tipu fakta, memang ramai sebenarnya generasi-generasi muda sudah pun mengalami bankrup. Pendapat saya, jangan ikut sangat trend di media sosial.

"Sebenarnya kita mungkin boleh menormalisasikan hidup dengan sederhana. Tidak mengapa jika memakai pakaian sama berulang kali.

"Jangan asyik rasa nak membeli semata-mata tidak mahu rasa ketinggalan. Bayar sahaja tunai, kalau tak mampu tak perlu beli," tegasnya sambal ketawa kecil.

Gagal menguruskan kewangan akan hanya mendatangkan tekanan kepada individu terlibat. — Gambar hiasan/Freepik

Selain itu, personaliti media sosial, Noor Suhaili Mohamed Amin atau dikenali sebagai Auntie Purple lebih memilih bayaran tunai kerana enggan terbeban dengan komitmen bulanan.

"Saya takutkan komitmen bulanan sebab tak pasti keadaan kewangan bulan depan. Jadi, lebih baik bayar tunai."

Namun, beliau juga berpandangan bahawa bayaran ansuran boleh diterima sekiranya seseorang mempunyai pendapatan tetap.

"Asalkan ada kerja tetap dan mampu bayar, tak ada masalah. Tapi untuk anak-anak, saya lebih sarankan mereka menabung dahulu sebelum membeli sesuatu."

Bagi Dr. Zuhrah Musa, isu utama bukanlah pilihan antara ansuran atau tunai, tetapi bagaimana seseorang menguruskan kewangan.

"Saya secara peribadi lebih memilih tunai kerana ia membolehkan kita merancang kewangan dengan lebih baik berbanding ansuran sukar untuk mengawal perbelanjaan dan mudah terjerat dengan hutang," ujar pegawai perubatan berpusat di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu.

Mengulas lanjut mengenai nasihatnya kepada anak muda yang gemar mempraktikkan sistem bayaran ansuran, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kerana beliau memahami keinginan mereka untuk sentiasa mengikut trend.

Keperluan atau kehendak

Pun begitu, beliau menegaskan agar golongan tersebut mempunyai ilmu berkaitan pengurusan kewangan

"Ramai anak muda cenderung memilih kehendak berbanding keperluan. Beli telefon mahal hanya kerana orang lain pakai. Mereka perlu ada ilmu kewangan supaya tidak membuat keputusan yang membebankan diri sendiri," ujarnya.

Senada dengan yang lain, Syasha turut menyuarakan kebimbangannya terhadap generasi kini yang semakin bergantung kepada ansuran.

"Saya rasa bayaran tunai lebih baik sebab kalau ansuran, kadang-kadang kita lupa bayar. Sekarang, hampir semua benda ada pilihan ansuran. Jadi, lebih baik bayar tunai jika mampu, kalua perlu barulah bayar ansuran," ujarnya.

Namun, beliau juga memahami mengapa generasi muda cenderung memilih ansuran.

"Pendapatan generasi sekarang tak setinggi generasi dahulu. Jadi, mereka tiada pilihan selain menggunakan bayaran ansuran untuk memenuhi keperluan hidup. Tetapi, ia tetap berisiko jika tidak diurus dengan baik," ulasnya.

Cute asian little girl playing with coins making stacks of money,kid saving money into piggy bank, into glass jar. Child counting his saved coins, Children learning about for the future concept.

Amalan menabung mampu mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi. — Gambar hiasan/Freepik

Justeru, beliau berharap kerajaan atau mana-mana institusi untuk mula mengajar generasi kini untuk belajar bagaimana menyelesaikan hutang.

Selain itu, pemilik Restoran Nippon Sushi, Siti Noraini Nuawi lebih mengutamakan pembayaran tunai kerana ia lebih memudahkan dan bebas daripada hutang.

Pun begitu, pembayaran ansuran boleh diterima jika ada alasan munasabah dalam situasi tertentu seperti kekangan kewangan. Kalau benda yang agak-agak kehendak, boleh tangguh dulu. Tetapi kalau nak juga, buat simpanan atau cari kerja yang boleh beri pendapatan lebih banyak," jelasnya.

Noraini turut tidak terlepas untuk menasihati anak-anak muda untuk lebih bijak mengurus kewangan dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan membeli barang-barang yang tidak diperlukan.

Sebagai ibu kepada dua orang anak berusia 18 dan 19 tahun, Noraini turut mengamalkan prinsip pengurusan kewangan dalam keluarga.

Beliau memberikan anak-anaknya bajet bulanan dan mengajar mereka untuk membuat keputusan kewangan sendiri.

"Apa yang saya buat sekarang, saya berikan elaun bulanan kepada mereka dan pandai-pandailah mereka uruskas," jelas Noraini.

Perdebatan antara bayaran tunai dan ansuran tidak mempunyai jawapan mutlak. Walaupun bayaran ansuran boleh membantu individu memiliki barangan yang diperlukan tanpa mengeluarkan jumlah wang yang besar secara sekaligus, ia tetap memerlukan disiplin kewangan yang tinggi.

Sebaliknya, bayaran tunai memberikan ketenangan kerana tidak perlu risau tentang hutang bulanan. Apa-apa pun berbalik kepada pepatah Melayu, 'ukur baju di badan sendiri'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram