
DALAM dunia fesyen Malaysia, nama Melinda Looi bukanlah asing. Pereka fesyen avant-garde ini terkenal dengan keberaniannya dalam mencipta rekaan kreatif yang luar biasa terutamanya penampilan di atas pentas.
Mula memasuki industri fesyen pada tahun 1995 selepas memenangi Asean Young Designer’s Award, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di La Salle International Fashion School di Montreal, Kanada.
Sejak itu, beliau terus mengukuhkan namanya dalam industri fesyen tempatan dan antarabangsa dengan rekaan unik dan luar biasa, ataupun dipanggil avant-garde.
BACA LAGI: Dihujani ucapan tahniah, puteri sulung Daphne Iking terima biasiswa ijazah sarjana muda
BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal
Rekaan yang diinspirasikan daripada lagu Aina berjudul 'Cermin Cinta' dihasilkan dalam masa lima hari. — Melinda Looi
Dalam satu temu bual bersama Majoriti, beliau berkongsi pengalaman dan cabaran dalam mencipta kostum buat penyanyi sensasi yang sering tampil dengan gaya unik, Aina Abdul.
Bagi Melinda, menjadi seorang pereka fesyen bukan sekadar mencipta pakaian, tetapi juga menjadi sebahagian daripada komuniti kreatif yang saling menyokong.
Katanya, semangat untuk terus berkarya dan membantu orang lain mencapai impian mereka menjadi motivasi beliau untuk terus mencipta nama sebagai pereka fesyen avant-garde.
"Saya rasa, sebagai orang yang kreatif, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu artis lain merealisasikan kemahuan mereka terutamanya dalam rekaan dan sangat penting juga untuk menyokong satu sama lain," ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran, tidak dinafikan setiap industri mempunyai cabarannya tersendiri. Bagi Melinda, beliau perlu berdepan dengan cabaran dari segi bajet dan masa.
Ujarnya, beliau menghargai detik-detik itu kerana menurutnya, pengalaman sedemikianlah yang mendorongnya untuk mencapai hasil rekaan yang luar biasa.
"Saya suka bekerja di bawah tekanan kerana ia menguji kreativiti saya dan mendorong saya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa," kata penerima pelbagai anugerah fesyen itu.
Berkongsi pengalamannya yang paling mencabar ketika bekerjasama dengan Aina, ia semasa beliau menyiapkan kostumnya yang berkonsepkan serpihan cermin dalam masa lima hari bagi persembahan bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada Mei tahun lalu.
Lebih sekadar penampilan luaran, kostum itu menggambarkan lagunya sendiri iaitu Cermin Cinta. Bukan baju itu sahaja, kebanyakan baju Aina menceritakan tentang lagu-lagu yang dipersembahkan.
"Untuk rekaan saya yang paling pendek ialah gaun cermin. Saya diberi lima hari untuk menyiapkan. Lebih mencabar kerana ia bukan bahan yang sudah tersedia. Ia memerlukan serpihan-serpihan cermin yang kecil untuk diletak kepada gaun tersebut," katanya sambil menambah bahawa beliau sering mengalami masalah kurang tidur.
Kerjasama Melinda dan Aina setakat ini tidak pernah berdepan dengan situasi mencemaskan di belakang tabir. — Melinda Looi
Proses kreatif bersama Aina
Menurut Melinda, Aina bukan sekadar seorang penyanyi, tetapi juga seorang individu yang mempunyai pakej lengkap dan sisi kreatif yang jelas.
"Aina adalah pemikir utama di sebalik konsep rekaan. Dia akan memberikan idea awal, mungkin hanya satu gambar atau konsep asas dan saya akan menterjemahkannya ke dalam bentuk pakaian," kata Melinda.
Melinda menambah, Aina adalah salah seorang artis yang senang untuk bekerjasama dan mudah mendapat keserasian.
"Aina sangat jelas dengan apa yang dia mahukan. Biasanya, tidak banyak perubahan diperlukan dalam rekaan saya kerana kami mempunyai pemahaman yang baik tentang satu sama lain," tambahnya.
Sebagai seorang penyanyi yang banyak bergerak di atas pentas, pakaian yang dipakai oleh Aina haruslah bukan sahaja menarik secara visual, tetapi juga selesa dan praktikal.
Melinda menjelaskan bahawa beliau sentiasa mengambil kira aspek pergerakan dan keselesaan dalam rekaan kostumnya.
"Saya perlu memastikan bahawa pakaian itu tidak menghalang pergerakan Aina. Saya akan bertanya kepadanya sama ada dia boleh bergerak dengan bebas dan selesa semasa menyanyi," katanya.
"Dalam industri hiburan, penampilan adalah sebahagian daripada keseluruhan persembahan. Saya mahu setiap kostum yang saya cipta untuk Aina memberikan impak visual yang kuat dan meninggalkan kesan kepada penonton," katanya lagi.
Melinda bukan sahaja seorang pereka fesyen, tetapi juga seorang pencinta seni yang berusaha memberikan sumbangan kepada industri seni kreatif.
Beliau menekankan kepentingan untuk menghasilkan rekaan yang bukan sekadar cantik, tetapi juga mempunyai nilai seni dan cerita di sebaliknya.
"Saya mahu setiap rekaan saya bercerita. Pakaian bukan sekadar pakaian, ia adalah medium ekspresi dan identiti," katanya.
Situasi mendebarkan di belakang tabir
Bekerja dalam dunia fesyen, terutama dalam suasana pentas yang sibuk dan mencabar, sering kali diiringi dengan saat-saat cemas di belakang tabir. Namun, menurut Melinda, kolaborasinya dengan Aina penuh sinergi.
Bekerja dalam dunia fesyen terutama dalam suasana pentas yang agak 'kelam-kabut' dan mencabar sering kali diiringi dengan saat-saat cemas di belakang tabir.
Namun, Melinda menyifatkan Aina sebagai individu yang sangat professional berikutan kolaborasinya dengan penanyi tersebut sentiasa berjalan lancar.
"Saya telah melihat orang lain berdepan situasi mencemaskan di belakang pentas, tetapi dengan Aina, ia berlaku sebaliknya. Aina seorang yang sangat tersusun dalam setiap perancangannya dan sentiasa bersedia lebih awal," akuinya.
Aina sering mencuri perhatian peminat dengan rekaan kostum yang memukau. — Melinda Looi
'Berani' bagi Melinda
Sebagai pereka fesyen yang terkenal dengan keberaniannya mencipta rekaan di luar kotak, Melinda mendefinisikan 'berani' sebagai tindakan yang memiliki keinginan untuk mencabar norma dan menghasilkan sesuatu yang berbeza.
"Pada saya, berani ialah jika seseorang itu tidak takut untuk melakukan perkara baharu, menjadikan hasil rekaan sebagai platform untuk mengekspresikan diri tanpa ragu-ragu dan tidak memikirkan reaksi orang lain.
"Saya seorang artis yang gemar berfikir di luar kotak. Walaupun saya juga menghasilkan rekaan komersial, saya tetap mahu terus mencipta karya yang unik dan berani.
“Jika anda tidak berani, anda hanya akan menjadi biasa-biasa saja. Tidak mengapa jika orang mengkritik, kerana setiap kritikan adalah satu peluang untuk belajar dan menjadi lebih baik,” jelasnya.
Kolaborasi antara kedua-dua wanita itu adalah bukti bahawa fesyen bukan sekadar pakaian, tetapi juga satu bentuk seni yang mencerminkan identiti dan kreativiti seseorang.
Dengan profesionalisme, persiapan rapi, dan keberanian untuk bereksperimen, mereka berdua terus mencipta impak besar dalam industri fesyen dan hiburan Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram