Jaga sejak kecil, ibu tiri berhak tuntut hak penjagaan anak tiri? Peguam syarie perjelas situasi


  • Massa
  • Khamis, 27 Feb 2025

Ibu tiri boleh dikategorikan sebagai 'orang luar' yang telah beralih tanggungjawab untuk membesarkan dan menjaga anak pasangannya. — Gambar hiasan/Freepik

ISU penjagaan anak sering menjadi masalah besar jika berlaku keretakan dalam rumah tangga. Ayah mahu menjaga, ibu juga apa kurangnya pasti ingin menuntut bela untuk membesarkan anak yang sudah berada dalam rahim selama sembilan bulan.

Situasi perebutan hak penjagaan itu sering difokuskan antara ayah dan ibu kandung, jauh sekali orang ramai akan memikirkan bagaimana jika keadaan menyaksikan ibu tiri pula mahu membuat tuntutan penjagaan anak yang dijaga sejak kecil.

Ibu tiri boleh dikategorikan sebagai 'orang luar' telah beralih tanggungjawab membesarkan dan menjaga anak pasangannya. Perasaan sayang pasti hadir walaupun sudah tiada ada apa-apa hubungan dengan bekas suami.

BACA LAGI: Kanak-kanak tercekik gummy eye ball di Pulau Pinang meninggal dunia

BACA LAGI: Anak saya tak pernah makan gula-gula gummy sebelum ini — Bapa Mohamad Fahmi

Menurut Irsamuddin, ibu tiri tidak berhak menuntut hak penjagaan anak tiri.

Merujuk kepada senario itu, timbul persoalan dalam kalangan pengguna X yang tertanya jika ibu tiri mempunyai hak untuk menuntut jagaan anak tiri.

Menjawab persoalan itu, peguam Syarie, Irsamuddin Fitri berkongsi bahawa pada dasarnya, ibu tiri tidak berhak menuntut hak penjagaan anak tiri. Namun, ia masih boleh dilakukan atas situasi tertentu.

"Ibu tiri pada asasnya tiada hak untuk menuntut hak penjagaan. Tetapi, jika dia yang menanggung anak itu daripada kecil, maka si ibu boleh memfailkan kes di mahkamah dan menuntut hak penjagaan," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, mahkamah akan mempertimbangkan kebajikan dan kesejahteraan anak sebelum memutuskan siapa lebih layak untuk menjaga anak.

"Jika ibu kandung tidak menunjukkan kebolehan atau tidak mampu menjaga anak dengan baik, seperti dalam kes-kes penderaan, maka ibu tiri berpotensi untuk diberikan hak penjagaan kalau mahkamah mendapati bahawa ibu tiri lebih mampu menjaga kebajikan anak," jelasnya.

Manakala, dalam aspek hak nafkah anak tiri pula, terdapat beberapa persoalan yang sering timbul mengenai siapa bertanggungjawab menanggung nafkah anak tiri? Adakah ia terletak pada bapa kandung atau bapa tiri?

Mother helping baby to walk on couch at home. Kid making first steps with moms support. Cropped shot. Parenthood and childhood concept

Jika ibu tiri menanggung anak tiri daripada kecil, maka mereka boleh memfailkan kes di mahkamah dan menuntut hak penjagaan. — Gambar hiasan/Freepik

Irsamuddin berkata, tanggungjawab memberi nafkah anak tiri bukan terletak pada bapa tiri, sebaliknya bapa kandung.

"Dalam undang-undang dan hukum syarak, nafkah anak tiri wajib ditanggung oleh bapa kandung, bukan bapa tiri. Jika bapa tiri nak menanggung juga, maka itu adalah satu ihsan sedekah kepada anak tirinya," jelasnya,

Pun begitu, bagaimana pula situasi antara bapa tiri dan ibu kandung yang mendapat hak penjagaan anak? Ia berikutan segelintir masyarakat beranggapan bahawa si bapa kandung sudah terlepas daripada tanggungjawabnya.

Irsamuddin menjelaskan, selain bapa tiri, ibu kandung juga tidak wajib memberikan nafkah. Namun, ia tidak menjadi masalah jika rela berbuat demikian.

"Ibu kandung tidak wajib memberi nafkah, melainkan ibu itu sendiri dengan rela hati memberi. Katakanlah, keperluan anak RM1,000, tetapi bapa kandung keluarkan RM500 manakala sebahagiannya diberi oleh ibu kandung. Jika si ibu ikhlas, maka itu dibolehkan. Malah, besar pahalanya," katanya.

Melihat kepada ulasan Irsamddin, isu penjagaan anak selepas keretakan rumah tangga jelas melibatkan pelbagai aspek memerlukan pertimbangan teliti dari segi kebajikan dan kesejahteraan anak.

Justeru, ia memerlukan pemahaman yang jelas mengenai hak dan tanggungjawab setiap pihak, serta keutamaan kepada kebajikan anak itu sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram